MMToon

SATU MALAM DI LALUAN GUNUNG LEDANG

Oleh Roshihan Annuar Yub

Cuaca di luar semakin gelap, Kamal yang sejak tadi khusyuk bekerja, lantas meninjau ke luar tingkap. Dia bergegas mengemas meja dan mematikan komputer. Setelah menutup suis di dinding terus dia capai beg dan melangkah menuruni tangga ke arah keretanya yang terletak di aras bawah bangunan.

 

Dia mengeluh dalam hati. Kalaulah dia tahu semua rakannya sudah pulang pastinya dia tak tunggu sehingga lewat begini. Itulah padahnya jika terlalu asyik menyiapkan kerja sehinggakan tidak sedar apa yang berlaku sekeliling.

 

Malam itu dia sudah berjanji akan pulang ke rumah orang tuanya di Segamat. Sudah hampir dua minggu dia tidak menjenguk mereka. Ibunya juga sudah beberapa kali menelefon bertanya bila dia akan pulang.

 

“Insya-Allah mak, malam nanti saya balik. Baju-baju pun saya dah siap bawa ini. Nanti balik kerja saya terus ke sana. Kirim salam pada ayah ye,” kata Kamal ketika dihubungi ibunya tengah hari tadi.

Untuk memendekkan waktu perjalanan Kamal terpaksa memilih laluan di Gunung Ledang walaupun dia tahu kawasan itu agak sunyi terutamanya di waktu malam. Dia juga perlu lebih berhati-hati kerana laluan di situ banyak yang dalam pembinaan malah ada ketikanya terdapat juga binatang buas berkeliaran.

 

Sebaik saja melepasi Plaza Tol Tangkak, Kamal terus memecut kenderaan. Sesekali dia menoleh ke arah cermin sisi di kiri kanan, langsung tidak nampak kenderaan lain di jalan raya.

Entah kenapa tiba-tiba bulu romanya tegak berdiri. Spontan dia teringatkan kisah-kisah seram yang pernah dibacanya sebelum ini terutamanya pengalaman mereka yang memandu di waktu malam.

 

Kumat-kamit mulutnya membaca ayat suci al-Quran sambil berdoa agar tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas dirinya ketika itu.

Suasana persekitaran cukup gelap hanya sesekali sahaja dia ternampak cahaya lampu jalan di beberapa laluan masuk ke Felda dan kampung berdekatan. Kamal genggam stereng dan memandu dengan tenang.

Entah kenapa dia rasa ada sesuatu yang tidak kena ketika itu. Sesekali hidungnya dapat menghidu bau yang kurang enak dari dalam kenderaan. Seakan bau hamis dan hanyir. Bukan itu sahaja kenderaannya juga terasa berat berbanding tadi walaupun puas dia menekan minyak untuk menambah kelajuan. Seperti ada beban berat yang dibawanya ketika itu.

 

VROOMMMM… VROOMMMM…
VROOMMMM…VROOMMMM…

 

Mengaum bunyi enjin kenderaannya ketika mendaki bukit. Pelik! Sebelum ini tidak pernah pula dia berhadapan situasi seperti itu. Keretanya pula bukanlah tua sangat, masih elok dan baru sahaja diservis.

Kamal cuba menepis pelbagai andaian negatif yang bermain di benaknya. Dia kuatkan semangat untuk tidak berfikir bukan-bukan walaupun sesekali telinganya dapat menangkap bunyi aneh seakan-akan orang bersiul dan berdehem kecil di kerusi belakang kenderaannya.

 

Terus ditolaknya cermin pandang belakang di hadapan keretanya ke atas. Sengaja dia buat begitu agar matanya dapat mengelak dari memandang ke arah belakang. Mulutnya kumat-kamit membaca ayat-ayat suci al-Quran walaupun jantungnya berdegup laju.

Rintik-rintik hujan mulai membasahi cermin hadapan. Kenderaan yang dipandunya semakin menghampiri laluan di Gunung Ledang. Kamal terus menekan minyak, namun keretanya masih seperti tadi, tidak mampu memecut laju.

 

Tubuhnya sudah lenjun dibasahi peluh walaupun penghawa dingin terpasang kuat dalam kenderaan. Mahu sahaja dia turunkan cermin tingkap tetapi risau pula kalau tempias hujan masuk ke dalam kereta.

 

Bau hamis dan hanyir masih menusuk masuk ke rongga hidungnya. Adakalanya bau tersebut semakin kuat sehinggakan dia berasa loya dan mual. Ikutkan hati mahu sahaja dia menoleh ke arah belakang untuk melihat apa yang ada di situ, tetapi bila terfikir jika ada sesuatu yang di luar jangkaan nanti bagaimana pula? Kamal tidak mahu ambil risiko.

 

Kamal langsung tidak berani memandang ke arah mana-mana cermin sisi. Matanya hanya tertumpu ke arah jalan raya yang gelap di hadapan. Biarlah apa yang berlaku sekalipun, fikirnya dia harus cepat meninggalkan laluan berliku di kaki Gunung Ledang itu.

Walaupun cuba menambah kelajuan namun kenderaannya masih tidak mampu memecut laju. Ibaratnya seperti dia membawa beban yang bertan-tan beratnya. Tidak sekadar itu, sesekali dia dapat merasakan ada hembusan angin kecil dari arah belakang yang singgah ke tengkuk dan lehernya.

 

Cuaca semakin gelap walaupun gerimis sudah berhenti. Kamal pandang sepanjang kiri kanan jalan yang penuh dengan pohon sawit. Pelik juga kerana sejak tadi kereta langsung tidak berselisih atau bertembung dengan mana-mana kenderaan.

 

Dia tidak menyangka akan mengalami situasi getir seperti itu. Jika sebelum ini dia hanya membaca pengalaman-pengalaman daripada pemandu lain namun kali ini dia sendiri melaluinya. Terbit rasa menyesal dalam hatinya kerana tidak bertolak awal siang tadi.

Hampir 15 minit bergelut dalam ketakutan akhirnya kenderaan dipandunya melewati lampu isyarat di persimpangan pekan Jementah. Ketika itu barulah kelihatan beberapa kenderaan di laluan itu. Kamal tarik nafas lega. Sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa takut yang terbuku di benaknya ketika itu.

 

Dia berhentikan kenderaan sebaik sahaja lampu isyarat bertukar merah. Terus ditoleh ke arah kerusi di belakang. Kosong, tidak nampak sesuatu yang mencurigakan. Dia beristighfar sambil menghela nafas lega.

 

Sebaik lampu isyarat bertukar hijau dia terus menekan minyak, kali ini keretanya terus memecut laju berbanding tadi. Memang terasa bezanya. Dia sedar pasti ada sesuatu yang tidak kena ketika dia melalui laluan di Gunung Ledang tadi.

Jam di kenderaan sudah hampir menunjukkan pukul 12 tengah malam. Perjalanannya untuk sampai ke rumah orang tuanya masih jauh malah dia terpaksa melewati beberapa daerah dan kampung yang gelap dan sunyi. Sekali lagi perasaan cuak mula terbit di fikirannya.

 

Yang paling mencabar sekali adalah laluan masuk ke kampungnya. Sebelum ini seringkali juga dia dengar pelbagai cerita daripada rakan rakan sekampung kononnya banyak berlaku kejadian menyeramkan di kawasan jambatan yang menghubungkan kampungnya dengan jalan utama. Walaupun dia tidak pernah berhadapan situasi tersebut namun apa yang berlaku sepanjang perjalanan tadi membuatkan dia terfikir semula. Adakah dia akan mengalaminya buat kali kedua? Serta merta bulu romanya tegak berdiri.

Kisah yang diceritakan ini berdasarkan pengalaman sebenar yang dilalui oleh Mohd. Hafizuddin Mohamad Ghazali dari Jasin Melaka.

 

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 25 Februari 2024. Imej janaan AI

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!