MMToon

ZULMAN TERSEREMPAK HANTU GALAH!

Oleh Roshihan Annuar Yub

“Zul, pergi kedai sekejap! Rasanya kedai Wak Jali buka lagi ni,” jerit ibunya dari dapur.
Zulman tidak menyahut. Segera dia capai lampu suluh di atas rak almari sambil melangkah ke anjung rumah.

 

“Beli lilin dengan minyak tanah je kan mak?” Laung Zulman sambil merapatkan pintu.
Terdengar derap kaki Mak Besah melangkah ke anjung rumah. Zulman menunggu sambil mendongak ke arah langit yang gelap. Sesekali dia menampar nyamuk yang hinggap di lengannya.

“Hah, beli ubat nyamuk sekali nanti. Jangan pula lepas ke kedai tu kau melencong ke mana-mana pula! Karang sampai ke pagi pula kita bergelap,” kata Mak Besah seraya meletakkan pelita minyak tanah yang dipegangnya di anjung rumah.

 

Zulman tidak menjawab terus dicapainya basikal yang tersandar di tiang rumah. Dia mengayuh perlahan dan penuh berhati-hati.

 

Pada awalnya, dia bercadang untuk bawa lampu suluh tetapi apabila memikirkan kesukaran ketika mengayuh nanti terus dia tinggalkan di tangga rumah.

Walaupun jalan keluar dari rumahnya ke jalan besar gelap dan berliku, namun keadaan itu sama sekali tidak mendatangkan masalah kerana dia sudah biasa dengan selok belok laluan di situ.

Sambil mengayuh sempat juga dia menjeling ke arah beberapa rumah yang ada di sepanjang jalan itu. Nampak semuanya gelap gelita. Zulman hela nafas panjang.

Dalam hati dia mengomel sendirian. Kenapalah waktu-waktu begini bekalan elektrik boleh terputus pula? Jika tidak, tak perlulah dia bersusah payah keluar ke kedai membeli lilin dan minyak tanah di waktu malam begini.

 

Zulman tahu antara sebab bekalan elektrik selalu terputus di kampungnya adalah disebabkan pokok tumbang atau pun ada pelepah kelapa yang menimpa wayar.


Selalunya kalau pihak Tenaga Nasional Berhad datang baiki pun mungkin akan ambil masa sehingga empat ke lima jam kerana jarak kampungnya yang agak jauh dari pekan. Dan begitulah kebiasaannya.

 

Hampir 20 minit mengayuh dalam gelap akhirnya Zulman sampai juga di kedai runcit Wak Jali. Dia tarik nafas lega bila lihat Wak Jali masih ada di kedai. Selesai membeli barang-barang yang dikirim ibunya, Zulman lantas minta diri dan bergegas pulang.

Suasana persekitaran semakin gelap. Sepanjang perjalanan dia langsung tidak berselisih dengan sesiapa. Warung Pak Hassan juga sudah tutup awal.

Sedang leka mengayuh tiba-tiba dia membrek basikal dengan mengejut. Zulman terkejut sambil telan air liur.

 

Dia membetulkan bungkusan plastik berisi lilin dan minyak tanah pada pemegang basikalnya yang hampir terjatuh. Beberapa kali dia menggosok mata sambil mengerutkan dahi.


“Eh! Betul ke jalan aku ni,” katanya perlahan.

Pelik pula rasanya, tak mungkin pula dia tersalah jalan ketika mengayuh pulang tadi. Sekali lagi dia memandang sekeliling.
Namun hatinya tetap mengatakan itulah jalan dilaluinya ketika datang tadi, Tak mungkin dia tersalah jalan kerana bukannya dia tidak biasa dengan laluan di kampung tersebut, malah memang itu laluannya saban hari.

 

Tetapi apa yang menjadi kemusykilan ketika itu adalah jalan yang dilaluinya tiba-tiba terhalang oleh sebatang pokok besar dan tinggi. Saiznya hampir sebesar pemeluk.
Pelik! Bagaimana pula tiba-tiba muncul pokok di situ? Sedangkan waktu dia lalu tadi langsung tidak ada apa-apa.

Belum pun sempat berfikir mencari jawapan tiba-tiba Zulman tergamam. Hampir nak terjatuh dia daripada basikal. Matanya terbeliak seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya ketika itu.

 

Walaupun suasana malam cukup gelap ketika itu namun matanya dapat melihat dengan jelas apa yang berada di hadapannya.


Pokok yang berada di hadapannya tiba-tiba bergerak dengan sendirinya.

 

ZRASSSSS…..ZRASSSSS…..
ZRASSSSS.. Zulman kaget. Lantas dia mendongak ke atas. Dan ketika itulah dia menjerit…

 

“ALLAHU­­­ AK­BARRRR…”

Dalam samar gelap malam jelas kelihatan sayup satu makhluk bertubuh tinggi berada melangit berada di hadapannya.
Terlopong Zulman melihatnya. Makhluk yang tinggi melepasi pohon-pohon kelapa itu bergerak perlahan-lahan meredah di celah-celah rimbunan pohon.

Rupa-rupanya sebatang pokok yang dilihat menghalang jalannya tadi adalah salah satu daripada kaki makhluk tersebut!

 

Wajah makhluk itu tidak mampu dilihatnya dengan jelas kerana terlalu sayup tinggi ke atas. Yang kelihatan hanyalah satu sosok lembaga berbentuk tubuh manusia yang tinggi melangit sedang melangkah perlahan-lahan meredah ke arah belukar berdekatan.

Dan yang menakjubkan ketika lembaga tersebut melangkah ia langsung tidak meninggalkan sebarang kesan kepada tanah atau belukar yang dipijaknya.

Zulman telan air liur. Dalam hati dia bersyukur kerana kehadirannya langsung tidak disedari oleh makhluk tersebut, jika tidak tak tahulah apa yang jadi agaknya.

Lama juga Zulman terpaku di lorong tersebut sambil beristighfar panjang.

Setelah mengumpul semangat dan sedikit kekuatan lantas dia menyambung kayuhan pulang ke rumah. Kali ini dia menunggang dengan laju tanpa menghiraukan apa yang ada di kiri kanan jalan.

 

Sepuluh minit dia akhirnya sampai ke rumah. Tanpa berlengah terus dia ceritakan apa yang berlaku sepanjang perjalanan pulang tadi. Terlopong mulut ibu dan adik-adiknya mendengar cerita Zulman. “Hantu galah yang kau nampak tu,” kata ayahnya sambil menyangkut kopiah yang dipakainya di paku yang terlekat di dinding.
Zulman terkedu. Dia memandang wajah ayahnya tanpa kata-kata.

Seumur hidupnya tak pernah lagi dia dengar cerita tentang hantu galah. Jika ada pun hanyalah langsuir, pocong, hantu raya ataupun polong.

Tetapi malam ini dia terserempak dengan hantu galah! Sehingga ke pagi Zulman tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya masih lagi teringatkan apa yang berlaku sebentar tadi.

Jika benar makhluk yang dilihatnya itu adalah hantu galah, tetapi dari mana pula munculnya? Dan ke mana pula dia menghilang? Dan adakah hantu galah itu bertuan? Macam-macam persoalan menerjah dalam kepada Zulman.

 

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 28 Januari 2024. Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!