
Oleh SAIRUL ZAMRI MISRANI
MASIH segar dalam ingatan Man (bukan nama sebenar) mengenai insiden hampir 20 tahun lalu ketika dia sedang menuntut di universiti awam di selatan tanah air.
Lama memendam cerita, Man terbuka untuk berkongsi bersama Panorama mengenai kisah seram yang selama ini menghantui dirinya.
Cerita Man, rumah ibu bapanya dengan tempat belajarnya tidaklah begitu jauh dan sekitar 20 kilometer sahaja.

Jadi sebagai anak muda pada ketika itu, dia lebih gemar memilih untuk pulang ke kampung setiap kali tiba hujung minggu dan jika berkelapangan tanpa aktiviti di kampus.
“Semasa sambung pengajian di peringkat diploma, saya dapat universiti yang betul-betul dekat dengan rumah.
“Kira rezeki saya jugalah sebab program yang saya minat pun ditawarkan di universiti sama. Jadi bila dah dekat, boleh dikatakan saban minggu saya akan pulang ke rumah dengan menunggang motosikal,” katanya membuka bicara.

Meneruskan kata, Man yang kini sudah pun berumah tangga dan mempunyai tiga cahaya mata memberitahu, memang menjadi tabiatnya sejak di kampus untuk pulang ke kampus dari kampungnya pada waktu malam.
Ujar Man, menunggang motosikal pada waktu malam lebih tenang dan sejuk cuacanya berbanding di siang hari yang jauh lebih panas dan penuh kenderaan di atas jalan.
Justeru, memang menjadi kebiasaaanya untuk memulakan perjalanan sekitar pukul 10 malam atau 11 malam ke atas memandangkan jarak perjalanan yang tidak begitu jauh.

Saya memang jarang balik ke kampus siang hari. Biasanya memang saya suka balik malam dan ada pernah juga saya balik tengah malam.
“Lagipun perjalanan bukan jauh sangat. Tidak sampai setengah jam saya dah boleh sampai ke kampus. Kelas pun pagi, jadi saya memang pilih untuk balik sehari awal pada sebelah malam,” katanya.
Ujar Man, hampir dua tahun berulang alik menggunakan motosikal kesayangan pemberian Allahyarham ayahnya itu, ada satu malam yang membuatkan dirinya ‘serik’ untuk meneruskan tabiat yang sama.

Beritahunya, insiden yang berlaku pada malam tersebut betul-betul menyeramkan dan menginsafkannya untuk tidak lagi pulang ke kampus pada waktu malam.
“Dari rumah saya ke kampus, memang saya akan melalui beberapa kawasan kampung kecil yang boleh dikatakan kiri dan kanannya dipenuhi pokok kelapa sawit.
“Sepanjang laluan juga, saya akan melepasi beberapa tanah perkuburan Islam lama di atas bukit.

“Pun begitu sebelum ini, saya langsung tidak mengendahkan apatah lagi memikirkan perkara tersebut. Saya juga boleh dikatakan seorang yang hati kering kerana sukar nak percaya benda-benda mistik ini,” katanya.
Pun begitu katanya, malam itu merubah segalanya dan saya akui benda-benda mistik dan saya anggap tahyul itu sebenarnya memang wujud dan dialami saya sendiri.
“Dipendekkan cerita, malam itu saya keluar dari rumah agak lewat sekitar pukul 11.45 malam kerana ada kerja yang perlu saya uruskan di rumah.

“Jadi sedang asyik menunggang motosikal dan betul-betul melintasi kawasan perkuburan yang dinyatakan, saya perasan beberapa buah kenderaan memasang lampu ‘double signal’ dan lampu jauh ke arah saya.
“Mula-mula saya tidak fikirkan apa-apa. Tetapi saya perasan setiap buah kenderaan yang melintasi saya di lorong sebelah semuanya berbuat perkara sama (pasang double signal sambil meninggikan lampu).

“Pada masa itu saya dah rasa lain dan pelik sangat. Masa itu juga saya perasan motosikal yang saya tunggang tiba-tiba berat lain macam seolah-olah ada yang menumpang di belakang.
“Entah macam mana, saya memberanikan diri untuk melihat kedua-dua cermin sisi pada motosikal dan alanglah terperanjatnya saya bila melihat sebuah sosok berbungkus seakan-akan pocong sedang berdiri di tempat duduk belakang motosikal,” katanya meremang tatkal teringat kembali kisah seram itu.

Tambah Man lagi, dia tidak sedar apa yang berlaku selepas itu kerana dia sempat memberhentikan kenderaan dan pengsan selepas melihat sosok seram tersebut.
Beritahunya, apa yang dia ingat, dia dimasukkan ke hospital beberapa hari kerana demam panas dan menggigil seluruh tubuh badan sebelum dibawa pulang ke kampungnya.
Sejak dari itu, Man nekad untuk tidak lagi menunggang motosikal pulang ke kampus pada waktu malam dan melalui jalan puaka tersebut selepas waktu Maghrib.
