MMToon

JANGAN SAMPAI KENA BATANG HIDUNG SENDIRI

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS

 

PENGALAMAN hidup setiap manusia berbeza antara satu sama lain, bergantung kepada tempat di mana individu tersebut dilahir dan dibesarkan.

 

Seharusnya kita menghormati pengalaman hidup orang lain dan menjadikan ia sebagai kompas kehidupan.

 

Ambil sisi yang positif dan tinggalkan sudut yang negatif hasil perkongsian pengalaman seseorang di dunia realiti mahu pun maya.

Kisah Mitos kali ini diceritakan seorang perantau yang berasal dari utara dan kini bekerja dalam bidang pertanian di Tanjong Karang.

 

Menurut Ismail Mat Ali, 52, peristiwa yang berlaku beberapa tahun lalu semasa dia bekerja mencari hasil hutan di dalam hutan di sebuah daerah di negeri Perak masih segar dalam ingatan.

 

Sebagai anak muda macam-macam kerja saya sudah lakukan untuk mencari rezeki. Kerja kontrak, ukur tanah dan mencari akar kayu pernah saya ceburi.

“Semasa berumur 18 tahun saya dan dua sahabat, Azman dan Ipin pernah mengikut seorang pencari akar kayu di hutan. Pak cik yang saya panggil Apak ini, rajin bercerita tentang perkara mistik semasa kami mencari rezeki di dalam hutan,”katanya ketika ditemui di Tanjong Karang baru-baru ini.

 

Kata Ismail lagi, kadang-kadang kisah yang diceritakan Apak tidak masuk akal dan jauh daripada logik akal.

Jelas Ismail, Apak pernah bercerita dia pernah bertemu gadis bunian yang cantik berkebaya hijau sedang melintas sungai semasa mencari kayu gaharu di dalam hutan.

 

Kita darah muda, bukan senang hendak terima setiap biji butir kata-kata orang tua yang berumur 55 tahun.

 

“Saya anggap cerita Apak ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

“Mungkin Apak bercerita untuk menghiburkan saya dan dua kawan saya yang bosan kerana tidak menemui kayu yang dihajati,”katanya.

 

Seperti biasa kata Ismail, Apak tidak marah apabila kami memperlekehkan cerita ‘dongengnya’ itu.

 

Bagi sesetengah orang jelasnya lagi, sudah pasti akan mengamuk atau membentak jika pengalamannya tidak diperakui oleh orang lain.

“Paling tidak Apak akan turut sama ketawa hingga menampakkan gigi hadapannya yang rongak.

 

Hujung ketawanya dia akan cakap, kena batang hidung sendiri baru tahu. Risau juga takut mulutnya masin,”ujarnya.

 

Ismail memberitahu, tidak lama selepas Apak berkata sedemikian, kumpulan seramai empat orang itu berhenti rehat untuk makan tengahari.

Matahari katanya lagi, pada saat itu terpacak tegak di kepala, masing-masing diberi tugas untuk menyediakan makanan.

 

“Saya sendiri ditugaskan untuk memasak nasi dan perlu ke anak sungai sendirian untuk membasuh beras. Hari pun siang tiada apa yang perlu dicuakkan.

Apa yang pelik kawasan tebing sungai tersebut tidak banyak lalang mahu pun semak samun. Tengah saya membasuh beras untuk dimasak terdengar suara wanita di sebelah kiri,”katanya.

 

Namun kata Ismail lagi, tiada kelibat manusia mahu pun haiwan yang kelihatan, mungkin mainan perasaan semata-mata.

 

Semasa dalam perjalanan ke tempat kumpulannya berada, Ismail berkata, dia ternampak kelibat seorang wanita di balik semak samun sedang menunaikan solat di dalam telekung putih dalam jarak 10 meter.

“Saya masih tenang semasa itu kerana menyangkakan memang ada orang sedang solat Zuhur pada waktu tengahari tersebut.

 

“Hajat hendak mendekati tetapi takut dianggap cubaan mencabul, lalu saya segera berlari ke arah kumpulan saya itu bagi menceritakan penampakan wanita bersolat tadi,”jelasnya.

 

Apak dan kawan-kawannya beritahu Ismail lagi, hanya ketawa apabila dia memberitahu ternampak perempuan tengah bersolat.

 

Ketika itu jelas Ismail, dia bermati-matian menegaskan ada orang lain berada di kawasan hutan tersebut.

 

Bagi membuktikan kata-kata saya itu benar, Apak dan kawan-kawan saya akur untuk mengikut saya ke lokasi orang sedang bersolat tersebut.

“Saya bernasib baik kerana ‘makhluk’ itu masih ada di situ. Apa yang mengejutkan kami ia bukan manusia yang bersolat tetapi pocong setinggi lebih satu meter,”katanya lagi.

 

Pada masa itu jelas Ismail lagi, semua orang dalam kumpulan itu melaungkan azan, hingga makhluk depan kami itu hilang begitu sahaja meninggalkan bau yang harum.

 

Apak yang pada mulanya turut cuak wajahnya kata Ismail, mengukir senyuman seperti menyindir saya dan sahabat.

“Kan Apak sudah beritahu, jangan cakap takbur di dalam hutan ini.Bila Apak cerita kamu semua ketawakan.

 

Ini kampung mereka bukan kampung kita. Mungkin ada kampung bunian di sini sebab tempat ini berhampiran anak sungai,”katanya.

 

Mengulas lanjut Ismail berkata, selepas makan tengahari di kawasan tersebut, Apak membuat keputusan untuk kami semua keluar dari hutan tersebut.

Tambahnya lagi, peristiwa tersebut menyebabkan dia lebih berhati-hati dalam berkata-kata, terutama semasa memberi reaksi pengalaman yang diceritakan orang yang lebih tua.

 

“Bila kena batang hidung sendiri baru kita sedar betapa kecilnya kita berbanding kuasa yang maha esa.

 

“Hormatilah orang tua, kerana mereka lebih dahulu makan garam daripada kita.Sebab peristiwa seram itu lama juga saya tidak masuk hutan tersebut,”jelasnya menutup cerita.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!