MMToon

TANGKAL SIAM PEMBUNUH MUSUH (SIRI 3)

Oleh Roshihan Annuar Yub

Sebaik sahaja Sani menceritakan apa yang berlaku terhadap keluarganya, pawang Deris hanya tersenyum. Katanya itulah yang mesti dibayar Sani jika ingin menikmati kesenangan seperti yang dikecapinya hari ini.

Ujarnya, tangkal siam yang diperolehnya itu bukan sekadar tangkal biasa, tetapi ada pendamping yang akan sentiasa bersama si pemakainya. Malah, setiap pantang larang yang ditetapkan haruslah dipatuhi supaya tangkal tersebut kekal mujarab.

Sani terdiam, walaupun dia cukup gembira dengan perniagaannya sekarang, tetapi jauh di sudut hatinya dia bimbang jika ada sesuatu yang kurang baik menimpa keluarganya pula.

Kata Pawang Deris, dia tidak boleh membantu permintaan Sani kerana perkara tersebut di luar kemampuannya. Tangkal yang dipakai Sani bukan miliknya, tetapi daripada kenalannya seorang bomoh siam yang tinggal jauh di Thailand.

Kalau ada apa-apa yang tidak kena berlaku, kau kena hubungi bomoh Siam itu. Hanya dia saja yang boleh bantu kau,” terang Pawang Deris. Sani yang mendengar hanya mengangguk perlahan.

Dia buntu seketika tidak tahu bagaimana ingin selesaikan masalah yang menimpa keluarganya sekarang ini. Seman yang duduk bersebelahannya lantas membisikkan sesuatu.

Alah, kau jangan risau beb. Kalau jadi apa-apa nanti kita pergilah jumpa bomoh Siam tu. Bukan jauh mana pun dekat Songkhla saja, benda boleh ikhtiar ini kau tak payah sakit-sakitkan kepala,” kata Seman perlahan.

Sani tersenyum. Ada benarnya juga apa yang diperkatakan Seman itu. Hatinya terus kembali berbunga dan bersemangat.

 

Setelah pulang, Sani menjalani rutin hariannya seperti biasa. Perniagaannya semakin hari terus maju dan berkembang. Boleh dikatakan hampir semua projek di sekitar bandar berjaya diperolehnya, sekali gus memberi tamparan dan menimbulkan rasa kurang senang kepada pesaingnya sebelum ini.

“Aku betul-betul tidak puas hati dengan Sani tu, habis semua projek dari yang kecil sampai besar semua disapunya. Pelik aku! Ilmu apa yang dia pakai sampaikan senang-senang dia boleh dapat semua tender itu,” kata Datuk Harun kepada beberapa pekerjanya.

 

Masing-masing diam dan berpandangan. Dalam hati mereka mengakui apa yang diperkatakan Datuk harun ketika itu. Memang benar, sejak akhir-akhir ini syarikat Datuk Harun mengalami banyak kerugian gara-gara tidak berjaya memperoleh tender-tender dan kontrak seperti sebelum ini.

Jika dahulu syarikat Datuk Harun berkembang maju kerana banyak projek dan tender yang diperolehnya, tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini prestasi syarikatnya jatuh merudum sehinggakan dia terpaksa mengecilkan operasi.

 

Entah-entah Sani ada pakai sesuatu tak Datuk, sebab rasa pelik pula sampaikan semua projek dari yang kecil sampai yang besar semua dia dapat, sedangkan Datuk pun baik juga dengan DO dan YB dekat sini. Kalau dulu mereka boleh bagi kenapa sekarang tidak?” Kata pembantu peribadinya, Azman.

Datuk Harun mencebik sambil mengusap mukanya beberapa kali. Mungkin ada benarnya kata pekerjanya itu kerana daripada segi logiknya memang syarikatnya lebih layak, tambah pula dia bergelar Datuk berbanding Sani yang sekadar kontraktor biasa.

Masuk akal juga apa yang kau cakap itu. Kalau betullah dia main taktik kotor nampaknya kita pun terpaksa ikutlah main kotor. Alang-alang mandi biar basah, kita tengok siapa yang terlingkup lepas ini,” kata Datuk Harun menahan marah.

Hal tersebut bukan sahaja terkesan pada Datuk Harun seorang, malah ramai lagi yang tahu tentang perkara ini, lebih-lebih lagi bila ada yang memberitahu Sani berjaya bolot semua projek dan tender melalui cara kotor, iaitu menggunakan sihir dan bomoh.

Oleh itu, kebanyakan pesaingnya mula atur strategi. Masing-masing sudah mencari jalan untuk menandingi ilmu yang diguna Sani. Ramai pesaingnya sudah mula merisik bomoh-bomoh yang hebat di serata tempat termasuk di sempadan.

Namun kebanyakan bomoh yang mereka ditemui awal-awal lagi sudah menyerah kalah walaupun ditawarkan dengan bayaran lumayan. Kata mereka tangkal yang digunakan Sani sukar untuk ditandingi kerana dibuat oleh seorang bomoh yang bukan calang-calang hebatnya.

Dari tilikan saya, tangkal yang musuh kamu pakai ini bukan calang-calang buatannya. Ini tangkal Siam, banyak ramuan yang tidak betul di dalamnya. Ada tulang dan rambut mayat, minyak orang mati dibunuh dan bermacam-macam lagi. Aku memang tak boleh nak lawan ini.”

“Kalau Datuk mahu yang betul-betul setanding dengan bomoh ini, Datuk kena pergi ke Siam. Cari lawan dia. Di Siam ramai yang boleh buat tangkal macam ini,” kata Dukun Aki kepada Datuk Harun.

Memang kebanyakan bomoh dan dukun yang ditemui akui tidak mampu menandingi tangkal yang digunakan Sani. Jadi, ikhtiar mereka sekarang adalah menurut saranan sebelum ini iaitu pergi ke Thailand dan mencari bomoh yang handal di sana.

Cerita tentang pesaingnya yang turut mendapatkan khidmat bomoh untuk menghancurkan perniagaannya akhirnya sampai ke pengetahuan Sani. Dia lantas bertemu Seman dan menceritakan segalanya.

 

Man, nanti kau jumpa pawang Deris, dapatkan alamat bomoh Siam yang kasi aku tangkal itu. Aku hendak pergi ke Songkhla lah jumpa dia,” kata Sani kepada Seman.

Seman mengangguk faham. Dia mengerti situasi yang berlaku ketika itu, malah dia juga faham kenapa Sani bersungguh-sungguh ingin berjumpa bomoh siam tersebut. Pastinya Sani ingin melindungi dirinya di samping meminta sesuatu yang lebih hebat daripada apa yang dimilikinya sekarang.

 

Bersambung…

 

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 6 Julai 2025 . Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!