Oleh Roshihan Annuar Yub
“Bila kau sedia? Bila-bila masa aku boleh bawa kau pergi jumpa bomoh itu,” kata Seman kepada rakannya Sani.
Sani hanya terdiam sambil mengetap bibir. Berbunga sedikit hatinya apabila mendengar tawaran daripada rakannya itu. Memang itulah yang dia harapkan ketika ini kerana baginya dia sudah habis ikhtiar dan tidak tahu bagaimana ingin selesaikan masalahnya.

Boleh juga Man, lagipun sampai bila aku hendak tunggu? Makin lama nanti makin teruk bisnes aku ini,” jawab Sani bersemangat.
Seman tersengih. Akhirnya mereka capai kata sepakat untuk pergi berjumpa Pawang Deris. Mungkin inilah jalan terbaik untuk memulihkan semula perniagaan Sani yang semakin merudum.
Seperti yang dijanjikan hari berikutnya Seman dan Sani bertolak ke rumah Pawang Deris. Hampir dua jam memandu akhirnya barulah mereka sampai. Sebaik Pawang Deris menjemput mereka masuk Sani terus menceritakan tujuan kedatangannya. Berkerut wajah Pawang Deris mendengarnya, namun dia tidak memberikan sebarang reaksi.
“Saya berharap benar kalau Tok boleh tolong saya. Memang teruk sangat bisnes saya sekarang ini sampaikan saya hendak bayar gaji pekerja pun tidak mampu,” kata Sani berharap.
Pawang Deris diam seketika seraya mengurut janggutnya.
“Satu perkara lagi Tok, kerja kontraktor macam saya ini memang banyak persaingan, saya minta sangat kalau Tok boleh supaya pihak-pihak atasan di pejabat itu pandang dan terima setiap permohonan tender-tender saya,” sambung Sani panjang lebar.
Sekali lagi Pawang Deris terdiam. Dia merenung wajah Sani dalam-dalam.
“Berat juga permintaan kau ini,” kata Pawang Deris mengeluh.

Sani dan Seman berpandangan seakan tidak mengerti apa kiasan yang diucapkan oleh Pawang Deris ketika itu.
“Beginilah, aku boleh ikhtiarkan apa hajat yang kau minta, tapi ada harga yang perlu kau bayar kerana benda macam ini bukan mudah, lagipun aku pasti setiap pesaing kau itu mesti ada guna khidmat bomoh juga.”

Kalau kau hendak yang betul-betul hebat aku boleh beri, tapi fikir masak-masak dulu sama ada kau setuju atau tidak. Pelaris yang aku cadangkan ini bukan calang-calang orang boleh pakai dan silap hari bulan salah guna boleh makan diri sendiri,” kata Pawang Deris panjang lebar.
Sani dan Seman terdiam sambil berpandangan.
“Boleh Tok terangkan pelaris yang macam mana Tok hendak kasi itu?” Tanya Sani tanpa teragak-agak. Pawang Deris terdiam sambil memandang Sani dan Seman bersilih ganti.

Tangkal yang aku hendak bagi ini bukan tangkal biasa, tetapi ada pendampingnya,” tutur Pawang Deris lagi.
Sani terdiam seketika. Walaupun hatinya sedikit berbunga namun timbul pula perasaan cuak. Tawaran yang diberikan nampaknya seakan bersyarat.
“Tak apalah kalau macam itu, tapi Tok ceritalah terus terang supaya kawan saya ini faham. Senang dia hendak buat keputusan,” kata Seman mencelah.

Pawang Deris hela nafas panjang sebelum menyambung kata-kata.
Katanya, tangkal tersebut merupakan antara tangkal pelaris yang cukup terkenal. Tangkal tersebut dia ambil daripada temannya yang menetap di Songkla, Thailand.
Setahunya tangkal itu diperbuat daripada beberapa bahan penting dan terlarang yang terkeluar daripada norma dan batas pemikiran manusia seperti, abu mayat orang mati dan cebisan kain kafan yang membalut mayat. Selepas itu azimat tersebut akan dipuja dan dijampi dengan mantera oleh bomoh yang membuatnya.

Kata Pawang Deris lagi azimat tersebut bukan dia yang membuatnya, tetapi dibuat oleh seorang rakannya yang juga bomoh berketurunan Siam yang tinggal di sana.
“Macam mana? Kau berminat tak? Kalau minat aku beritahu dia nanti,” tanya Pawang Deris bersungguh.
Sani terdiam. Nampak kerut di dahinya seakan memikirkan sesuatu.

Kalau saya setuju ambil, ada pantang larang ke yang perlu saya patuhi?” Tanyanya lagi sambil memandang tepat ke arah Pawang Deris
Pawang Deris tersenyum sambil memerhatikan wajah Sani dalam-dalam.
“Setiap benda Istimewa yang bakal memberikan pulangan pasti ada harganya, itu saja yang boleh aku katakan,” katanya.
Bersambung…
Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 6 Julai 2025 . Imej janaan AI
