MMToon

MISTERI FOTO DI RUANG TAMU


Oleh Roshihan Annuar Yub

Jamali melangkah perlahan menghampiri warung yang sudah kosong di simpang jalan. Dalam hati dia bersyukur lega kerana masih ada lagi kedai makan yang beroperasi walaupun sudah lewat malam.

 

Mata Jamali liar memandang sekeliling, namun tidak nampak kelibat sesiapa. Sekali lagi dia tinjau warung yang terletak kira-kira 100 meter di hadapannya, nampak suram dengan deretan kerusi meja yang kosong. Dia lantas mempercepatkan langkah takut kalau-kalau warung tersebut ingin tutup pula.

“Assalamualaikum? Sapa Jamali sambil meletakkan beg sandangnya di kerusi sebelah. Matanya masih lagi liar meninjau ke arah pintu kecil yang menghala ke dapur.

Beberapa ketika kemudian muncul seorang lelaki berbaju putih lusuh dan berkain pelikat dari arah belakangnya.

“Ehemm… hendak pesan apa ini? Kedai sudah tutup. Dapur pun dah kemas,” katanya garau.

 

Jamali tergamam. Dia memandang lelaki tua di sebelahnya itu dengan senyuman kelat. Serta merta angannya untuk membasah tekak terbantut.

 

“Oh, tak apalah pakcik. Kalau macam itu saya minta diri dululah. Saya ingatkan kedai ini buka lagi,” katanya tersengih.

 

Lelaki tua lebih separuh abad itu hanya diam tanpa jawapan, matanya masih merenung tepat ke arah Jamali yang sudah sedia bangun untuk beredar.


“Kalau hendak minuman boleh saja aku buatkan. Tapi makan-makan tak adalah,” sambungnya lagi.

 

Sekali lagi Jamali bersyukur dalam hati, sekurang-kurangnya dapat juga dia berehat sebentar sambil menunggu rakannya Pian datang mengambilnya nanti. Terus dia memesan minuman kepada lelaki tua tersebut.

 

“Kau dari mana ini?” Tanyanya sambil menyangkut tuala kecil di bahunya. Jamali berpaling sambil tersengih kelat.
“Saya dari Kuala Lumpur, hendak pergi rumah kawan di sini sebab dia ada buat kenduri.”

Lelaki tua itu tidak menjawab, sekadar mengangguk tanda faham. Dia terus berlalu ke arah dapur meninggalkan Jamali di kerusi.

 

Jamali lihat jam di tangan. Sudah hampir pukul 12 tengah malam. Dia tinjau ke arah lorong tanah merah berdekatan, kalau-kalau rakannya Pian sudah sampai, kalau seperti yang dijanjikan Pian akan menjemputnya di hentian bas tempatnya turun tadi sekitar pukul 12.30 malam. Tapi disebabkan basnya sampai awal terpaksalah dia menunggu.

 

Sengaja dia malas menghubungi rakannya itu kerana tempoh setengah jam bukanlah lama. Sekurang-kurangnya dapat juga dia berehat dan membasahkan tekak seketika.

 

Lamunannya terhenti apabila lelaki tua tadi muncul membawa minuman yang dipesan. Belum pun sempat dia mengucapkan terima kasih, lelaki tersebut terus beredar ke dapur.

Jamali garu kepala yang tidak gatal. Pelik sungguh dia melihat kelakuan lelaki tersebut. Langsung tidak mesra dan ramah.

“Pakcik… ooo.. pakcik..,” panggil Jamali sambil meninjau ke arah dapur. Namun kelibat lelaki itu tidak kelihatan, malah lampu di belakang dapur juga sudah dipadamkan. Sekali lagi Jamali garu kepala.

 

“Mana pula perginya orang tua ini,” getus Jamali dalam hati. Setelah memanggil beberapa kali namun kelibat lelaki tua itu masih tidak kelihatan. Akhirnya dia ambil keputusan letakkan wang minumannya di kaunter sambil berharap lelaki tua tersebut akan nampak wangnya bila dia membuka perniagaan esok. Jam sudah menunjukkan hampir 12.30 malam.

 

Jamali bergegas menuju ke perhentian bas berdekatan. Risau juga kalau-kalau rakannya Pian sudah ada menunggu.

Tidak sampai seminit berada di situ, kedengaran enjin motosikal memecah kesunyian malam. Dalam samar kelam malam nampak rakannya Pian sedang menuju ke arahnya.

“Hah, kau dah lama sampai ke? Tanya Pian sambil memperlahankan enjin motosikalnya.

 

“Taklah lama. Dalam setengah jam,” kata Jamali tertawa kecil. Belum sempat dia bercerita lanjut, Pian lantas menggamitnya.

“Jom cepat beb. Hari macam hendak hujan ni. Nanti tidak sempat sampai kita dah lenjun pula,” kata Pian sambil memulas enjin motosikalnya.

 

Tanpa berlengah Pian terus membonceng motosikal yang ditunggang rakannya itu sebelum bergerak menuju ke lorong kecil berdekatan.


Hampir 10 minit meredah malam, akhirnya mereka sampai juga. Setelah meletakkan motosikal di bangsal berhampiran, terus Pian mempelawa rakannya itu naik ke rumah.

“Maaf, keluarga aku semua sudah tidur. Esok sajalah aku kenalkan kau dengan mereka,” kata Pian perlahan.
Jamali mengangguk faham.

 

“Kau rehatlah di sini kejap, aku pergi ambilkan tuala di bilik,” kata Pian sambil beredar.
Jamali mengangguk sambil pandang sekeliling. Nampak kemas dan teratur susunan perhiasan di ruang tamu tersebut.

 

Walaupun hanya rumah kampung yang berdindingkan papan tetapi cukup sejuk mata memandang.

Jamali bangun serta menuju ke beberapa bingkai gambar yang tergantung kemas di situ. Matanya meneliti setiap gambar yang ada. Tiba-tiba dia tergamam apabila melihat satu sosok pada salah satu gambar tersebut.

 

Dahinya berkerut cuba mengingati sesuatu. Wajah lelaki tua tersebut cukup dikenalinya, namun dia tak pasti di mana pernah bertemu.

Setelah puas memerah otak barulah dia dapat jawapan. Rasanya inilah lelaki tua yang ada di warung bersamanya tadi.

 

“Nah, ini tuala kau. Kalau kau hendak mandi atau buang air bolehlah turun di bawah itu,” kata Pian tersengih. Jamali mengangguk perlahan. Tanpa berlengah terus dia bertanya tentang foto lelaki tua yang ada di hadapannya ketika itu.

“Oh! Itu gambar arwah ayah aku. Sudah hampir dua tahun dia meninggal dunia. Kalau kau perasan di perhentian bas tadi ada sebuah warung tinggal yang hendak roboh tu, itulah kedai arwah ayah aku.”

 

“Sejak dia meninggal tak ada siapa ahli keluarga aku yang mahu ambil alih, sudahnya warung itu tinggal dan tunggu masa nak roboh je! Kenduri dan tahlil yang hendak buat esok ini kenduri untuk arwah ayah akulah,” kata Pian panjang lebar.

Jamali terdiam tanpa kata. Dia tidak mahu bertanya lanjut kerana rasanya sudah mendapat jawapan. Cuma apa yang bermain di benaknya ketika itu adalah apa yang berlaku kepadanya tadi.

 

Entah kenapa dia rasa seperti tidak sedap hati untuk bermalam di situ.

 

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 4 Ogos 2024. Imej janaan AI


MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!