
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
AKTIVITI luar di kawasan hijau mahu pun berbukit sememangnya menjadi trend masa kini.
Pelbagai golongan tidak mengira tua, muda, pesara, usahawan mahu pun golongan profesional aktif dengan aktiviti mendaki tanah tinggi yang mencabar fizikal dan minda masing-masing.
Kisah Mitos yang ingin diceritakan telah dikongsi oleh seorang usahawan dari Kuala Selangor yang sering menyertai aktiviti lasak seperti mendaki bukit, flying fox, berkhemah dan berkonvoi di dalam hutan rimba.
Lelaki berusia awal 50an yang mesra dipanggil sebagai Sofi itu berkata, sudah lebih dua dekad dia aktif meneroka alam semula jadi bagi melupakan sejenak realiti kehidupan seharian yang menyesakkan fikiran di kota.

Menurut Sofi,dia ingin bercerita tentang pengalaman misteri di hutan bukan untuk menakut-nakutkan sesiapa tetapi sebagai peringatan kepada orang baharu yang berminat untuk menjejakkan kaki ke ‘planet’ hijau tersebut.”
“Sebagai orang Islam kita sudah diajar bahawa makhluk halus seperti iblis,syaitan dan jin itu memang wujud.
“Makhluk-makhluk ini amat menggemari kawasan yang sunyi dan jauh dari kelompok manusia. Hutan, bukit dan gunung sememangnya lokasi yang strategik untuk makhluk Allah ini,” katanya.
Sofi berkata, kisah menyeramkan 15 tahun lepas semasa mendaki sebuah gunung di Semenanjung Malaysia memberi kesan kepada dirinya.
Ekspedisi melibatkan 32 orang itu katanya lagi, disertai peserta perempuan dan lelaki yang berusia antara 20 hingga 40 tahun termasuk tiga jurupandu terlatih.
“Sebelum mendaki, jurupandu senior sudah memberi taklimat dan amanat agar semua peserta menjaga tutur kata dan tingkah laku.
“Namun ada dua peserta baru kali pertama mendaki gunung yang seperti memandang sinis kata-kata nasihat jurupandu tersebut,”katanya.
Sofi berkata, peserta ekspedisi lelaki dan perempuan itu seperti endah tidak endah semasa sesi membaca doa sebelum kesemua peserta melangkah masuk ke hutan.
Untuk ke kaki gunung tersebut jelasnya lagi, kesemua peserta perlu melalui denai di dalam hutan.
“Belum sampai ke kaki gunung dua peserta tadi sudah mula buat hal dengan bercakap takbur.
“Peserta lelaki itu berkata kepada peserta wanita dia sudah masak dengan aktiviti sukan lasak dan tidak mempunyai masalah untuk sampai ke puncak.
“Peserta perempuan itu sama naik dengan peserta lelaki tersebut, bergurau senda seolah-olah mereka berada di luar hutan,” katanya.
Setelah dua jam berjalan dan menghampiri kaki gunung ceritanya lagi, kesemua peserta bergerak memulakan pendakian mengikut arahan jurupandu.
Jelas Sofi lagi,kesemua peserta yang turut merasakan sikap kedua peserta lelaki dan perempuan tersebut menjengkelkan, tiba-tiba melihat perubahan drastik kedua peserta yang tiba-tiba membisu.
“Kedua-duanya seakan menggelabah dan ketakutan semasa mendaki seolah-olah mereka kehilangan semangat diri untuk menuju puncak.
“Dalam situasi tersebut, jurupandu terpaksa memantau pergerakan kedua peserta tersebut dengan rapat agar tidak berlaku kemalangan,”ujarnya.
Sikap kedua-duanya kata Sofi lagi seperti kehilangan identiti diri, tiada lagi watak lelaki dan perempuan yang bercakap takbur tadi.
Walaupun kesemua peserta berjaya ke puncak beritahu Sofi lagi, kedua peserta tersebut semacam tidak teruja dengan ‘kejayaan’ mereka.
“Muka masing-masing seperti muka orang yang baru melihat perkara yang menakutkan dan lebih banyak berdiam diri apabila ditanya jurupandu.
“Apa yang pasti peserta-peserta lain berbisik sesama sendiri dengan perubahan sikap kedua-dua peserta tersebut,” katanya.
Pada saat peserta-peserta dan jurupandu masih meraikan usaha pendakian Sofi berkata, kedua peserta itu banyak merenung ke tanah.
Sungguh menghairankan jelasnya lagi, apakah peristiwa yang menimpa kedua peserta yang tampak mesra berjalan seiringan di kaki gunung sebelum ini.
“Dalam perjalanan pulang kedua peserta tersebut tidak lagi berbual dan membuat hal masing-masing hingga sampai ke luar kawasan hutan, di tempat kesemua peserta mula berkumpul.
“Jurupandu saya lihat mendekati kedua peserta, daripada kejauhan saya melihat kedua peserta dengan wajah cuak bercerita dengan ketua jurupandu tersebut,” katanya.
Setelah kesemua peserta beredar ke destinasi masing-masing Sofi berkata, sebelum pulang dia mengambil peluang untuk bertanya kepada jurupandu senior itu, misteri yang melanda kedua peserta ekspedisi mendaki gunung tersebut.
Jurupandu berusia lewat 50 an itu jelas Sofi sambil tersenyum sinis bercerita, jika kita tidak menjaga lisan dan takbur pasti padah akan menimpa sesiapa sahaja.
“Kedua peserta tersebut rupa-rupanya perlu membayar harga yang mahal atas sikap mereka yang seolah-olah meremehkan kewujudan makhluk halus di dalam hutan tersebut.
“Kedua-duanya dibuka hijab hingga boleh nampak wanita seperti seorang puteri dan pengawalnya yang bermuka seperti orang sedang marah merenung mereka di tepi laluan ketika mendaki gunung tersebut.

Walaupun penampakan itu kurang seminit tetapi ia memberi kesan kepada emosi kedua-duanya sepanjang pendakian.”
Pada masa insiden menyeramkan itu berlaku, mulanya mereka mohon untuk pulang tetapi jurupandu bertegas mengatakan tindakan mereka menyusahkan diri mereka jika berlaku apa-apa di tengah jalan,”jelasnya.
Pada masa gangguan itu terjadi jelas Sofi, kedua peserta tersebut tidak menyatakan sebab mereka ingin berpatah balik kepada jurupandu.
Namun akhirnya kata Sofi lagi,setelah keluar hutan tebal itu, barulah jurupandu dimaklumkan oleh kedua pendaki sebab mengapa mereka berasa takut dan ingin pulang segera.
“Sebenarnya jelas jurupandu itu, elok juga mereka tidak bercerita kisah disampuk makhluk tersebut kepada peserta lain, kalau tidak memang kesemua peserta akan turut membuat pusingan U.
“Itulah akibatnya gagal menjaga mulut di tengah hutan. Nasib baik tidak hilang akal atau mengalami sebarang kecederaan,”katanya mengakhiri bicara.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad
