MMToon

KERETA DITUMPANG LEMBAGA PUTIH MALAM RAYA

Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI

TAHUN ini merupakan kali pertama Adam (bukan nama sebenar) tidak dapat pulang beraya ke kampung disebabkan tugasan.

Bertugas sebagai seorang jururawat lelaki di sebuah hospital awam di ibu negara membuatkannya reda dengan ketentuan tersebut memandangkan tugasan mulianya itu menuntut sedemikian rupa.

Sebagai kakitangan yang baharu melaporkan diri, anak kelahiran Jementah, Segamat, Johor itu akur dan bersedia untuk bertugas ketika hari pertama Syawal.

Cerita Adam, mengikut jadual, dia akan mula bercuti pada hari raya keempat dan sudah merancang untuk pulang ke kampung halaman seusai tugasan tamat.

“Saya masih ingat, tahun lalu hari raya ketiga saya masih bekerja dan tamat syif pada pukul 11 malam.

“Jadi saya ambil keputusan untuk balik ke kampung terus. Barang-barang, baju raya dan biskut raya juga siap dikemas dan diletakkan di dalam kereta,” katanya memulakan bicara.

Jelas Adam lagi, dia jarang pulang ke kampung selewat malam begitu, tetapi tidak mahu berfikir panjang kerana tahu kebiasaannya jalan raya penuh dengan kenderaan disebabkan musim perayaan.

Justeru, dia malas untuk menunggu pagi raya keempat dan memutuskan segera pulang ke kampung pada malam itu juga.

“Saya cuma fikir bukan jauh sangat Kuala Lumpur ke Segamat. Tiga jam dah boleh sampai biasanya.

“Lagipun saya begitu teruja nak balik dan memang malas nak tinggal di bandar lama-lama.,” katanya.

Imbas Adam, tepat pukul 11.15 malam, dia memulakan perjalanan dan seperti biasa menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan akan keluar di persimpangan Tangkak.

Ujar anak kedua daripada lima beradik itu, perjalanannya pada malam itu sangat lancar dan jalan juga dipenuhi kenderaan bagi kedua-dua hala.

“Sambil memandu tu, memang lagu raya yang saya layan. Daripada lagu raya lama nostalgia menggamit memori sampailah ke lagu terkini.

“Bukan mengantuk atau apa, tapi saja nak ambil feel (perasaan) kerana makin dekat makin rasa tak sabar,” katanya lagi.

Beberapa jam memandu dan selepas keluar dari Plaza Tol Tangkak, Adam meneruskan perjalanan ke Jementah yang mengambil masa lebih kurang 45 minit sebelum tiba di kediamannya.

Beritahunya, usai keluar dari plaza tol tersebut, kenderaan sudah muka kurang menandangkan jarum jam juga sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi.

“Siapa yang pernah menggunakan jalan lama Tangkak ke Jementah mereka mungkin tahu. Ada kawasan yang memang gelap lagi-lagi selepas pekal Sagil menuju ke Jementah.

“Masa saya memandu, kenderaan memang boleh kira dengan jari. Mungkin dah nak hampir pukul 2 pagi.

“Orang pun dah balik ke rumah untuk tidur selepas puas beraya. Jadi saya teruskan pemanduan seperti biasa.

“Saya tak ada rasa takut atau seram. Cuma rasa sedikit sunyi kerana tak banyak kenderaan. Lagu raya yang diputarkan pun automatik jadi sayu dan tak berapa nak ceria,” katanya lagi.

Beberapa minit selepas melintasi pekan Sagil, Adam terperasan ada sebuah van jenazah di depannya dan begitu perlahan memandu.

Ujar Adam lagi, mungkin ada kematian di hospital terdekat dan jenazah dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Saya pun masa itu tak fikir panjang potonglah van jenazah tersebut. Sambil memotong, saya sempat menoleh ke kiri dan nampak ada pemandu serta dua lagi orang di dalam van tersebut.

“Selang beberapa minit selepas memotong, saya terbau kemenyan dan diselang-seli dengan bau bunga melur.

“Meremang juga masa itu. Tapi saya jenis tak nak fikir panjang. Entah bagaimana, mata saya terpandang cermin pandang belakang ketika itu.

“Alangkah terkejutnya saya pertama kali melihat sosok tubuh wanita berkain putih berambut panjang duduk menumpang di tempat duduk belakang kereta.

“Masa itu macam-macam doa saya baca. Saya seakan-akan hilang fokus. Terbayang-bayang lembaga putih tanpa wajah yang jelas itu tadi.

“Hampir saya terbabas dan kemalangan ketika itu. Syukur Allah selamatkan saya. Mungkin ‘dia’ nak tumpang saya,” katanya.

Ujar Adam lagi, kerana peristiwa seram tersebut, dia jatuh demam dua hari dan tidak dapat beraya bersama keluarga tersayang dan hanya mampu berehat di rumah sahaja.

Keluarga Adam juga ada memberitahu, jalan tersebut memang agak ‘keras’ dan sudah ramai yang pernah ditumpang lembaga putih tersebut hingga ada yang kemalangan dan pernah meragut nyawa kerana terkejut.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!