Oleh Roshihan Annuar Yub
Berita Wak Seman meninggal dunia menjadi kecoh. Masakan tidak, dia yang sebelum ini sihat walafiat tanpa terlantar sakit, tiba-tiba meninggal dunia. Memang pelik! Lagi pun pagi tadi elok sahaja dia bersarapan di warung Cik Senah hujung kampung, jadi itu yang membuatkan penduduk kampung tertanya-tanya.
Pelbagai andaian yang kurang enak mula bertiup kencang. Macam-macam versi cerita didengar tambah pula semasa hayatnya Wak Seman dikenali sebagai bomoh yang cukup terkenal. Pendek kata, nama Wak Seman begitu popular dan meniti dari bibir ke bibir.
Satu yang membezakan Wak Seman dengan bomoh-bomoh lain yang ada di kampung Pauh adalah cara dia merawat pesakit.
Dia langsung tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran tetapi mantera dan jampi serapah yang tidak difahami.
Ketika hayatnya Wak Seman memang tidak bercampur dengan masyarakat setempat. Dia banyak menghabiskan masa sendirian di kebun belakang rumahnya. Ke masjid atau surau memang jauh sekali. Isterinya pun sudah letih nasihat.
Nasib baiklah Wan Tijah tidak begitu, jadi sedikit sebanyak kebaikan Wan Tijah di kampung itu berjaya menutup kekurangan Wak Seman. Mengikut cerita, Wak Seman meninggal dunia waktu Maghrib tadi ketika membuang sampah di belakang rumah.

Tubuhnya dijumpai terbaring berdekatan busut dengan penuh kesan lebam. Pelik juga! Jika diserang binatang buas pasti ada kesan cakar, tetapi tidak. Itu yang memeningkan kepala ahli keluarganya.”
Malam itu, ramai orang kampung datang menziarahi jenazah Wak Seman. Namun ada pula cerita kurang enak berlaku di situ. Keadaan jenazah arwah cukup mengejutkan. Tubuhnya yang sasa sebelum ini sudah bertukar kecut kehitaman.
Matanya sedikit terjojol dan mulutnya ternganga sehingga menampakkan lidahnya yang sedikit terjelir. Kasihan Wan Tijah, isteri arwah. Tak tahu bagaimana dia hendak sorokkan muka ketika itu.
“Kalau boleh kita uruskanlah jenazah arwah ini secepat mungkin, nanti kalau lambat sangat boleh timbul fitnah pula,” kata Imam Arshad kepada beberapa kariah di situ.
Tengah malam itu, jenazah Wak Seman selamat dikebumikan. Alhamdulillah, tiada berlaku sebarang perkara pelik dan tidak diingini. Semuanya berjalan lancar dan penuh teratur.
Namun setelah seminggu Wak Seman disemadikan, timbul pula cerita kurang enak di Kampung Pauh. Kisah jelmaan Wak Seman yang ‘pulang ke rumah’ menjadi buah mulut sehinggakan isterinya sudah tidak tahan diganggu dan berpindah ke rumah kakaknya di Melaka.
Penduduk kampung sudah tidak berani keluar malam. Masjid dan surau yang selama ini penuh dengan jemaah, kini sudah boleh dibilang dengan jari. Anak-anak muda yang sebelum ini melepak hingga larut malam pun sudah tidak nampak batang hidung. Semua takut terserempak dengan jelmaan Wak Seman.

Fuad menunggang motosikal kapcainya menyusuri lorong tanah merah dengan penuh berhati-hati. Sesekali dia menyumpah kecil apabila tayar kenderaannya termasuk ke dalam lubang becak di jalan berkenaan.”
Ikutkan hati memang dia tidak ingin keluar malam begini, tetapi disebabkan terpaksa menghantar adiknya ke hentian bas di pekan untuk pulang ke asrama dia tiada alasan. Mahu tidak mahu terpaksalah digagahkan juga.
Yang buat Fuad geram kerana adiknya menempah tiket bas di saat akhir. Gara-gara itulah hanya tiket bas paling lewat yang tinggal iaitu pukul 11 malam. Sebelum ini awal-awal lagi dia pesan supaya beli tiket awal, tetapi adiknya degil.
Ketika ingin membelok masuk ke laluan kecil di simpang ke rumahnya, tiba-tiba dia ternampak satu sosok berdiri di tepi simpang. Jantung Fuad berdegup kencang. Otaknya mula berfikir bukan-bukan. Dan sebaik sahaja dia menghampiri sosok tersebut, tiba-tiba…
“Allahuakbar… Allahuakbar..,” jerit Fuad sekuat hati. Ketika itulah tanpa disedari dia memulas minyak motosikalnya sekuat hati. Dan selepas itu dia sudah tidak ingat apa-apa lagi. Sedar-sedar sahaja dia sudah terbaring di rumah sambil dikelilingi ahli keluarganya.
“Apa yang jadi pada kau Fuad? Habis ranap pokok pisang tok ketua kau langgar. Nasib baiklah pagi tadi masa ke surau dia nampak kau, kalau tidak mahu seharian kau pengsan dalam belukar itu,” tanya pakciknya, Ilias sambil tersengih.
Fuad terkebil-kebil cuba mengingati apa yang berlaku malam tadi. Akhirnya dia buka cerita. Katanya, waktu ingin masuk ke simpang menuju rumahnya dia bertembung dengan sosok menyerupai Wak Seman. Namun wajah sosok itu cukup menakutkan. Mukanya sudah hitam dan dipenuhi kudis, matanya terjojol keluar sambil menyeringai.
Katanya lagi, disebabkan terlalu terkejut dan takut dia tak dapat mengawal motosikalnya. Terus dia pecut dan meredah belukar di kebun pisang. Terlopong mulut ahli keluarganya mendengar cerita Fuad. Mereka tahu tidak mungkin Fuad berbohong lagi pun sudah ramai penduduk kampung mengalami kejadian sebegitu.
Kisah jelmaan Wak Seman bergentayangan di Kampung Pauh semakin menjadi buah mulut. Yang paling menakutkan apabila rumahnya yang sudah kosong sentiasa bercahaya di waktu malam. Seakan ada penghuni yang mendiaminya.
Selain itu, ada juga beberapa orang kampung terlihat sosok menyerupai Wak Seman berlegar-legar di kawasan rumahnya ketika waktu senja, malah yang lebih menakutkan apabila mereka perasan yang jelmaan tersebut seakan sedang berbual dengan seseorang.
Beberapa ustaz juga sudah dipanggil untuk memulihkan keadaan di Kampung Pauh. Imam Arshad pula menghubungi Wan Tijah dan meminta kebenaran memeriksa rumah arwah kalau-kalau terdapat benda yang meragukan yang masih belum dibuang.
Memang benar! Sebaik sahaja bilik arwah dibuka, pelbagai peralatan dan barangan pelik ketika dia merawat pesakit ditemukan.
Yang lebih mengejutkan mereka terjumpa segumpal tulang yang dibungkus dengan kain kuning serta patung kecil yang dikelilingi beberapa batang lilin. Mereka kemudiannya membungkus semua peralatan tersebut dan diserahkan kepada Imam Arshad.
Alhamdulillah, selepas sesi pembersihan itu jelmaan Wak Seman sudah tidak kelihatan lagi. Ada juga yang bertanya kepada Imam Arshad tentang di mana dia membuang barang-barang tersebut, namun Imam Arshad sekadar tersenyum.
“Mana boleh aku beritahu di mana aku simpan atau buang barang-barang itu. Nanti kau orang semua ambil dan jadi bomoh macam Wak Seman pula,” katanya sambil tertawa kecil.
Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 15 September 2024. Ilustrasi janaan AI
