MMToon

SATU MALAM DI PEJABAT

Assala­mualai­kum kepada semua pembaca sekalian. Kisah yang ingin saya kongsikan ini berlaku kira-kira 15 tahun lalu ketika itu saya bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Cerita ini cukup meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya, sehinggakan saya menjadi fobia dan trauma apabila diminta menyiapkan kerja di pejabat sehingga lewat malam.

Begini ceritanya… Ketika baru memulakan tugas, saya ada mendengar pelbagai cerita kurang enak di pejabat tempat saya bekerja, tetapi saya tidak pernah ambil pusing, malah saya hanya tersenyum apabila ada rakan-rakan yang cuba menakut-nakutkan saya.

Maklumlah sebagai pekerja baharu segan pula rasanya hendak membidas atau menyanggah, nanti tidak pasal-pasal orang label saya sebagai ‘poyo’, berlagak bagus dan sebagainya. Jadi, saya hanya pasang telinga dan dengar sahaja.

Menurut cerita mereka, bangunan tempat kami bekerja ini agak ‘keras’ dan menyimpan pelbagai kisah menakutkan kerana sebelum dilakukan ubah suai sebagai pejabat, bangunan tersebut dahulunya sebuah hotel.

Kononnya sebelum ini terdapat beberapa kejadian bunuh diri berlaku di hotel tersebut, jadi apabila banyak timbulnya cerita-cerita menyeramkan daripada pelanggan yang menginap di situ, hotel tersebut terus tidak mendapat sambutan sehinggakan terpaksa ditutup.”

Menurut seorang rakan sepejabat bernama Mustafa, sudah ramai yang terkena gangguan dan tidak kurang juga terserempak dengan jelmaan menakutkan sehingga ada jatuh pengsan.

Sejak berlakunya banyak kejadian aneh dan menyeramkan, ramai pekerja sudah tidak mahu ‘stayback’ sehingga lewat malam. Jika ada pun hanya sebilangan kecil, itu pun dalam berkumpulan, bukannya seorang diri.

“Ingat beb, kalau kau nak stayback di office ini pastikan ada teman. Jangan kau berseorangan pula, nanti tidak pasal-pasal ada makhluk lain yang temankan kau! Kata Mustafa mengingatkan saya.

Saya sekadar tersengih. Namun dalam hati saya berdoa agar dihindari daripada segala gangguan dan perkara yang tidak diingini. Maklumlah saya pun bukanlah kategori lelaki yang berani, adakalanya penakut juga.

Pejabat saya bekerja terletak di tingkat sembilan iaitu paling atas. Jika sudah malam keadaannya memang lengang dan sunyi kerana tidak semua tingkat berpenghuni. Kalau tidak silap saya tiga tingkat sahaja mempunyai penyewa dan selebihnya masih kosong, sekali gus menyebabkan bangunan tersebut lengang terutamanya pada waktu malam.

Memang sedari awal ketika melapor diri saya sudah perasan hal demikian kerana melihat kertas-kertas iklan yang bertampal di sana sini, tetapi saya malas untuk bertanya lanjut dengan rakan sekerja lain takut mereka fikir saya jenis yang menyibuk pula, maklumlah pekerja baharu.

Boleh dikatakan setiap hari saya akan pulang dari pejabat sekitar pukul 9.30 malam selepas selesai menunaikan solat Isyak. Memang tabiat saya begitu kerana akan pastikan semua kerja yang tertangguh dibereskan terlebih dahulu supaya keesokkannya ketika masuk pejabat saya tidak perlu pening kepala untuk menyambung saki baki tugasan sebelumnya.

Dan biasanya sebelum pulang ke rumah saya akan singgah mengisi perut di gerai berhampiran kerana saya bukanlah kategori orang bujang yang suka memasak. Bagi saya di rumah hanyalah tempat untuk berehat, menonton TV dan tidur.

Namun pada suatu malam berlakulah satu kejadian yang tidak saya duga sama sekali. Waktu itu saya baru sahaja selesai menikmati makan malam di warung berdekatan rumah. Entah macam mana baru saya teringat komputer riba saya tertinggal di pejabat.”

Mulanya saya buat tidak kisah sahaja, tetapi baru saya teringat yang mana pagi esok saya ada temu janji dengan seorang pelanggan. Jadi, mahu tidak mahu terpaksalah saya berpatah balik ke pejabat untuk mengambilnya. Waktu itu saya menyumpah dalam hati kerana terpaksa buang masa akibat kelalaian diri sendiri.

Sebaik meletakkan kenderaan di parkir, saya terus menuju ke arah lif untuk naik ke tingkat sembilan. Sebaik sahaja masuk saya terkejut, kerana kesemua lampu di butang lif menyala terang, bermula dari tingkat satu hinggalah ke tingkat sembilan.

Fikir saya mungkin butang lif tersebut rosak kerana kesemuanya menyala sekali gus. Jadi, mahu tak mahu terpaksalah saya gunakan sahaja lif tersebut memandangkan sebuah lagi lif berdekatan masih dalam penyelenggaraan.

TING… Pintu lif terbuka di tingkat satu, terus saya tekan butang tutup supaya cepat sampai ke destinasi. TING… Pintu lif sekali lagi terbuka di tingkat dua, seperti tadinya jari saya laju menekan butang tutup berkali-kali. TING…

Ketika pintu lif terbuka di tingkat tiga, saya mengulangi perkara yang sama dengan menekan butang berkali-kali, namun tiba-tiba saya terkejut kerana di hadapan pintu kelihatan seorang wanita berketurunan Cina sedang berdiri tegak.

Lantas saya tekan semula butang lif untuk memberinya masuk. Wanita yang saya fikir berusia dalam lingkungan 30-an itu m asuk tanpa sepatah kata.

Saya lihat dia tidak menekan sebarang butang di situ mungkin dia perasan yang kesemua butang untuk setiap tingkat telah menyala.

Wanita tersebut melangkah keluar sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat enam. Sempat juga saya kerling ke arahnya. Dia berambut perang paras bahu sambil menggayakan kemeja panjang berwarna hitam. Menyesal pula rasanya kerana saya tidak menyapanya tadi, kalau tidak boleh juga berkenalan dan bertanya tempat kerjanya.

Saya toleh jam di tangan sudah hampir 12.45 malam, sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat sembilan, saya bergegas keluar lantas menyentuh kad pekerja di pintu masuk ke pejabat. Sebaik pintu kaca terbuka, saya meluru ke kabinet kecil yang terletak berhampiran meja untuk mengambil beg berisi komputer riba yang diletakkan di situ.

Selepas selesai urusan, saya kembali ke lif untuk turun ke bawah. Tidak lama menunggu, pintu lif terbuka terus saya bergegas masuk.

Seperti sebelumnya, saya lihat butang di setiap tingkat menyala terang. Saya garu kepala. Jika keadaan sama berlarutan sehingga esok susah juga dibuatnya, maklumlah pekerja di sini ramai, dan lif tersebut bukanlah sebesar mana.

Ketika lif terbuka di tingkat lapan saya tergamam. Wanita yang tadinya naik bersama saya kini muncul sekali lagi di depan mata. Dia melangkah masuk menundukkan kepala. Berdiri tanpa sepatah kata berhampiran saya.

Dalam hati berasa pelik juga kerana setahu saya tadi dia keluar di tingkat enam, tetapi kenapa kini dia muncul di tingkat lapan pula. Otak saya mula berfikir yang bukan-bukan, tetapi saya tidak meneka yang wanita tersebut bukanlah manusia, kerana daripada gaya dan parasnya kelihatan seperti manusia biasa. Mungkin tadi dia tersalah tingkat agaknya.

“Miss tadi tersalah tingkat ke? Tanya saya memberanikan diri menegurnya.
Dia tidak menjawab, tetapi sekadar tersenyum memandang saya.

Saya mati akal. Terasa malu juga kerana sapaan saya tidak berbalas. Saya kembali membalas senyumannya sambil menunggu lif turun ke bawah.”

“Huh, apalah masalahnya lif ini, semua tingkat berhenti,” ngomel saya perlahan dengan harapan wanita tersebut mendengar dan membalas apa yang saya perkatakan.

Namun seperti tadi dia hanya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Hilang terus idea saya untuk mendengar kata-kata daripada mulutnya. Sebaik lif terbuka di tingkat dua, wanita tersebut terus keluar dari lif, waktu itu sempat juga saya jengah mengintai tetapi persekitaran gelap gelita. Ke mana pula agaknya dia pergi, bisik saya dalam hati.

Sebaik sampai di parkir, saya tarik nafas panjang. Rupa-rupanya kunci kereta saya tertinggal di meja ketika ambil komputer sebentar tadi. Geram betul rasanya, tapi hendak salahkan siapa pula, semuanya kerana kecuaian sendiri.

Dengan langkah longlai saya menuju semula ke lif untuk naik semula ke pejabat. Saya terkejut apabila lihat butang lif tidak menyala seperti tadi. Alhamdulillah, lega rasanya! Jika tidak banyak masa saya yang terbuang. Terus saya tekan ke tingkat sembilan untuk menuju semula ke pejabat.

TINGG… Lif berhenti di tingkat 3A. Saya tergamam! Sekali lagi wanita tersebut muncul masuk ke dalam lif. Waktu itu saya rasa betul-betul tidak sedap hati. Otak mula berfikir yang bukan-bukan apatah lagi bila mengenangkan cerita rakan-rakan sebelum ini.

Saya membatukan diri tanpa sepatah kata. Tubuh berpeluh serta jantung berdegup kencang. Kenapalah waktu ini kunci boleh tertinggal pula, jika tidak tak perlulah saya lalui semua ini.

Waktu itu saya berharap agar lif cepat sampai ke tingkat sembilan. Saya tidak mahu bertanya apa-apa lagi kepadanya kerana tahu ada sesuatu yang tidak kena dengannya. Tambah pula dia langsung tidak menekan butang tingkat mana yang ingin ditujunya.

Saya jeling sedikit ke arahnya, nampak dia tunduk memandang lantai. Saya jadi tidak keruan dengan jantung yang berdegup kencang.

TINGG… Sebaik lif terbuka di tingkat sembilan saya terus meluru keluar menuju masuk ke pejabat untuk ambil kunci yang tertinggal. Saya langsung tidak menoleh ke arahnya dan tidak pasti sama ada dia turut keluar atau pun tidak.

Sewaktu menunggu lif untuk turun ke bawah, saya jengah sekeliling. Tidak nampak kelibat wanita tersebut. Saya tarik nafas lega, sebaik sampai di bawah, terus saya ke kereta dan memecut pulang.

Keesokkan harinya setelah selesai urusan di luar, saya masuk ke pejabat seperti biasa. Lantas saya ceritakan kepada rakan-rakan tentang apa yang berlaku malam semalam.

Masing-masing terlopong dengar cerita saya. Dari raut wajah mereka, saya tahu ada sesuatu yang kurang menyenangkan.
“Betul ke apa yang kau cakap ini? Tanya Mustafa inginkan kepastian. Saya angguk dengan wajah penuh persoalan.

Kalau kau hendak tahu itulah wanita yang selalu dia orang cerita tu. Wanita itulah yang bunuh diri dari balkoni bilik hotel di tingkat sembilan dulu,” sambung Mustafa dengan wajah pucat. Kisah saya diganggu menjadi topik perbualan rakan sekerja di pejabat. Masing-masing datang berjumpa saya untuk mengetahui cerita sebenar.”

“Lain kali, kau jangan sesekali datang pejabat lewat malam. Nasib baik dia kacau kau macam itu saja, kalau dibuatnya dia tunjuk muka ke, mahu kau pengsan terus,” kata Rizal memberi peringatan.

Saya angguk perlahan. Nasib baiklah sebelum ini mereka tidak bercerita lanjut perihal wanita tersebut, kalau tidak tak ahulah apa jadi, tambah pula bila ia benar-benar menjelma di depan mata.

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 14 Disember 2025. Ilustrasi janaan Ai

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!