
Oleh Roshihan Annuar Yub
Sejak Sani memakai tangkal daripada bomoh Siam tempoh hari, perniagaannya terus meningkat dan bertambah maju. Bukan itu sahaja banyak projek dan tender-tender baharu berjaya diperoleh. Dia gembira bukan kepalang, tidak sia-sia dia keluarkan wang simpanannya demi untuk mendapat apa yang dihajati.
Pada mulanya memang dia berasa serba salah apabila Pawang Deris beritahu harga tangkal tersebut mahal hingga mencecah RM10,000 tetapi Seman tetap meyakinkannya.

Kau jangan risau beb. Hari ini kau keluar RM10,000, esok lusa kau dapat RM10 juta pula. Kau percayalah cakap aku ini. Aku kenal lama Pawang Deris ini,” katanya bersungguh-sungguh.
Setelah puas berfikir, akhirnya Sani bersetuju. Baginya alang-alang menyeluk pekasam, biarlah sampai ke pangkal lengan. Dia pun sudah tidak tahu ingin ikhtiar bagaimana lagi.

Dan kini apa yang diidamkan sudah menjadi kenyataan. Tidak sia-sia Seman membawanya berjumpa Pawang Deris, kalau tidak sampai ke sudah perniagaannya rugi. Kini masalahnya sudah selesai dan dia boleh senyum sambil goyang kaki.
Petang itu dia berjumpa dengan Seman di sebuah warung berdekatan pejabatnya. Tujuannya, tidak lain tidak bukan ingin ucapkan terima kasih. Fikirnya tanpa pertolongan Seman tidak mungkin dia dapat kecapi apa yang diperolehnya hari ini.

Terima kasih beb atas pertolongan kau tempoh hari. Kalau kau tak tolong aku tak tahulah apa jadi dengan bisnes aku ini, silap hari bulan aku pinjam ah long.”
“Ini ada sikit saguhati aku kasi kau, ambillah! Ini bukan rasuah, tapi sekadar tanda terima kasih aku pada kau sebab tolong aku,” kata Sani sambil menyerahkan sampul surat kecil kepada Seman.

Tersengih Seman menerimanya. Cepat-cepat dia masukkan ke dalam poket.
“Macam mana sekarang dengan bisnes kau, ada perubahan?” Tanya Seman sambil menghirup air di cawannya.
“Setakat ini alhamdulillah, semua berjalan lancar. Banyak juga projek baru yang aku dapat,” jawab Sani tersengih.

Walaupun perniagaan Sani kembali sukses dan menjana untung, namun dia perasan ada sesuatu yang tidak kena berlaku dalam rumah tangganya. Tetapi dia tidak bercerita dengan sesiapa termasuk isteri dan anak-anaknya.
Kata anak bongsunya, Akmal yang berusia 10 tahun, dia seringkali terlihat kelibat Sani mundar mandir di balkoni dan halaman rumah pada waktu tengah malam ketika ingin ke tandas sedangkan sebelum ini tidak pernah lagi dia lihat perlakuan ayahnya sebegitu.

Kata anaknya lagi bila dia tegur, Sani tidak menjawab malah memalingkan muka ke arah lain.
“Pelik ayah ini, malam-malam pun tak tidur lagi,” kata anaknya waktu bersarapan. Sani hanya tersenyum kelat. Dia sendiri tiada jawapan.

Oh, ayah keluar ambil angin saja. Kadang-kadang ayah merokok dan siapkan kerja-kerja pejabat di meja luar,” kata Sani tersenyum.
Isterinya, Shifa yang kebetulan ada di situ mengerutkan dahi.
“Pelik abang ini, selama kita kahwin tidak pernah pun abang bangun lewat malam siapkan kerja pejabat. Sebab setahu saya abang kalau dah tidur memang tak sedar diri dah, memang tidur mati,” kata isterinya lagi.

Sekali lagi Sani tersengih. Terus dia tukar topik perbualan. Dia tahu apa yang dilihat anaknya itu bukanlah dirinya, mungkin ada sesuatu yang dia masih tidak pasti.
Tidak sekadar itu, kata anak sulungnya pula sejak akhir-akhir ini banyak berlaku perkara pelik di rumah mereka. Katanya, di waktu malam dia sering terdengar sesuatu di tingkat bawah ruang tamu, bila dia turun jengah nampak TV dan kipas terpasang, sedangkan sebelum itu dia sudah tutup semua suis.

Selain itu, dia sering dengar bunyi orang berjalan di waktu malam, ada kalanya berdekatan bilik tidurnya.
Mulanya dia menyangka mungkin ibu atau ayahnya yang bangun dan keluar, tetapi bila berlaku setiap malam dia mula berasa curiga, malahan perkara tersebut pernah terjadi ketika ibu dan ayahnya tiada di rumah.

Saya rasa ayah kena jumpa mana-mana ustaz untuk check rumah ini, Aiman rasa tidak sedap hati. Sekarang ini kalau tinggal berseorangan di rumah memang seram. Macam ada makhluk lain di rumah kita ini,” kata anak sulungnya, Aiman.
Isteri Sani juga bersetuju dengan saranan anak sulungnya itu. Dia juga perasaan ada sesuatu yang tidak kena di rumah mereka.

Betul bang, saya pun rasa apa yang Aiman rasa. Entah-entah ada orang yang sakit hati dan cemburu dengan kita agaknya, maklumlah, bisnes abang sekarang sudah maju, takut ada yang iri hati dan dengki pula.”
“Kalau abang sibuk tidak apa. Nanti saya pergi jumpa Ustaz Farhan minta dia tolong tengok-tengokkan, lagipun saya baik dengan isterinya,” kata isteri Sani lagi.

Sani tersentak dengan tawaran isterinya. Dia tahu niat isterinya baik kerana ingin membantu, tetapi ada sesuatu merisaukannya. Dia takut tembelangnya pecah kerana percaya apa yang berlaku itu ada kaitan dengan dirinya.
“Eh, tak apa, biar abang uruskan. Abang pun ada kenal beberapa ustaz yang boleh tengokkan benda-benda macam ini. Nanti abang ikhtiarkan,” kata Sani cuak.

Selang beberapa hari selepas itu Sani mengajak Seman menemaninya ke rumah pawang Deris. Dia ingin tahu apa yang terjadi di rumahnya ketika itu.
Adakah semuanya berkaitan tangkal yang diberikan oleh bomoh Siam tempoh hari?
Bersambung…
