MMToon

MISTERI MAK CIK TUA MERAYAU DI REMANG SENJA

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

NASIHAT orang tua, jangan sibuk dengan hal dunia di saat senja meniti malam pekat, terutama menjelang waktu solat Maghrib.

 

Kisah warga emas yang merayau-rayau tidak kira masa seakan mencari seseorang atau ingin melawat pasangannya di lokasi tertentu seperti hospital atau pusat penjagaan, sudah menjadi sebahagian kisah masyarakat.

Menurut seorang aktivis masyarakat yang ingin dikenali sebagai Azie,50, kisah dirinya yang membantu seorang wanita tua yang berada dalam kegelisahan di sebuah perhentian bas beberapa tahun lalu bukan sahaja memilukan, malah menjadi misteri yang tidak terungkai.

“Saya semasa itu sedang membasuh pakaian di sebuah kedai dobi layan diri pada suatu lewat petang menghampiri senja sebelum saya ke kedai berhampiran untuk membeli minuman.

 

“Wanita tua yang berusia 70an, lingkungan umur ibu saya kelihatan mundar-mandir di perhentian bas seolah-olah menghadapi suatu kecemasan,”katanya ketika ditemui di Kuala Selangor baru-baru ini.

Azie berkata, dalam masa yang sama, seorang pemuda menghampiri wanita tua tersebut sebelum dia sendiri sampai di tempat wanita tua itu sedang berdiri tidak lama kemudian.

 

Jelas Azie lagi, pemuda itu memberitahu wanita itu ingin ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk melawat suaminya.

 

“Setelah pemuda itu berlalu, saya pula mengambil alih tugas seperti wartawan media perdana, ‘menyoal siasat’ wanita yang saya bahasakan mak cik itu kira-kira pukul 7 malam.

“Mak cik itu memberitahu saya, dia menerima panggilan daripada hospital untuk segera datang ke wad kecemasan kerana suaminya sedang nazak,”katanya.

 

Azie yang bersimpati memberitahu, dia meminta izin kepada wanita tersebut untuk melihat telefonnya untuk membolehkan dia menghubungi saudara terdekat mak cik tersebut yang dilihatnya berkelakuan ganjil.

 

Kebetulan kata Azie, terdapat nombor yang tertulis nama along di dalam senarai telefon milik wanita itu, lalu dia menelefon individu berkenaan dengan harapan ia adalah keluarga wanita yang berwajah keliru itu.

“Di hujung corong telefon, terdengar suara lelaki bercakap dalam nada marah. Katanya kepada saya, suruh emaknya balik rumah dan jangan keluar.

 

“Lelaki itu saya andaikan adalah anak kepada wanita tua itu. Katanya, bapanya telah meninggal beberapa tahun lepas dan sejak itu ibunya menjadi nyanyuk dan pelupa,”ujarnya.

 

Cerita Azie lagi, dia mengambil keputusan untuk menghantar mak cik yang bernama Kamsiah itu pulang ke rumahnya.

Mak Cik Kamsiah katanya, masih ingat rumahnya berada tidak jauh dari kawasan Azie menemuinya.

“Mak cik Kamsiah memberitahu saya, dia tidak ingat bila suaminya meninggal dunia. Baru petang tadi dia diberitahu adik iparnya suaminya tenat di hospital.

 

“Ketika menghantarnya pulang, jirannya seorang wanita berusia 60an memberitahu saya, Mak Cik Kamsiah rindukan suaminya yang meninggal kerana sakit jantung. Akibat nyanyuk juga rumahnya nyaris terbakar semasa dia memasak,”katanya.

Selepas beberapa hari peristiwa tersebut berlaku, Azie kembali ke rumah wanita tua tersebut pada suatu petang untuk bertanya khabar.

 

Rumahnya di pangsapuri terletak di tingkat 4 kata Azie, seperti sudah lama ditinggalkan, walaupun sebenarnya baru seminggu peristiwa dia menghantar Mak Cik Kamsiah berlangsung.

Lebih pelik kata Azie, jirannya bukan wanita yang ditemuinya minggu lalu tetapi seorang wanita muda berusia dalam lingkungan 30an.

 

“Saya bertanya wanita itu tentang Mak Cik Kamsiah dan wanita berusia 60an yang ditemuinya di rumah tersebut. Katanya Mak Cik Kamsiah sudah lama meninggal dunia tidak beberapa lama selepas suaminya meninggal iaitu lima tahun lalu.

 

“Katanya lagi, Mak Cik Kamsiah memang suka merayau pada waktu senja sejak suaminya menghembuskan nafas terakhir. Semasa hayatnya, anak lelakinya yang bekerja di luar daerah ini jarang menjenguk ibunya hinggalah ibunya disahkan meninggal akibat kemalangan dilanggar kereta ketika merayau,”katanya.

Azie yang terkejut dengan kisah tersebut berkata, dia berulang kali memberitahu wanita tersebut adakah kisah tersebut rekaan atau wanita itu ingin mempermainkannya.

 

Berdasarkan riak wajah wanita muda itu jelas Azie, dia yakin setiap bait kata-katanya benar belaka.

“Saya pun lupa untuk mengambil nombor telefon Mak Cik Kamsiah kerana tidak menyangka rupanya saya dipertemukan dengan entiti misteri.

 

“Masih terbayang wajah muram Mak Cik Kamsiah yang diajak pulang ke rumah. Saya baru perasan saya tidak menyentuh langsung tubuh Mak Cik Kamsiah dan semasa menghulurkan wang ia diambil dengan berhati-hati dengan hujung jari,”ujarnya.

Pada masa itu terang Azie lagi, baru dia teringat pesanan orang tua semasa kecil, jangan suka keluar pada waktu senja kerana itu adalah permulaan waktu siang bagi makhluk halus seperti jin dan syaitan.

 

Tambahnya lagi, dirinya bersangka baik dengan peristiwa pelik tersebut, dan menganggap ia sebagai episod mimpi semasa tidur.

 

“Namun kisah pelik tersebut bukan setakat itu sebenarnya. Kisah wanita tua yang menjadi jirannya Mak Cik Kamsiah peramah turut saya tanyakan kepada wanita muda tersebut.

“Sangkaan saya wanita tua itu adalah ibu kepada wanita muda itu adalah meleset sama sekali,”jelasnya.

 

Menutup perbualan dengannya Azie berkata, wanita tua tersebut adalah pemilik rumah tersebut yang telah meninggal dunia beberapa hari selepas Mak Cik Kamsiah menghembuskan nafas terakhir dan mereka berdua adalah rakan karib semasa hayat mereka.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!