
Oleh Roshihan Annuar Yub
Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba Sani sakit tenat. Badannya susut dan cengkung sehingga menampakkan tulang. Dia sudah tidak mampu berjalan dan bergerak cergas seperti dulu, hanya terlantar di katil seakan mayat hidup yang menunggu ajal.
Doktor yang merawatnya juga sudah memberitahu isterinya agar membawa suaminya pulang ke rumah kerana setelah melakukan pelbagai pemeriksaan mereka tidak menjumpai apa-apa tanda yang mencurigakan terhadap kesihatannya.

Seeloknya puan bawa suami pulang ke rumah dan ikhtiar rawatan tradisional. Mungkin ada sesuatu yang tidak kena dengan suami puan ini, maklumlah jika sihir atau buatan orang ni kena melalui rawatan islam,” kata Doktor Kamal panjang lebar.
Syifa mengangguk faham. Sebelum ini hatinya juga sudah terdetik apabila melihat keadaan suaminya yang tiba-tiba jatuh sakit dan muntah darah. Dia tahu ada sesuatu yang disembunyikan oleh suaminya, malah percaya setiap kejadian pelik yang berlaku di rumahnya selama ini pasti ada kaitan dengan apa yang dilakukan suaminya selama ini.

Sebaik pulang ke rumah, Sani seringkali meracau tidak tentu arah. Ada ketikanya dia seakan berbual dengan seseorang walaupun ketika itu dia terbaring keseorangan. Syifa lantas meminta pertolongan daripada Ustaz Farhan, kalau-kalau dia boleh membantu.
“Saya minta maaf puan, biarlah saya terus terang. Apa yang saya lihat suami puan ini ada menuntut sesuatu yang salah. Ada jin kafir yang berdamping dengan tubuhnya. Susah juga hendak pulihkan, kita kena mula dari awal. Maksudnya dari mana dia mula dan sejauh mana dia sudah kuasai tubuh suami puan ini,” kata Ustaz Farhan.

Syifa tergamam. Dia seolah tidak percaya apa yang diungkapkan Ustaz Farhan ketika itu. Tetapi jika benar terpaksalah dia cari jalan penyelesaiannya. Namun bagaimana pula dia ingin mendapatkan cerita sebenar sedangkan suaminya masih terlantar koma.
Semakin hari tahap kesihatan Sani makin merosot. Isterinya sudah puas ikhtiar dengan pelbagai cara namun masih belum dapat keizinan daripada Allah SWT, dan pada suatu petang akhirnya Sani menghembuskan nafas terakhirnya.

Urusan menguruskan jenazahnya juga cukup sulit dan mencabar. Walaupun keadaan tubuhnya kurus kering dan tinggal tulang, tetapi jasadnya cukup berat seolah-olah membawa beban yang beratus kilogram.
“Insya-Allah, kita doa yang baik-baik agar jenazah arwah dapat kita uruskan dengan sempurna dan sebaik mungkin,” kata Ustaz Farhan sebaik menyedari ada rungutan daripada kariah yang hadir.

Sampai di tanah perkuburan lain pula ceritanya. Liang lahad masih belum dapat disediakan kerana timbul pelbagai masalah.
“Maaflah ustaz sebab belum dapat siapkan liang lahad ini lagi. Kami sudah gali sejak Asar lagi, tapi tak tahulah kenapa semua lubang yang kami gali penuh dengan akar kayu dan batu besar sampaikan ada mata cangkul yang rosak dibuatnya,” kata Samad sambil mengesat peluh di dahinya.

Ustaz Farhan mengangguk. Dia seakan faham situasi yang berlaku ketika itu. Dia lihat jam di tangan, sudah hampir 12 tengah malam.
“Ini liang lahad yang ke lima kami gali. Tak tahulah berjaya ke tidak. Sebelum ini tidak pernah pula jadi kes macam ni. Minggu lepas waktu saya gali liang lahad untuk arwah Haji Sudin elok pula. Jaraknya pun bukan jauh, depan itu saja” sambung Samad lagi.

Keranda yang berisi jenazah diletakkan sebentar berhampiran liang lahad yang sedang digali. Ustaz Farhan mengangkat tangan berdoa. Kumat-kamit mulutnya memohon pertolongan kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusannya ketika itu.
KTING…
Kedengaran bunyi mata cangkul Samad dari arah liang lahad yang sedang digali.

Allahuakbar, macam mana ini ustaz? Masih ada batu lagi ini. Takkan kita hendak kena gali yang baru pula. Sudah lewat sangat ini,” kata Samad perlahan.
Ustaz Farhan mengintai dari atas.
“Tak apa, tak perlu gali lain, kamu anjak sikit ke tepi sana. Nanti yang sebelah sini kita kambus semula. Insya-Allah sebelah sana itu nampak tanahnya elok,” kata Ustaz Farhan perlahan.

Alhamdulillah, benar kata Ustaz Farhan. Hampir setengah jam kemudian barulah selesai urusan menggali. Tanpa berlengah jasad Sani terus disemadikan. Ustaz Farhan mengetuai bacaan talkin sambil ditemani ahli kariah yang hadir.

Namun kisahnya tidak terhenti di situ. Setelah Sani selamat dikebumikan lain pula yang terjadi di rumah arwah. Syifa mengadu rumahnya sudah tidak seperti dahulu. Setiap malam ada sahaja kejadian aneh dan menakutkan terjadi.
Katanya dia sering terlihat satu makhluk bertubuh besar berkepala botak merayau di sekitar rumahnya, ada kalanya makhluk yang menyeramkan itu masuk ke bilik dan tidur di sebelahnya. Ustaz Farhan yang mendengarnya terus meminta Syifa menghubungi rakan baik arwah kalau-kalau dia tahu apa yang berlaku sebenarnya.

Syifa menghubungi Seman. Dia tahu Seman adalah individu rapat yang sentiasa bersama arwah ke mana mana. Setelah didesak oleh Ustaz Farhan akhirnya Seman menceritakan segala-galanya.
“Saya sudah beritahu arwah dulu supaya jangan ambil apa-apa tangkal dengan bomoh Siam ini, tapi dia degil. Dia terus pergi sendiri dan tidak mahu dengar cakap saya,” kata Seman kesal.

Setelah berbincang dan mencapai kata sepakat, Ustaz Farhan meminta Seman supaya menyerahkan semula tangkal tersebut kepada pemiliknya. Kata Ustaz Farhan, hanya pemberi sahaja yang tahu bagaimana ingin menyelesaikannya.
Terkedu Seman seketika. Hatinya berbelah bahagi. Ikutkan hati dia sendiri tidak mahu memegang tangkal tersebut, namun apakan daya semua yang berlaku juga berpunca daripadanya.

Kini dia terpaksa pergi ke Songkhla secepat mungkin. Dia sendiri tidak mahu menyimpan tangkal tersebut lama-lama. Risau pula kalau makhluk tersebut menganggapnya tuan baharu selepas Sani.
Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 6 Julai 2025 . Imej janaan AI
