Oleh Roshihan Annuar Yub
Malam itu sebaik sahaja selesai bermain badminton, saya dan beberapa rakan singgah minum di sebuah warung mamak berdekatan. Memang begitulah rutin kami setiap minggu apabila selesai sahaja mengeluarkan peluh, kami akan mengisi perut sebelum pulang ke rumah. Dan kebiasaannya ada di antara rakan-rakan seperti Che Ros dan Wawa akan membawa pelbagai bekalan lauk pauk untuk dinikmati bersama sambil menikmati makanan pelbagai topik kami bualkan. Dan entah kenapa malam itu masing-masing banyak berkongsi tentang cerita dan pengalaman seram yang pernah dialami sebelum ini.
Salah seorang rakan kami, Iskandar yang berasal dari Sabah bercerita kononnya di tempat kelahirannya cerita seram dan misteri sudah menjadi kebiasaan. Walaupun dia bersungguh bercerita, namun setiap tutur katanya menjadi bahan lawak dan usikan kami, maklumlah bahasanya masih lagi pekat dengan loghat Sabah.
Sedang asyik bercerita, tiba-tiba salah seorang rakan kami yang mesra dipanggil Abang Mie mencelah…
“Pengalaman awak semua ini hanya berlaku sekali seumur hidup, tapi pengalaman Abang Mie ini setiap malam,” katanya sambil meneguk minuman dalam gelas.
Kami semua melopong seketika. Zahini yang sedari tadi asyik leka menjamah makanan terus berhenti menyuap. Matanya memandang tepat ke arah Abang Mie.
“Pengalaman seram apa pula yang sampai tiap-tiap malam itu bang? Tanya Wawa sambil tangannya ligat mengopek petai di tangan.
Abang Mie hela nafas perlahan sebelum menyambung kata-kata…
“Kisah ini berkenaan dengan emak Abang Mie sendiri. Kalau hendak tahu ada kisah misteri dan seram yang Abang Mie lalui setiap malam bila pergi ke rumahnya,” katanya menyambung perbualan.
Abang Mie meneruskan ceritanya…

Ibunya berusia hampir 90 tahun dan tinggal bersama kakak sulungnya. Walaupun sudah uzur dan menghidap pelbagai jenis penyakit, namun sebagai anak sulung lelaki, dia tetap mengambil berat dan meluangkan masa hampir empat ke lima hari seminggu untuk membantu serta membawa ibunya mendapatkan rawatan.”
Nasib baiklah Abang Mie masih bujang dan bekerja sendiri, jadi bolehlah dia aturkan masa sendiri antara tugas dan kewajipan. Abang Mie juga kerap membawa ibunya berubat ke sana sini, maklumlah orang sudah berusia ini macam-macam penyakit yang timbul, lemah sendi, sakit tulang, lenguh-lenguh semua ada.
Tetapi yang menjadi kemusykilan dan persoalannya adalah tentang kondisi ibunya yang jauh berbeza antara siang dan malam.
Kata Abang Mie, fizikal ibunya serta merta akan berubah apabila menjelang tengah malam. Jika di waktu siang keadaannya cukup uzur, tetapi menjelang tengah malam dia akan sihat seperti orang muda.
Ujar Abang Mie lagi, setiap kali apabila dia datang pada waktu malam, ibunya sudah siap sedia duduk di sofa menunggunya, berbeza pula dengan waktu siang yang mana Ibunya lebih banyak tidur dan baring di katil.
Bukan itu sahaja, boleh dikatakan setiap malam ibunya akan ‘pasang badan’, bersolek memakai gincu dan sebagainya sambil mengenakan busana tradisional yang sering dipakai oleh wanita dahulu kala.
Raut wajahnya juga berubah sama sekali. Tiada lagi kedut seribu yang biasa dilihat pada siang hari, kulit pipi di wajahnya bertukar anjal dan tegang. Tidak ubah seperti wanita berusia awal 30-an.
“Kalau tengok perbezaan wajah dia pada waktu siang dan malam, pasti takkan percaya dia adalah orang yang sama. Dan keadaan itu biasanya terjadi selepas jam 2 pagi,”
“Kadang-kadang bila Abang Mie sampai lewat, dia sudah standby duduk di kerusi sambil pandang dengan lirik mata dan senyuman yang cukup menyeramkan. Bila fikir balik rasanya bukan dia yang ada di situ,” sambungnya.
Kata Abang Mie lagi, waktu malam jugalah selera makan ibunya bertambah sehinggakan dia boleh makan nasi sehingga satu periuk, berbeza dengan waktu siang yang mana sepinggan nasi pun susah untuk dia habiskan.

Abang Mie ini selalu fikir positif dan cuba setkan di otak yang itu adalah emak abang Mie, walaupun dalam hati masih berkata-kata sebaliknya,”
“Ikut logik akal memang tak mungkinlah itu dia. Takkan orang yang fizikalnya sudah uzur sehinggakan hendak berjalan pun terpaksa kena pimpin tetapi bertukar sifatnya jadi sihat walafiat dan bertenaga pada waktu malam.
“Bukan sahaja boleh bersolek dan berwangi-wangian, malah ada ketikanya dia siap berdandan atau menyisir rambutnya sehingga pagi,” kata Abang Mie dengan wajah berkerut.
Kami semua yang berada di situ terdiam mendengarnya. Masing-masing hilang idea untuk bertanya lanjut.
Rasanya jika perkara sedemikian terjadi kepada kami pun mungkin akan menimbulkan sejuta persoalan.
“Tak mustahil juga akan datang nanti Abang Mie pula yang bakal mewarisinya, sebab Abang Mie anak lelaki sulung,” kata Iskandar tanpa berlapik. Menyinga Abang Mie dengar kata-kata Iskandar tersebut.
Mentang-mentanglah cerita itu berkaitan dengan dirinya, terus Iskandar jatuh hukum sebegitu. Iskandar hanya tersengih-sengih sambil menyuap tapai yang dibawa Che Rose ke mulutnya.
“Oh, kau banyak bunyi ye, mengata aku pula! Kejap lagi kau balik rumah naik Grab. Aku malas hendak hantar kau balik,” kata Abang Mie sambil disambut gelak ketawa daripada kami.
Walaupun pertanyaan Iskandar itu sekadar jenaka, namun ada juga benarnya, Abang Mie lantas terfikir jika apa yang diperkatakan Iskandar itu menjadi kenyataan, bagaimana pula dia harus menghadapinya nanti?
Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 11 Mei 2025. Imej janaan AI.
