MMToon

TUMPANGKAN MAK CIK BALIK BOLEH?

Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB

HANIF memandu penuh tenang dan berhati-hati. Sesekali matanya liar meninjau ke kiri kanan jalan seolah-olah mencari sesuatu.

“Dekat manalah rumah si Akob ini, pening pula hendak mencari malam-malam buta macam ini,” ngomelnya perlahan.


Dia mengeluarkan sebatang rokok lalu mencucuhnya. Perlahan-lahan dihembusnya asap ke arah tingkap yang terbuka luas.

Sambil memandu dia bersiul perlahan-lahan mengikut alunan muzik yang terpasang dalam kenderaan.


Jam menunjukkan hampir pukul 11 malam. Persekitaran cukup gelap dan sunyi selain bunyi unggas dan cengkerik yang melatari suasana malam. Maklumlah di kawasan kampung terpencil begitu memang tidak banyak kenderaan lalu lalang tambahan pula di tengah malam.

Kebanyakan rumah yang dilewatinya juga sudah gelap gelita, mungkin semua penghuninya sudah dibuai mimpi.

Hanif mengeluh perlahan. Ikutkan hati memang dia malas masuk ke kampung rakannya itu di waktu begini tetapi memandangkan Akob menghubunginya siang tadi dan memberitahu ingin menumpangnya untuk pulang ke Kuala Lumpur, terpaksalah dia mengalah.

“Beb, kau balik KL malam nanti kan? Aku hendak tumpang boleh? Tadi aku check tiket bas sudah habislah,” kata Akob di telefon siang tadi.

Hanif terus bersetuju. Lagipun jarak dari rumahnya ke kampung Akob lebih kurang 20 kilometer sahaja, dia pula memang lalu di kawasan tersebut sebelum masuk ke lebuh raya.

Sesekali dia membelek telefon bimbit di poketnya. Masih tiada liputan. Hanif mengeluh panjang.

Fikirnya kalau berterusan begini bagaimana dia ingin menghubungi rakannya itu. Ingin bertanya dengan sesiapa agak mustahil kerana di waktu begini satu kelibat manusia pun tidak kelihatan.

Tiba-tiba dia tersentak, dalam samar gelap malam nampak jelas satu sosok sedang berjalan kaki di bahu jalan. Hanif menarik nafas lega. Terus dia memperlahankan kenderaan.

Kelihatan seorang wanita berusia separuh abad sedang berjalan perlahan sambil menjinjing sebuah bakul rotan.

“Assalamualaikum mak cik,..” sapanya dari dalam kereta.

Serta merta wanita tersebut berhenti melangkah dan menoleh ke arahnya.

“Mak cik, saya hendak tumpang tanya, mak cik tahu tak di mana rumah Yaacob bin Samri?

“Saya ini kawannya dari Kuala Lumpur, sudah setengah jam berpusing-pusing di kawasan ini tetapi tidak jumpa pula rumahnya,” kata Hanif tersengih.

Wanita separuh abad itu mengerutkan dahi. Dia seperti cuba mengingati sesuatu.

“Rumah siapa tadi?” tanyanya kembali.

Hanif tersengih kelat. Terasa bersalah pula dia kerana tidak memperlahankan radio di kenderaannya.

“Rumah Yaakob Samri mak cik,” katanya sedikit kuat.

Wanita tersebut menggelengkan kepala sambil melangkah pergi. Hanif menggaru kepala yang tidak gatal.

Namun tiba-tiba wanita tua tersebut berpatah balik ke arahnya.

“Tumpangkan mak cik balik ke rumah boleh tak?” tanya wanita tersebut berhampiran tingkap kende­raannya.

Hanif tiada jawapan. Seakan dipukau dia lantas membuka pintu dan memp­ersilakan wanita tersebut masuk.

“Terima kasih ye, rumah mak cik depan itu saja, takut juga bila berjalan seorang waktu malam begini.” katanya sambil tersengih.

Hanif mengangguk tanpa sepatah kata. Namun belum pun sempat membuka mulut memulakan perbualan, wanita tersebut tiba-tiba menyuruhnya untuk berhenti.

“Sudah sampai dah! Rumah makcik dalam ini saja,” katanya sambil menunjuk ke arah sebuah lorong kecil yang gelap gelita.

Hanif tersentak dengan mulut terlopong. Tidak sampai beberapa saat dia menekan minyak, tiba-tiba suruh berhenti pula.

Rasanya tidak sampai 50 meter jaraknya dari tempat dia tumpangkan tadi. Hanif mengomel dalam hati.

“Terima kasih ye,” kata wanita tersebut sambil melangkah keluar dari kenderaan.

Hanif angguk kepala sambil memecut kenderaan yang dipandunya. Dalam hati dia masih memikirkan perihal wanita tua tersebut.

Tiba-tiba dia tersentak apabila terlihat sesuatu di ruang letak kaki di kerusi penumpang sebelahnya.

Nampak jelas bakul kepunyaan wanita tadi tertinggal di situ. Hanif serba salah, fikirnya perlukah dia berpatah balik atau teruskan sahaja perjalanan.

Setelah berfikir sejenak dia akhirnya ambil keputusan untuk berpatah balik. Dia berdoa agar wanita tadi masih ada di laluan berdekatan, jika tidak terpaksalah dia cari jalan lain untuk memulangkannya.

“Ishh, mana pula perginya makcik tadi? Takkan sekejap saja sudah hilang,” getusnya dalam hati sambil memandang sekeliling.

TRUTTT… TRUTTT… TRUTTTT… TRUTTT….

TRUTTT… TRUTTT… TRUTTTT… TRUTTT….

Hanif tersentak apabila telefon bimbitnya tiba-tiba berdering.

“Assalamualaikum beb, kau dekat mana? Sudah sampai kampung aku belum?” Tanya suara di hujung talian.

Hanif hela nafas panjang. Rupa-rupanya panggilan daripada rakannya Akob.

“Waalaikumsalam, hah, ada pun kau! Banyak kali aku call tapi tidak dapat. Teruk betul line dekat kampung kau ini. Nasib baiklah kau telefon, kalau tak aku sudah cabut balik KL tadi,” bebel Hanif panjang lebar.

Setelah mendapat lokasi yang tepat Hanif terus menuju ke rumah Akob. Sebaik sampai dilihat rakannya itu sudah menunggu di beranda rumah. Akob tersengih sambil melambai tangan ke arahnya.

“Suah jom kita balik KL. Sorrylah tidak dapat kenalkan dengan mak ayah aku sebab mereka pergi rumah pakcik aku di Alor Setar,” kata Akob sambil menyumbat beg pakaiannya di kerusi belakang.

“Patutlah aku tidak jumpa rumah kau, rupa-rupanya jauh ke dalam. Kalau aku cari sendiri confirm sesat,” kata Hanif tertawa kecil.

Akob tersenyum, namun tiba-tiba dia mengerutkan dahi. Sambil memandang ke arah Hanif.

“Eh, ini bakul siapa pula?” tanya Akob kehairanan sambil tangannya membelek-belek isi kandungan bakul tersebut.

“Hah, ada apa dalam bakul itu?” tanya Hanif sambil memaut erat stereng di tangannya.

“Err, ada bunga, daun pandan, err.. lepas tu ada batu sungai. Siapa punya ini, engkau?” tanya Akob kehairanan.

Hanif lantas menceritakan perihal makcik yang menumpang keretanya sebentar tadi. Terlopong mulut Akob mendengarnya sambil memandang Hanif dengan wajah tidak keruan.

“Beb, sekarang ini kau tak payah hendak rajin cari orang tua itu pula.

“Sekarang ini kau berhenti saja dekat mana-mana dan letakkan bakul ini di tepi jalan,” kata Akob.

Hanif memandang Akob dengan penuh kehairanan.

“Kalau kau hendak tahu bukan kau seorang saja sudah kena dengan makcik tua ni, tetapi ramai lagi.

“Orang kampung semua kenal dengan dia. Dia sudah sebulan lebih meninggal dunia sebab kemalangan dekat simpang jalan besar itu. Kalau tidak silap waktu itu dia hendak pergi ziarah kubur suami dia,” kata Akob panjang lebar.

Terdiam Hanif mendengar cerita rakannya itu. Entah kenapa tubuhnya berasa panas dan menggigil.

Serta merta dia terbayangkan senyuman dan renungan yang dilemparkan oleh wanita tua itu sebentar tadi.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Mingguan Malaysia pada 2 Jun 2024. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!