
Oleh FADILA AWALUDIN
KEMAMPUAN untuk melihat entiti misteri atau makhluk mistik boleh dianggap anugerah yang tidak inginkan buat Kamil Ali (bukan nama sebenar) apatah lagi hal itu bukan sesuatu menggembirakan buatnya.
Kongsi Kamil kepada CitaRasa, sejak usianya remaja perkara sebegitu sudah dianggap biasa pada ahli keluarganya yang secara tidak langsung dapat menjadi ‘alat pengimbas’ sama ada wujud ‘tetamu tidak diundang’ atau tidak.
Disebabkan kemampuan itu juga, dia berdepan dengan insiden mencemaskan apabila makhluk menyeramkan itu muncul secara tiba-tiba saat sedang memandu kenderaan.
“Bukan selalu saya dapat melihat, tetapi sesekali dengan izin Allah makhluk itu muncul di depan mata yang membuatkan saya terkejut dan meremang bulu roma.

“Begitu juga dengan kejadian yang menimpa baru-baru ini apabila saya sedang dalam perjalanan ke Muadzam Shah (Pahang) untuk menjalani kursus,” katanya memulakan bicara.
Disebabkan perlu menyelesaikan beberapa perkara, Kamil bergerak dari Seremban, Negeri Sembilan untuk ke Muadzam Shah selepas makan malam sekitar pukul 8 malam.
Selalunya memandu sendirian itu perkara biasa dan tidak menjadi masalah buat Kamil sementelah perkara itu sering dilakukan olehnya.
Bagaimanapun pada hari itu satu perkara aneh berlaku sewaktu Kamil melalui laluan kelapa sawit menjelang tengah malam.

Sedang dia memandu, secara tiba-tiba ada haiwan yang menyerupai seperti anjing berlari ke tangah jalan dan mengakibatkan Kamil terperanjat sehingga hilang kawalan sedikit.
“Waktu itu saya sangat bersyukur kerana tidak berlaku kemalangan kerana anjing berwarna hitam itu tiba-tiba muncul melintas di tengah jalan.
“Mujur saya masih dapat mengawal kereta agar tidak merempuh pembahagian jalan atau masuk ke kawasan ladang kelapa sawit,” katanya.

Setelah itu Kamil meneruskan pemanduan dan melajukan sedikit keretanya kerana mula berasa seperti ada yang tidak kena di kawasan itu.
Sedang fokus dengan pemanduan, tiba-tiba Kamil memberhentikan kereta kerana berasa seperti ada melanggar sesuatu.
Bimbang jika dia melanggar haiwan seperti kambing atau babi hutan, Kamil keluar dari kereta dan memeriksa keadaan sekeliling.

“Saya keluar kereta tengok tiada apa-apa. Kereta pun baik dan tiada apa-apa yang ada di samping kereta, tetapi waktu itu saya yakin bahawa saya telah melanggar sesuatu sebab ada dengar bunyi.
“Lepas pusing keliling kereta, saya masuk dalam balik dan tutup pintu. Kemudian saya toleh ke tempat duduk belakang untuk memastikan bag dan beberapa barang lain tidak mengalami apa-apa (jatuh dari kerusi).
“Bila saya pandang saja cermin hadapan, saya melihat saya makhluk yang kepalanya hampir putus manakala tangan kirinya di belakang kepala, tangan kanan terpusing ke belakang badan sedang duduk bercangkung di bonet hadapan,” ujarnya.

Dalam keadaan takut, Kamil memejamkan mata sambil membaca beberapa ayat surah al-Quran tanpa henti.
“Lepas itu perlahan-lahan saya buka mata dan lihat makhluk itu tiada. Saya pun melihat juga keliling untuk benar-benar pastikan yang dia sudah tiada.

“Kemudian saya terus pecut laju dan tidak lagi menoleh ke belakang atau melihat cermin pandang belakang. Sambil-sambil itu saya terus membaca ayat al-Quran tanpa henti sampai tiba di lokasi.
“Syukur saya selamat dan tidak mengalami apa-apa selepas kejadian itu, tetapi ia memang menyeramkan kerana wajah makhluk itu seperti penuh dengan kesan luka dengan sebelah matanya tiada,” kata Kamil.

Ekoran kejadian itu, Kamil tidak lagi berani untuk memandu kenderaan pada waktu malam lebih-lebih lagi di kawasan gelap atau perlu melalui laluan kelapa sawit.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI
