
Oleh RIZAM ZAKARIYA
KISAH seram kenderaan ditumpangi lembaga aneh sering diceritakan oleh pelbagai pihak melibatkan beberapa lokasi di negara ini.
Bagi Faizal (bukan nama sebenar), dia tidak pernah menganggap kisah yang didengari itu sebagai sekadar cerita rekaan.

Ini kerana, anak jati Johor berusia 28 tahun itu pernah mengalami sendiri pengalaman tersebut beberapa kali sejak tiga tahun lalu.
Membuka cerita, Faizal yang merupakan seorang pegawai tentera berkata, kejadian itu berlaku ketika dia berulang-alik dari tempat kerja di Muadzam, Pahang ke rumah keluarganya di Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor.

“Saya masih bujang dan sejak bertugas di sebuah kem tentera di Muadzam Shah, saya kerap mengambil peluang cuti hujung minggu untuk pulang ke rumah keluarga di Johor.
Sebelum ini, saya hanya mendengar cerita daripada rakan-rakan sekerja mengenai gangguan lembaga wanita yang kerap menumpang kenderaan terutama pada waktu tengah malam.

“Pada awalnya, saya hanya menganggap ia sekadar cerita seram yang disampaikan untuk menakut-nakutkan saya,” katanya.
Jelas Faizal, tanggapannya tersebut berubah apabila dia sendiri mengalami kejadian seram itu ketika ingin pulang ke kem selepas bercuti di rumah keluarganya tiga tahun lalu.

Ceritanya lagi, kejadian pertama berlaku ketika dia memandu seorang diri pada waktu malam melalui jalan dari Johor Bahru ke Yong Peng, Labis dan Segamat untuk ke Muadzam Shah.
Saya bertolak agak lewat dari Johor Bahru dan tiba di kawasan Segamat kira-kira pukul 1 pagi, sebelum singgah di sebuah restoran untuk minum bagi menghilangkan rasa mengantuk.

“Selepas kira-kira sejam di restoran tersebut, saya menyambung semula perjalanan ke kem di Muadzam yang terletak kira-kira sejam perjalanan.
“Laluan dari Segamat ke Muadzam agak gelap kerana dikelilingi ladang kelapa sawit milik peneroka Felda,” katanya.

Jelas Faizal lagi, ketika melalui jalan raya di sebuah Felda, tiba-tiba hidungnya terbau wangian harum.
Alangkah terkejutnya dia apabila melihat kelibat seorang wanita berambut panjang berada di tempat duduk belakang.
Dia yang ketakutan ketika itu hanya mendiamkan diri sambil membaca beberapa ayat al-Quran sebagai pendinding diri, selain bagi menenangkan perasaan takutnya.

Lebih menghairankan katanya, lembaga tersebut tetap tidak berganjak walaupun dia turut memasang bacaan ayat suci al-Quran menerusi telefon bimbitnya.
Saya mengalihkan cermin pandang belakang sedikit ke atas bagi mengelak daripada menatap wajah lembaga itu menerusi cermin.
“Dalam keadaan ketakutan, saya terus memandu kerana yakin lembaga itu tidak mampu berbuat apa-apa kepada saya.

“Setelah kira-kira 30 minit memandu dan menghampiri kawasan kem, saya cuba memandang ke arah belakang menerusi cermin dan ketika itu lembaga berkenaan masih tetap berada di tempat duduk belakang.
Sebaik berhenti di pintu masuk kem, saya bertanyakan kepada anggota pengawal berkenaan ‘penumpang’ yang berada di tempat duduk belakang.
“Ketika itu, anggota berkenaan memberitahu hanya saya seorang berada di dalam kenderaan dan tiada individu lain,” katanya.

Cerita Faizal lagi, kejadian kedua pula berlaku beberapa bulan lalu di lokasi sama.
Disebabkan itu, dia hanya mendiamkan diri sepanjang memandu dan tidak mempedulikan lembaga yang menumpangnya buat kali kedua itu.
Sudah dua kali saya mengalami kejadian sama di lokasi sama. Bagi saya, mungkin lembaga tersebut hanya ingin menumpang.
“Selepas daripada dua kejadian itu, saya cuba mengelak untuk memandu pada waktu tengah malam ketika melalui jalan tersebut. Saya tidak mahu ia berlaku buat kali ketiga,” ujarnya.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 1 Oktober 2023. Imej janaan AI
