MMToon

SIAPA BAYARKAN MAKANAN TADI?

PADA keluaran kali ini saya ingin berkongsi sebuah kisah seram yang dialami oleh seorang kenalan bernama Basri. Cerita ini berlaku ketika dia sekeluarga pergi bercuti di sebuah negeri di Pantai Timur Semenanjung pada hujung tahun 2012 lalu.

Kata Basri, kisah tersebut benar-benar meninggalkan kesan mendalam terhadap dirinya, malah selepas kejadian itu, dia sudah tidak berani lagi singgah sesuka hati di mana-mana kedai makan yang mencurigakan terutamanya pada waktu tengah malam.

 

Apa yang berlaku adalah pengalaman yang tidak mungkin dilupakan sepanjang hayatnya.
Begini ceritanya…

 

Memang sudah lama Basri dan isterinya Zurin merancang untuk pergi bercuti. Kebetulan pula ketika itu cuti penggal persekolahan jadi dapatlah dia bawa kedua orang anaknya sekali.

Kali ini mereka memilih Pantai Timur sebagai destinasi percutian, maklumlah negeri-negeri di sebelah sana memang kaya dengan budaya termasuklah pelbagai makanan tradisional yang sentiasa membuka selera.

 

Setelah empat hari menghabiskan cuti, akhirnya mereka pulang semula ke ibu kota. Masing-masing rasa puas hati dan seronok kerana dapat berjalan di serata tempat menarik sambil menikmati pelbagai makanan yang enak di sana.

 

“Bang, nanti kalau jumpa kedai makan di mana-mana kita singgah dulu. Saya sudah lapar ini,” kata Zurin kepada suaminya yang sedang khusyuk memandu.


Basri sekadar tersenyum dan mengangguk perlahan. Sebenarnya perut dia juga berkeroncong sama. Maklumlah sepanjang hari ini dia asyik memandu sahaja tanpa singgah di mana-mana, dan rasanya kali terakhir dia jamah makanan pun pada waktu tengah hari tadi.

 

Sesekali Basri jengah dan tinjau kalau-kalau ada kedai makan yang masih buka di sepanjang jalan. Dia jeling ke arah jam di papan pemuka kereta, sudah hampir 12 tengah malam.

Fikirnya kalau terjumpa mana-mana kedai makan berhampiran dia ingin terus berhenti, maklumlah sudah lewat malam begini pastinya banyak perniagaan yang sudah tutup, tambah pula di kawasan luar bandar.

 

Basri sengaja ikut laluan kampung berbanding lebuh raya kerana fikirnya di laluan tersebut pastinya banyak tempat yang boleh disinggah, terutamanya warung-warung yang menjual makanan, pasti lebih sedap dan banyak pilihan. Nanti bila sudah kenyang barulah dia masuk semula ke lebuh raya dan terus ke ibu kota.

 

Sebaik sahaja kenderaannya melewati lampu isyarat di sebuah pekan kecil, matanya terpandang ke arah sebuah kedai makan yang terletak di tepi jalan. Basri terus memperlahankan kenderaan dan intai seketika, nampak beberapa pelanggan sedang asyik menjamu selera di dalamnya.

 

Tanpa berlengah Basri terus beri isyarat membelok sebelum menuju masuk ke kawasan parkir di hadapan kedai tersebut.
Terus Basri mengejutkan isterinya yang sedang tidur di sebelah.

 

Jom, kita singgah makan di sini. Nampak kedai ini macam meriah, lagipun nanti kalau sudah lewat susah pula hendak cari kedai yang masih buka,” kata Basri sambil mematikan lampu kenderaannya.

 

Isterinya Zurin lantas mengejutkan anaknya yang sedang tidur di kerusi belakang namun kedua anaknya memberitahu tidak mahu turun kerana masih kenyang lagi.

“Tak apalah bang, kita sajalah yang pergi makan. Budak-budak ini tidak lapar lagi agaknya atau malas bangun tidur,” kata Zurin kepada suaminya.

Basri mengangguk faham. Terus dia membuka sedikit cermin tingkap sambil memperlahankan penghawa dingin.

 

Tahu benar dia dengan perangai kedua anaknya itu, kalau sudah lena dibuai mimpi memang susah hendak dikejutkan, apatah lagi jika seharian penat berjalan.

Basri dan Zurin beriringan masuk ke dalam warung tersebut. Beberapa orang lelaki yang berjubah putih dan berserban memandang mereka sambil tersenyum memberi salam. Lantas Basri membalas salam sebelum duduk di meja berhampiran.

Belum pun sempat mereka membuat pesanan, tiba-tiba muncul sekumpulan lelaki masuk memberi salam. Kelihatan mereka juga berpakaian sama seperti kumpulan lelaki yang berada di meja tersebut, lengkap berjubah dan berserban.

 

Berkemungkinan mereka mengenali antara satu sama lain kerana saling bertegur sapa dan bertanya khabar. Nampak seperti mereka juga pelanggan tetap di warung tersebut kerana sikap ramahnya dengan pelanggan lain yang berada di situ.

 

Tidak lama kemudian datang seorang lelaki berkopiah ke arah meja Basri untuk mengambil pesanan. Disebabkan agak lapar Basri dan Zurin memesan nasi goreng serta minuman sejuk.

 

Tidak salah kita pilih kedai makan ini nampaknya, tengoklah jadi tumpuan kariah masjid ini ” kata Basri kepada isterinya.

Zurin hanya tersenyum. Matanya sempat mengerling ke arah dapur. Kelihatan beberapa pekerja sedang sibuk membuat pesanan di dapur. Yang lelaki, nampak kemas berkopiah dan berbaju melayu manakala pekerja wanita pula cukup bersopan berbaju kurung dan bertudung labuh.

 

Suasana di dalam warung ketika itu nampak meriah. Kumpulan lelaki yang berada di meja begitu leka berbual sambil bergelak ketawa.
Masing-masing saling berkongsi cerita dan menyapa malah ada ketikanya mereka bergurau sambil mengusik antara satu sama lain.

Hampir 15 minit kemudian makanan mereka pun sampai. Tanpa berlengah Basri dan Zurin makan dengan seleranya. Masakannya memang enak sampaikan habis licin satu pinggan.

“Burppp, alhamdulillah. Lega rasanya, barulah terang biji mata. Tak sangka kedai di ceruk kampung macam ini pun ada masakan yang enak dan lazat.”

 

Setelah selesai menjamu selera Basri lantas bangun menuju ke kaunter untuk membuat bayaran.

 

“Tak apa bang, makanan abang dan kakak sudah ada orang bayarkan,” kata pemuda tersebut sambil menghalakan jari telunjukknya ke arah satu kumpulan lelaki di meja berdekatan.

Basri terdiam, matanya lantas memandang ke arah kumpulan lelaki di meja tersebut.

“Assalamualaikum tuan, terima kasih sebab bayarkan makanan saya dan isteri. Semoga murah rezeki,” kata Basri sambil menghulurkan tangan bersalam ke arah setiap seorang daripada mereka.

 

“Aminnnnn….” Jawab kumpulan lelaki tersebut serentak.

 

Alhamdulillah, rezeki tuan dan isteri tu, kami memnag macam ni bila ada rezeki lebih bergilir-gilir bersedekah,” kata salah seorang lelaki tersebut sambil tersenyum.

Basri angguk kepala tanda faham. Baik sungguh budi pekerti mereka bisiknya dalam hati.

 

“Tuan hendak pergi ke mana ini? Tanya salah seorang daripada mereka.

 

“Saya hendak balik ke Kuala Lumpur, baru pulang bercuti di Kelantan dan Terengganu,” kata Basri sambil tersenyum.
Mereka yang berada di situ menganggukkan kepala tanda faham.

 

Basri terus menuju ke mejanya semula untuk mendapatkan isterinya sebelum melangkah keluar dari warung berkenaan.
“Terima kasih sekali lagi ya pada semua, Saya minta diri dulu. Assalamualaikum,” kata Basri sebelum menuju ke kereta.

 

Kumpulan lelaki yang berada di situ menjawab salam Basri sambil mengucapkan selamat jalan. Tanpa berlengah Basri hidupkan enjin kenderaan dan berlalu pergi.


“Baik hati sungguh orang kampung ini, kita makan tadi pun dia orang yang tolong bayarkan,” kata Basri kepada isterinya.

Hampir lima minit memandu tiba-tiba anak sulungnya, Ariff terjaga dari tidur sambil memandang ke arah luar tingkap kenderaan.

 

“Kita sudah sampai mana ini ayah? Dah hendak sampai Kuala Lumpur ke? Tanyanya sambil menggosok-gosok matanya. Basri menjeling ke arah anak sulungnya sambil tangannya erat menggenggam stereng.

 

“Jauh lagi… kita baru masuk highway ini,” kata Basri sambil menukar lorong untuk masuk ke lebuh raya.

“Laaa, ingatkan dah nak sampai. Ayah dengan ibu tadi pergi buang air lama sangat, penat kami tunggu dalam kereta,” kata Ariff petah.

“Eh, bila pula ayah dengan ibu pergi buang air, kami pergi makanlah tadi. Kan ayah sudah kejut kamu berdua tadi tapi masing-masing tak mahu bangun tidur,” kata Basri panjang lebar.

 

Ariff garu kepala. Dia memandang ayah dan ibunya silih berganti.

Eh, bila pula ayah dan ibu keluar makan? Ariff tak nampak pun! Tadi masa ayah berhentikan kereta Ariff tengok di situ mana ada kedai makan. Yang Ariff Nampak hutan dan semak samun saja. Ariff ingatkan ayah dengan ibu pergi buang air,” jawab anaknya panjang lebar.

 

Basri dan isterinya berpandangan. Masing-masing tidak percaya dengan apa yang diperkatakan oleh anak sulungnya ketika itu.

 

“Eh, kan tadi ayah dengan ibu keluar makan. Takkanlah Ariff tidak nampak warung yang ayah berhenti tadi. Ayah parking betul-betul depan kedai itu, dan dalam kedai tadi pun ramai orang, entah-entah ariff menggigau tak,” kata Basri menjelaskan.

Sekali lagi anaknya garu kepala sambil menggerutkan dahi.

 

“Sumpah ayah, Ariff tak menggigau pun. Masa ayah dan ibu keluar tu Ariff Nampak yang ayah pergi ke arah semak tepi jalan tu dengan ibu, Ariff fikir ayah dengan ibu nak pergi buang air,” sambungnya dengan wajah serius.

 

Sekali lagi Basri dan Zurin berpandangan.

Pelbagai andaian mula bermain di fikirannya. Tidak mungkin anaknya Ariff ingin berbohong, dan jika benar apa yang diperkatakan Ariff itu maka di mana pula dia menjamu selera tadi.

Zurin lantas bertanya kepada anaknya tentang apa yang dilihatnya ketika itu. Dia sendiri sudah berasa seram sejuk dan mula memikirkan perkara-perkara di luar jangkaan.

“Waktu ayah kejutkan kami ajak keluar makan memang Ariff tak nak keluar sebab mengantuk, lagipun perut masih kenyang lagi tapi waktu tu Ariff sedar dan lihat ayah dan ibu keluar sambil masuk ke lorong tepi Semak tu,”

 

“Ariff intai dan tengok keliling sambil fikir di mana pula kedai makan yang ayah dengan ibu hendak pergi ni sebab keliling semua gelap gelita dan ada semak samun. Jadi, Ariff fikir mungkin ayah dan ibu nak pergi buang air agaknya, jadi Ariff tidurlah semula,” katanya mahu meyakinkan ibunya.

“Basri hela nafas sambil matanya menjeling ke arah isterinya di kerusi sebelah.

Tapi betul ke waktu itu Ariff sedar? Entah-entah Ariff mengigau tak? Tanya Basri sekali lagi inginkan kepastian.

 

“Taklah ayah, Ariff sedar waktu itu! Kalau ayah tak percaya jom kita pergi semula ke tempat tadi. Mana ada kedai makan, yang ada semak samun saja,” kata anaknya penuh yakin.


Basri dan Zurin tidak membalas kata-kata anaknya itu. Masing-masng diam dan berfikir tentang apa yang diperkatakan Ariff, jika benarlah dakwaan anaknya itu maka warung apakah yang mereka berhenti menjamu selera tadi dan siapa pula kumpulan lelaki berkopiah dan berjubah yang ada di situ sekali gus membayar harga makanan mereka tadi?

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 2 November 2025. Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!