
Oleh RIZAM ZAKARIYA
PENGALAMAN melihat makhluk halus bukanlah satu perkara yang menggembirakan bagi sesiapa sahaja yang pernah melaluinya.
Ia bukan sahaja menjadi satu memori yang sukar untuk dilupakan, tetapi turut menghantui mereka yang pernah berhadapan dengan situasi tersebut pada sepanjang kehidupan mereka.

Perkara itulah yang dirasai Saiful (bukan nama sebenar) apabila dia sendiri mengakui sukar untuk melupakan pengalaman terserempak dengan satu lembaga hitam yang menyeramkan suatu ketika dulu.
Saiful yang kini sudah berumah tangga dan dikurniakan seorang cahaya mata berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 12 tahun lalu ketika dia menetap di sebuah rumah sewa bersama rakan-rakannya di satu kawasan perumahan di Seremban, Negeri Sembilan.

Ketika itu, saya mengikut rakan sekampung untuk bekerja di sebuah kilang elektronik di Seremban selepas tamat tingkatan lima kerana ingin mencari duit poket sendiri.
“Disebabkan saya baru bekerja, maka saya dipelawa oleh rakan saya itu untuk tinggal bersamanya di sebuah rumah sewa yang terletak tidak jauh dari kawasan kilang.

“Di rumah tersebut, saya tinggal bersama lima lagi rakan yang turut sama bekerja di kilang yang sama, termasuk rakan sekampung saya itu,” katanya yang kini berusia 30 tahun.
Cerita Saiful, kejadian seram yang dialaminya itu berlaku ketika dia baru seminggu tinggal di rumah berkenaan.

Katanya, dia yang tinggal di sebuah bilik di bahagian belakang bersama seorang rakannya berasa sukar untuk tidur apabila lenanya diganggu tangisan bayi yang datang dari rumah jirannya terutama pada waktu malam.
Bagaimanapun katanya, rakan sebiliknya itu memberitahu perkara itu sudah biasa berlaku sejak sebulan lalu sejak jirannya itu baru melahirkan bayi.

Jelas Saiful lagi, disebabkan tidak mahu memanjangkan cerita, dia hanya memekakkan telinga dan cuba untuk melelapkan mata.
Bagaimanapun jelasnya, kejadian aneh berlaku pada malam ketujuh dia tinggal di rumah sewa itu apabila dia terdengar bunyi seakan-akan benda berat jatuh di atas bumbung tingkap rumah jirannya itu.

“Ketika itu, rakan sebilik saya bekerja syif malam menyebabkan saya tinggal berseorangan di dalam bilik.
“Sebaik mendengar bunyi yang agak kuat seperti jatuh di atas bumbung tingkap jiran, saya cuba menyelak langsir untuk melihat apa yang berlaku.

Di sebalik celahan tingkap bilik, saya dapat lihat dengan jelas satu lembaga hitam berbulu sedang bertenggek di atas bumbung berkenaan sambil lidahnya terjelir dan memandang ke atas dalam rumah jiran.
“Terkejut dengan apa yang dilihat, saya terus menutup langsir dan menutup tubuh saya dengan selimut sambil membacakan beberapa surah al-Quran disebabkan ketakutan,” katanya.

Kata Saiful lagi, pada masa yang sama, dia masih dapat mendengar dengan jelas tangisan bayi jirannya itu yang terus-menerus menangis seperti malam-malam sebelumnya.
Jelasnya, pada keesokkan harinya dia mengalami demam dan terpaksa mengambil cuti rehat walaupun baru seminggu memulakan kerja di kilang tersebut.

“Sejak daripada kejadian itu, saya tidak lagi berani untuk menjenguk ke luar tingkap setiap kali bayi jiran saya menangis pada waktu malam kerana bimbang akan ternampak lagi lembaga hitam tersebut.
“Kejadian itu juga tidak pernah saya ceritakan kepada rakan serumah kerana tidak mahu mereka berasa ketakutan,” ujarnya.

Jelas Saiful, kini selepas berkahwin dan dikurniakan cahaya mata, dia pasti akan teringat akan pengalaman menyeramkan itu terutama apabila bayinya menangis pada waktu malam.
Berpegang kepada pesan seorang ustaz, dia akan mengalunkan bacaan surah-surah al-Quran jika bayinya menangis pada waktu malam bagi mengelak terkena gangguan makhluk halus.

Malah, dia yang kini sedang menunggu kelahiran anak kedua juga sudah berjumpa seorang ustaz untuk memasang ‘pendinding’ di rumahnya bagi sebagai persediaan mengelak bayi yang bakal dilahirkan nanti turut diganggu ‘tetamu’ yang tidak diundang itu.
