MMToon

PEKERJA ‘INTERN’ DISAKAT PENUNGGU

Oleh Kosmo!

SEWAKTU mendapat tempat untuk latihan industri, gadis itu amat teruja kerana dia dapat merasa pengalaman bekerja di syarikat perbankan pilihannya yang bertempat di Kuala Lumpur.

Semangatnya berkobar-kobar ingin bekerja dengan penuh dedikasi agar setelah tamat pengajian dia dapat bekerja secara tetap di syarikat berkenaan.

Namun, pengalaman selama tiga bulan tidak hanya diisi dengan pengalaman berkhidmat di syarikat tersebut tetapi pada Aini (bukan nama sebenar) dia pernah berdepan situasi mistik sewaktu menjalani latihan industri di sana.

Berkongsi cerita tentang kejadian itu, Aimi memberitahu dia pernah diganggu oleh makhluk halus yang dikenali oleh pekerja di sana sebagai penunggu pejabat mereka.

Kejadian ini berlaku dalam tempoh sebulan pertama saya menjalani latihan industri di syarikat berkenaan dan awalnya semasa ditempatkan di sebuah cawangan dekat Bangsar, bangunannya sudah kelihatan sedikit menyeramkan.

“Namun, saya cuba positif dan fokus untuk menimba pengalaman dan sebagai pelatih, saya sudah diberi tugas hingga perlu bekerja lebih masa,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, kejadian seram pertama berlaku semasa dia ke tandas yang mana pada ketika itu semasa menggunakan tandas dia melihat semua pintu tandas terbuka dan kosong.

Namun, semasa menggunakannya, dia mendengar ada bunyi tapak kaki memasuki tandas di sebelah dan yang membuatkan dia terkejut pintu tandas dihempas dengan kuat.

Aini mengakui dia agak geram dengan tindakan tersebut, tetapi selepas dia keluar dari tandas, dia terkejut kerana tiada siapa yang memasuki tandas di sebelahnya.

Berasa seram dengan keadaan itu, dia bergegas keluar dan kembali menyambung pekerjaan di mejanya.

“Pada masa itu saya tidak memikirkan sangat kejadian berkenaan tetapi ada juga bertanya kepada pekerja lain jika ada kejadian aneh pernah berlaku di pejabat tetapi tiada yang menceritakan apa-apa.

“Cuma ada seorang kakak pernah memberitahu bahawa jika ada berasa sesuatu yang aneh jangan ditegur terutama jika berada di aras tiga iaitu ruang pejabat kami,” ujarnya.

Kongsinya lagi, kejadian seterusnya merupakan insiden yang lebih seram berlaku semasa dia sedang bekerja lebih masa.

Pada hari itu Aini bersama seorang lagi kakitangan menyiapkan laporan harian, namun dia kemudian dia ditinggalkan sendirian selepas rakannya itu terpaksa pulang terlebih dahulu.

Semasa sedang fokus menyiapkan tugasan, sekitar pukul 9 malam, Aini melihat kelibat rakannya itu kembali ke pejabat dan duduk di meja sebelahnya.

Aini cuba bertanya kepadanya kenapa dia kembali, tetapi tiada sepatah jawapan yang diberikan membuatkan dirinya berasa seperti ada yang tidak kena.

“Saya mula rasa pelik kerana awalnya dia berkata ingin pulang lebih awal kerana ada kecemasan keluarga.

“Tetapi saya tidak mengendahkan dia disebelah tetapi sedikit curiga kerana dia tidak melaklukan apa-apa kecuali menatap skrin komputer yang tidak menyala,” kongsinya.

Aini terus menyiapkan kerjanya dan kemudian pulang meninggalkan rakannya sendirian di pejabat kerana semasa dia mengajaknya pulang dia hanya membisu.

Namun, semasa sampai di LRT, Aini menyedari bahawa dia terlupa untuk membawa dompet kadnya dan cuba menghubungi rakannya di pejabat untuk meminta bantuan.

Semasa panggilan dijawab, Aini terkejut kerana dia mengetahui bahawa rakan pejabatnya itu tidak pernah kembali dan sudah lama berada di rumah.

Aini merasa badannya seram sejuk dan memutuskan untuk membeli kad touch n go baharu kerana tidak berani kembali ke pejabat.

“Perasaan bercampur baur ketika itu, saya takut dan pada masa sama terfikir siapa atau apa yang berada di sebelah saya tadi.

“Esoknya saya ke pejabat dan bercerita hal tersebut dengan kakak pejabat dan kemudian dia bercerita bahawa ruang pejabat mereka memang ada penunggu dan biasanya dia suka mengganggu orang baharu sebagai salam perkenalan,” ujarnya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. – Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!