MMToon

GARA-GARA SUSUK PEMIKAT

Wan Piah baru sahaja melewati warung Haji Jais. Boleh dikatakan hampir semua pelanggan yang berada di situ memandangnya tanpa berkelip. Dalam hati masing-masing menyimpan impian untuk mendekati janda yang cukup bergetah itu.

Wan Piah sudah berusia awal 50-an tetapi potongan badannya cukup menggiurkan, wajahnya cantik menawan dan kulitnya putih gebu, sekali pandang tidak ubah seperti anak dara sunti.

Suaminya Haji Leman sudah meninggal dunia kira-kira setahun lalu. Usianya ketika itu lebih kurang 70 tahun. Memang tidak padan langsung dengan Wan Piah, ibarat seperti langit dan bumi. Tetapi semua tahu, Wan Piah sanggup bersuamikan Haji Leman kerana gilakan wang ringgit.

Tanahnya berpuluh ekar, hartanya bertimbun, pendek kata sampai mati pun makan tidak habis.

Bila Wan Piah terima lamaran Haji Leman, satu kampung mula bercerita kononnya Wan Piah bukan ikhlas cintakan Haji Leman, namun tiada siapa mampu bersuara kerana Haji Leman sendiri turut berasa bangga kerana berjaya memiliki Wan Piah. Maklumlah, Wan Piah merupakan gadis yang paling cantik di kampung tersebut.

Nasib Wan Piah juga cukup baik kerana isteri pertama Haji Leman, Hajah Khalsom sudah lama meninggal dunia dan mereka tidak dikurniakan zuriat, jadi secara tidak langsung semua harta peninggalan arwah menjadi milik Wan Piah secara sah.

Wan Piah memang suka melaram ke sana sini. Jika tidak ke pekan dia akan bersiar di sekitar kampung. Dia juga tidak mempunyai zuriat, jadi pergerakannya bebas tanpa dihalang oleh sesiapa.

Boleh dikatakan hampir semua lelaki bujang atau yang sudah berkahwin menaruh hati dengan Wan Piah secara diam-diam. Malah ada juga yang berani menghubunginya secara sembunyi ajak berjumpa dan sebagainya.

Wan Piah tidak lepaskan peluang. Mana-mana lelaki yang dia berkenan dan merupakan cita rasanya terus dia layan sehinggakan ada yang dibawa ke ranjang. Tetapi dia pandai menyimpan rahsia dengan memberikan wang ringgit kepada mereka.

Para wanita yang kebanyakannya bergelar isteri di kampung itu cukup meluat dengan Wan Piah. Bagi mereka Wan Piah sengaja melaram dan pasang badan kerana ingin menggoda suami mereka.

Seboleh-bolehnya mereka tidak ingin suami mereka bertembung atau terserempak dengan Wan Piah kerana risau dirampas nanti.

Wan Piah pula memang tidak suka bercampur gaul dengan para wanita di kampung tersebut. Baginya jika ada di antara mereka yang ingin berbuat baik kepadanya hanyalah sekadar pura-pura dan ingin mengorek rahsia peribadinya.

Dia tidak kisah kalau dipulaukan kerana hidupnya tidak bergantung dengan mereka. “Fuhh, tadi aku terserempak dengan Wan Piah dekat kedai runcit Pak Abu, punyalah cantik dan wangi, sampaikan nyaris aku tidak terlanggar tiang,” kata Sarip ketika minum bersama rakan-rakannya.

Ber­dekah mereka ketawa, Mereka tahu Sarip tidak menipu kerana kedai Pak Abu memang menjadi tumpuan Wan Piah untuk membeli barang keperluan setiap hari.

“Aku tak tahulah apa ilmu yang Wan Piah pakai. Sekali pandang memang terus terbawa ke dalam mimpi,” sampuk Seman sambil menghirup kopi di cawannya.

“Siapalah lelaki yang berjaya dapat Wan Piah selepas ini. Rasanya kalau dia kahwin satu kampung frust nanti,” kata Sarip menambah.

Sekali lagi mereka ketawa berdekah. Beberapa lelaki yang berada di meja sebelah memandang dengan penuh kehairanan.
“Aku tak kisah siapa yang hendak kahwin dengan dia, aku cuma nak jadi skandal dia.

Cukuplah macam tu! Jadi skandal lagi best tau,” sambung Zamri sambil disahut gelak ketawa.

Memang betul. Ramai yang mengidam untuk menjadi kekasih gelap Wan Piah. Entah kenapa daya tarikan janda bergetah ini cukup meruntun jiwa lelaki yang memandangnya, sehinggakan anak-anak dara sunti di kampung itu pun cemburu melihatnya.”

Namun yang menjadi kemusykilan penduduk kampung adalah paras rupa Wan Piah. Wajahnya langsung tidak dimamah usia sedikit kedut pun tidak kelihatan, Kulit mukanya licin dan tegang, pendek kata berbeza dengan wanita lain yang sudah berusia separuh abad.

Walaupun ada yang meneka kononnya Wan Piah mengambil makanan sihat dan memakan jamu, tetapi itu bukanlah cerita sebenar. Ada satu rahsia yang tidak diketahui oleh orang lain. Sebenarnya hampir setiap bulan Wan Piah akan pergi ke sempadan untuk menemui bomoh yang ‘mencipta’ kecantikannya.

Wan Piah sudah lama menggunakan khidmat bomoh tersebut untuk memasang susuk di tubuhnya. Bukan setakat di muka, tetapi di setiap serata badan termasuk kemaluannya. Di sebabkan itulah Wan Piah masih ‘bergetah’ dan tidak dimamah usia.

Setiap susuk tersebut punya ‘penjaganya’. Sebab itulah Wan Piah punyai banyak pantang larang yang perlu dipatuhinya. Walaupun bergelar Muslim tetapi Wan Piah tidak boleh menunaikan solat dan berpuasa. Dia kena mengikut setiap arahan seperti yang terdapat dalam perjanjiannya.

Malam itu Sarip bersama tiga rakannya menyusup masuk secara sembunyi ke pekarangan rumah Wan Piah. ‘Kacang hantu’ seperti mereka memang sentiasa rancang dan buat perkara yang tidak baik, dan malam itu tujuan mereka tidak lain tidak bukan hanyalah ingin mengintai Wan Piah.”

Kebetulan pula rumah Wan Piah berdinding kayu, jadi senanglah mereka untuk mencuri intai. Sarip tahu bukan dia dan kawan-kawannya sahaja pernah melakukan ‘projek’ sedemikian, malah ramai lagi pemuda lain berbuat demikian.

Mereka melangkah berhati-hati sambil bersembunyi di bawah rumah. Jantung berdegup kencang disamping menyimpan impian untuk melihat ‘janda bergetah’ tersebut dari sisi berlainan berbanding biasa. Jari jemari meraba-raba papan di sekitar dinding untuk mencari lubang yang lebih besar dan jelas.

“Perghhh, aku dah dapat angle baik ini,” kata Zamri perlahan. Rakan-rakan lain mencebikkan bibir seakan tidak berpuas hati dengan penjelasannya. Tiba-tiba Sarip mengangkat tangan memberi isyarat meminta rakannya senyap.
“Tuu… cuba tengok tu,” kata Sarip berbisik sambil memuncungkan bibirnya.

Dari celah lubang dinding jelas kelihatan Wan Piah sedang melangkah menuju ke ruang tamu. Sarip dan rakan-rakannya ternganga kaget sebaik melihat sosok yang sedang berjalan itu. Cukup berbeza sama sekali dengan apa yang pernah mereka saksikan sebelum ini.”

Beberapa kali mereka menggosok mata untuk memastikan apa yang dilihat ketika itu adalah realiti dan bukannya mimpi. Tetapi itulah hakikatnya. Sosok yang selama ini tampak menggiurkan kini hanyalah seorang wanita berusia yang langsung tidak terurus.

Muka Wan Piah nampak pucat dan langsung tidak berseri, kulitnya kendur dan berkedut. Bukan itu sahaja, rambutnya yang mengurai panjang itu juga sudah putih dipenuhi uban, sekali pandang memang menyeramkan.

Beberapa kali juga Wan Piah mundar-mandir keluar masuk ke biliknya. Sarip dan rakan-rakannya hanya memerhati dengan seribu persoalan tanpa menghiraukan kumpulan ekor nyamuk yang hinggap di tubuh mereka.

Hampir beberapa minit menunggu, kelihatan Wan Piah masuk ke bilik dan menutupnya. Apa lagi, Sarip dan rakan-rakannya terus bergegas mencari sudut yang jelas. Melilau mata mereka mencari lubang di sekitar dinding di situ.

“Okey beb, sini clear,” kata Zamri berbisik. Melalui satu lubang panjang dari papan yang sedikit renggang di dinding jelas kelihatan Wan Piah sedang baring di atas katil. Namun yang mengejutkan di sisinya terdapat seorang wanita tua berselendang kuning yang tidak dikenali.

Wanita tua itu dilihat memegang sebuah bekas bara yang masih berasap sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu yang tidak jelas didengar. Dia mundar- mandir membawa bekas bara itu mengelilingi tubuh Wan Piah yang sedang terbaring kaku.

Bau asap kemenyan menusuk hidung. Wanita tua tersebut kemudiannya mengambil sebekas air dan merenjiskan ke seluruh tubuh Wan Piah, setelah selesai dia mengangkat tangan seakan berdoa sambil menghentak kaki ke lantai.

Setelah itu dia memicit-micit serta mengurut di beberapa bahagian tubuh Wan Piah. Terdengar suara Wan Piah yang mengerang perlahan seolah menahan sakit. Dalam samar cahaya suram di bilik tersebut, tiba-tiba muncul kepulan asap kecil di sudut katil, dan ketika itulah tanpa diduga muncul satu lembaga seakan hantu pontianak yang cukup menyeramkan.

Sarip dan rakan-rakannya berpeluh sambil menggigil ketakutan. Degup jantung seakan terhenti gara-gara tidak percaya denga apa yang disaksikan ketika itu.

Wajah lembaga tersebut cukup menyeramkan. Rambutnya putih mengerbang panjang, wajahnya putih melepak, matanya terbuntang merah dan giginya berceracak tajam.

“Psttt.. jom kita balik. Aku dah tak sedap hati ini! Lain yang kita hendak tengok tapi lain pula yang kita dapat,” kata Seman perlahan.

Tanpa banyak soal mereka perlahan-lahan melangkah meninggalkan rumah Wan Piah, dan sebaik sampai di tepi jalan besar mereka semua mencicit lari lintang pukang.

Mereka berempat kemudiannya terus menuju ke Warung Haji Jais. Nasib baiklah warung tersebut belum tutup lagi kerana masih ramai pelanggan yang sedang rancak menonton perlawanan gusti yang dipasang ketika itu.

Mereka duduk diam tanpa sepatah kata. Masing-masing masih teringatkan apa yang berlaku sebentar tadi. Tak sangka lain yang dihajati, tetapi lain pula yang terjadi. “Aku betul-betul tak percaya apa yang aku tengok tadi,” kata Zamri sambil mengeluarkan kotak rokok dari poket seluarnya.

Mereka semua mengangguk perlahan-lahan, bersetuju dengan apa yang diperkatakan Zamri. “Rupa-rupanya wajah Wan Piah yang kita tengok cantik sebelum ini adalah wajah hantu sebenarnya,” sambungnya lagi.

“Entah-entah Wan Piah sudah lama mati agaknya,” sambung Sarip. Mereka terdiam. Yang kedengaran hanyalah bunyi sorak dan riuh rendah dari beberapa meja berdekatan yang sedang asyik menonton gusti.

Kalau kamu semua hendak tahu itulah susuk. Sebab itulah wajah Wan Piah sentiasa cantik walaupun hakikatnya dia sudah berusia dan berkedut.”

“Aku tahu benda ini pun sebab pernah dengar mak aku cerita dulu. Sebab itu, nampak perempuan tua tu urut-urut dan picit anggota tubuh Wan Piah sebab dia sedang masukkan susuk itu pada badan dia,” jawab Seman panjang lebar.

Terlopong mulut mereka mendengar kata-kata Seman. “Aku rasa Wan Piah buat macam itu sebab hendak tarik perhatian lelaki, ataupun dia ada motif lain,” kata Zamri sambil memicit-micit jarinya.

Kisah Wan Piah memakai susuk menjadi rahsia Sarip dan rakan-rakannya. Mereka tidak menceritakan perkara tersebut kepada orang lain kerana takut jika terbongkar nanti pastinya rahsia mereka mengendap di rumah Wan Piah akan diketahui ramai.

Saban hari seperti lazimnya Wan Piah akan bersiar-siar di pelosok kampung. Dia masih lagi menguntum senyuman dan melirikkan matanya yang seksi apabila ditegur atau diusik oleh lelaki yang berselisih dengannya. Perkara sedemikian membuatkan Sarip dan rakan-rakannya menjadi semakin meluat, apatah lagi bila terbayangkan sosok sebenar Wan Piah yang mereka lihat malam itu.

Hendak sahaja rasanya Sarip bercerita hal sebenar, tetapi sering ditegah rakan-rakan lain kerana jika ‘kantoi’ nanti mereka juga yang tanggung malu, jadi terpaksa berlakon seperti tidak tahu menahu malah jika terserempak dengan Wan Piah, mereka juga akan tegur dan puji seolah tidak pernah tahu cerita sebaliknya.

Hendak dijadikan cerita tiba-tiba Wan Piah dikhabarkan sakit tenat. Ramailah jiran tetangga dan orang kampung datang melawatnya. Maklumlah, Wan Piah tinggal seorang diri risau pula kalau terjadi perkara yang tidak diingini.

Sarip dan rakan-rakannya tidak ketinggalan menziarah sama. Mereka datang bersama Tok Ketua dan beberapa penduduk kampung. Memang sedih melihat keadaan Wan Piah ketika itu, mukanya pucat dan cengkung, malah tubuhnya yang dahulu montok dan gebu sudah seperti sekeping papan.”

“Pelik juga, kenapa sampai macam itu sekali keadaan Wan Piah. Rasanya baru minggu lepas aku jumpa dia di kedai Maniam, elok saja dia sihat,” kata Tok Ketua sewaktu mereka berjalan pulang.

Sarip dan rakan-rakannya berpandangan. Mahu sahaja dia membuka mulut meneka apa yang terjadi, tetapi Seman pantas memberi isyarat kepadanya, terus dia terbantut. “Betul tu, cepat sangat penyakitnya merebak sampaikan berbeza sungguh Wan Piah berbanding kita jumpa sebelum ini,” sambung Deraman bersungguh.

Namun lain pula yang bermain di pemikiran Sarip dan rakan-rakannya. Mereka masih tertanya-tanya kenapa begitu sekali perubahan yang berlaku kepada Wan Piah. Adakah kerana dia melanggar pantang atau pun ada perkara lain yang dilakukan sehingga keadaannya jadi sedemikian.

Seman pula meneka yang Wan Piah ada melanggar pantang, kerana jika tidak mana mungkin wajah dan tubuhnya berubah seperti itu. Tambahan pula katanya jika seseorang itu mengamalkan amalan yang bertentangan dengan agama, pastinya akan dapat mudarat jika tidak patuh dengan larangannya.

Cerita Wan Piah jatuh sakit tersebar dengan cepat ke pelosok kampung. Namun pelbagai cerita kurang enak mula timbul apabila ada yang mengatakan kononnya Wan Piah selama ini ada menuntut ilmu hitam dan berdamping dengan syaitan untuk mengekalkan kecantikannya.

Dukun dan doktor datang bersilih ganti merawat Wan Piah, namun masih tiada tanda-tanda akan pulih. Setiap individu yang merawatnya pula memberikan kenyataan berbeza sehinggakan tidak tahu mana satu yang betul atau mana satu yang salah.

“Saya sudah periksa habis pesakit ini, tak nampak ada apa-apa masalah kesihatan. Semuanya baik dan okey, tetapi kalau nak lagi tepat boleh minta ahli keluarganya bawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” kata seorang doktor Singh yang datang dari bandar.

Namun lain pula jawapan daripada Dukun Saleh yang turut merawat Wan Piah. Katanya, Wan Piah ada mewarisi saka dari keturunannya sebelum ini, tetapi Wan Piah tidak mahu ‘menjaganya’, jadi sekarang ini saka tersebut mengganggunya dan masuk ke tubuh tanpa disedari.

Sarip dan rakan-rakannya sekadar tersengih apabila mendengar pelbagai teori yang tidak masuk akal daripada mereka, namun mereka tidak menyanggah atau menafikannya, mereka hanya mengangguk dan mengiyakan seolah bersetuju dengan apa yang mereka katakan.”

Dua minggu kemudian keluarlah cerita yang tidak sedap didengar. Wan Piah yang sakit sudah mulai tenat dan tidak sedarkan diri. Tubuh dan wajahnya sudah tidak seperti dulu. Mereka yang datang melawat semuanya mengatakan Wan Piah seperti mayat hidup yang masih bernyawa.

Sarip dan rakan-rakannya sekali lagi melawat Wan Piah. Memang betul, kali ini mereka cukup terkejut melihat sosok wanita itu. Dia terbaring kaku dan matanya terbuntang memandang ke atas. Hanya nafasnya yang sesekali berombak sahaja menandakan dia masih hidup dan bernyawa.

Malam itu penduduk kampung datang beramai-ramai ke rumah Wan Piah untuk membaca Yasin. Dan ketika itulah berlakunya perkara di luar jangkaan. Wan Piah menjerit tidak sedarkan diri sambil meronta-ronta meminta mereka pulang.

“Balik! Balik! Kau buat apa ramai-ramai datang ke rumah aku ini? Jeritnya sambil mendengus kuat.
Hampir semua tetamu yang berada di situ terkejut dan tergamam, malah ada juga di antara mereka yang sudah melompat turun ke tanah kerana ketakutan.

Dan sewaktu Tok Imam bersama beberapa jemaah lain menenangkan Wan Piah, ketika itulah tiba-tiba dadanya berombak kencang sebelum dia menghembuskan nafas terakhirnya.

Sudah hampir seminggu Wan Piah meninggal dunia, namun sudah terdengar pelbagai cerita kurang enak yang berlegar dari mulut ke mulut. Walaupun tidak sahih dan sekadar khabar angin, tetapi ramai yang sudah ‘terkena’ kononnya terserempak jelmaan wanita cantik menyerupai Wan Piah.

“Aku pun tidak tahu cerita dia orang ini betul atau tipu. Sudah dekat 50 tahun aku tinggal di kampung ini, tak pernah lagi aku dengar ada orang mati jadi hantu.

“Tapi kalau hantunya macam Wan Piah, aku pun hendak jumpa! Manalah tahu boleh ajak dating nanti,” kata Wak Majid ketawa ketika sedang bersarapan di Warung Haji Jais.

Sarip dan rakan-rakannya yang berada di meja sebelah hanya tersengih kelat. Sengaja dia tidak mahu mencelah kerana ingin mendengar apa yang mereka bualkan. Ironinya, hanya mereka sahaja tahu rahsia sebenarnya.

Terbaharu, anak abang Deris, Tapa mengadu dengan Imam Saleh kononnya dia terserempak dengan sosok wanita menyerupai Wan Piah berhampiran pokok Ketapang di tepi jalan besar di tanah perkuburan. Tergamam Imam Saleh mendengarnya. Dia sendiri tidak tahu sama ada hendak percaya atau tidak cerita tersebut.

“Betul Pak Imam, takkanlah saya hendak menipu. Perempuan yang saya jumpa itu memang Wan Piah. Dia siap jeling dan senyum pada saya lagi. Seram betul!” Kata Tapa ketika bercerita dengannya.

Hampir saban hari ada sahaja cerita kurang enak tentang arwah Wan Piah sehingakan penduduk kampung tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku.

Jika dikenang semula semasa hayatnya tidak ada pula perkara pelik dilakukan arwah, tetapi sebaik sahaja dia meninggal dunia timbul pula pelbagai cerita pelik.

Hendak dijadikan cerita petang itu rumah Tok Ketua dikunjungi oleh dua lelaki yang tidak dikenali. Katanya, mereka tinggal di daerah berdekatan dan tujuan mereka datang adalah kerana Wan Piah.

Tok Ketua lantas memanggil Imam Saleh dan beberapa penduduk ke rumahnya untuk sama-sama mendengar apa yang ingin disampaikan oleh pemuda tersebut.

Sarip dan rakan-rakannya tidak lepaskan peluang turut serta. Dia sendiri mahu mendengar apa cerita sebenarnya, dan siapakah individu tersebut serta apa kaitannya dengan Wan Piah.

Setelah semua berkumpul di rumah tok ketua barulah pemuda tersebut membuka mulut. Sebelum itu dia berkali-kali meminta maaf jika terdapat salah faham atas apa yang ingin disampaikan. Kami yang berada di situ kehairanan dan tertanya-tanya dalam hati.

Lelaki tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Arif. Katanya, dialah yang bertanggungjawab membawa Wan Piah ke negara jiran untuk memasang susuk dengan seorang bomoh Siam.

Semua yang berada di situ terdiam sambil melopong. Sarip dan rakan-rakannya hanya berpandangan sesama sendiri. Nampaknya memang benarlah telahan mereka selama ini. “Arwah pakai susuk ini sudah lama. Kalau tidak silap saya sebelum dia berumah tangga lagi.

“Memang tujuannya pakai susuk ini untuk kelihatan cantik, muda dan boleh memikat mana-mana lelaki yang dia inginkan.

Wan Piah ini jiran saya ketika keluarganya menetap di kampung saya dekat sempadan. Dulu dia sering dipinggirkan oleh rakan-rakan sebayanya sebab dia tidak cantik dan tidak pandai bergaya. Waktu itulah dia ada tanya saya jika kenal mana-mana bomoh yang boleh pasang susuk,” kata Arif perlahan.

Menurutnya lagi, pada malam Jumaat pertama setiap tiga bulan Wan Piah akan ke rumah bomoh tersebut untuk upacara ‘memasang’ susuk ditubuhnya. Dan perkara itu berlarutan sehingga arwah meninggal dunia.

Ceritanya lagi, arwah akan melakukan pemujaan sendiri di rumahnya pada setiap malam Jumaat untuk ‘mengekalkan’ kuasa susuknya, namun dia percaya Wan Piah jatuh sakit secara tiba-tiba kerana mungkin terlanggar pantang larang.

“Sebab itulah secara tiba-tiba Wan Piah terlantar sakit. Tetapi saya sendiri tidak tahu apa pantang larangnya sebab saya temankan Wan Piah hanya beberapa kali sahaja, selebihnya dia pergi sendiri.

“Dan bila saya dengar ada cerita yang kurang enak selepas Wan Piah meninggal dunia, saya tahu ada yang tidak kena, jadi kena diselesaikan perkara ini secepat mungkin sebelum jadi lebih mudarat.

“Jadi, saya minta jasa baik Tok Ketua dan semua yang ada di sini untuk tidak buka aib arwah sementara kita cari jalan penyelesaiannya,” sambung Arif lagi.  Semua yang ada di situ terdiam sambil berpandangan.

“Jadi, apa yang perlu kami buat sekarang? Saya pun tak nak juga kampung ini jadi kecoh dan huru hara sebabkan perkara-perkara macam ini,” kata Tok Ketua sambil mengurut janggutnya.

“Saya berharap sangat kalau ada sesiapa yang boleh tawarkan diri untuk ikut saya ke rumah bomoh Siam itu. “Rasanya hanya bomoh itu saja yang boleh bantu dan pulihkan keadaan yang huru hara sekarang ini,” kata Arif menundukkan muka.

Tok Ketua dan Imam Saleh berpandangan sambil mengangguk perlahan. Nampaknya, mungkin hanya itu sahaja jalan terbaik yang ada untuk kembalikan keharmonian di kampung tersebut.

Tanpa diduga Tok Ketua lantas menjeling dan memberi isyarat ke arah Sarip dan kawan-kawannya.

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 18 Mei 2025. Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!