
Oleh KOSMO!
LAHIR dan membesar di kampung pedalaman merupakan pengalaman hidup bagi sebahagian rakyat Malaysia yang tinggal di luar kawasan pusat bandar negeri dan juga ibu kota Kuala Lumpur.
Kehidupan ini juga dirasai oleh Amira (bukan nama sebenar) yang membesar di rumah nenek bersama keluarganya di Pahang.

Di sebalik keindahan kampung yang jauh dari hiruk pikuk kota, rumahnya yang terletak agak hujung berdekatan dengan hutan itu juga agak terpisah dengan rumah lain.
“Banyak kenangan saya membesar di kampung dan semuanya masih menggamit memori dan kadang-kadang membuat saya rindu untuk kembali ke masa lalu.

“Namun, dalam kenangan itu ada suatu perkara yang hanya penduduk di kampung kami yang tahu bahawa kampung kami berjiran dengan perkampungan makhluk yang tidak terlihat iaitu Bunian dan rumah saya adalah kediaman paling hampir dengannya,” katanya kepada CitaRasa.
Tambahnya, semasa kecil dia tidak tahu mengenai perkara itu sehingga dia memasuki sekolah rendah di mana neneknya sendiri bercerita dengannya tentang perkara itu.

Kata Amira lagi, menjadi rumah yang paling dekat dan boleh dikatakan berjiran dengan Bunian memberikan dia banyak pengalaman daripada pelbagai insiden aneh dan menyeramkan.
Antara yang masih dirasai sehingga kini adalah bunyi-bunyi pergerakkan pada waktu malam seperti tapak kaki orang berjalan di sekitar rumah, bunyi berjalan menggunakan tongkat, wanita menangis serta orang mencangkul tanah.

“Hal itu sudah biasa kerana biasanya waktu tengah malam saya mendengar perkara itu dan nenek pernah berpesan supaya membiarkan ia sahaja kerana memang sempadan disebelah rumah adalah laluan mereka.
“Ia tidak pernah menganggu tetapi pernah ada ketika kelihatan kelibat orang berbaju putih berdiri di hadapan rumah dan juga di belakang dapur,” ujarnya.

Kongsinya lagi, pernah suatu ketika berlaku suatu kejadian berlaku di mana adiknya sering bercakap sendirian di rumah.
Awalnya, keluarga menyangka bahawa dia hanya membayangkan kawan imaginasi tetapi selepas mendapatkan khidmat orang arif, rupanya dia berkawan dengan anak bunian kerana hijabnya terbuka.

Tidak mahu adiknya hanyut berkawan dengan bunian kerana khuatir dibawa ke kampung mereka, keluarga Amira kemudian melakukan rawatan dengan menutup hijab matanya serta memagar rumah agar anak bunian tidak boleh masuk tanpa izin.
Pernah juga berlaku, dibelakang rumah tempat keluarga Amira membela ternakan ayam kampung dalam reban kecil, wujud seekor ayam putih tanpa sedikit cela.

“Kejadian ini berlaku semasa saya tingkatan dua, malam sebelum ayam itu muncul di dalam reban saya ada terdengar bunyi orang memijak zink atap reban, kemudian bila diperiksa keesokan harinya kami melihat ada ayam itu.
“Ia sangat putih tetapi hanya berada di situ selama seminggu sahaja kemudian ia hilang, kata nenek itu ayam bunian yang ditumpang sementara oleh pemiliknya,” kongsinya.

Katanya lagi, banyak perkata seram yang berlaku, namun dia yang membesar dengan keadaan itu sudah terbiasa dan kadangkala ada aktiviti Bunian yang didengar menjadi petanda contohnya wanita menangis menjadi tanda bakal ada kematian di kampung.
