MMToon

KEMUNCULAN ‘MODEL’ MISTERI DI PENTAS FESYEN

Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

SEBAGAI pelajar jurusan fesyen di sebuah kolej di Sarawak, projek akhir semester memang menjadi detik penting sebelum bergelar graduan.

Detik itu bukan sekadar menonjolkan bakat rekaan, malah turut dianggap sebagai ujian terakhir untuk membuktikan kreativiti dan kemampuan setiap pelajar mengatur pentas peragaan dengan lancar.


Bagi Aina (bukan nama sebenar), pengalaman beberapa tahun lalu masih terpahat jelas dalam ingatan.

Projek akhirnya ketika itu dianjurkan di sebuah hotel lama yang sudah berusia beberapa dekad.

Bangunan tersebut kelihatan usang dengan dinding retak, lantai kayu berdecit serta aroma lama yang menusuk hidung.

Namun, bagi pihak kolej, hotel itu dianggap sempurna untuk majlis kecil mereka kerana ia memberikan suasana klasik yang sesuai dengan tema rekaan pelajar.

Keadaan hotel lama itu memang agak menyeramkan. Tapi malam itu, saya hanya tumpu pada peragaan fesyen. Rasa aneh yang timbul dalam dada saya cuba saya abaikan.

Sebagai pereka, saya terlalu sibuk mengatur model-model saya sebelum mereka melangkah ke pentas,” kongsi wanita berusia 27 tahun itu kepada CitaRasa.

Malam tersebut, Aina mempersembahkan empat pasang pakaian bertemakan “Nostalgia Moden” yang diinspirasikan daripada era 1940-an.

Rekaan itu merupakan gabungan unsur klasik dan moden, dengan potongan tegas, warna lembut, serta aksesori ringkas tetapi elegan.

Seperti pereka lain, dia berdiri di belakang tirai, memerhati setiap langkah modelnya.

Sifatnya yang perfeksionis membuatkan Aina tidak melepaskan perhatian daripada sebarang perincian seperti daripada lipatan kain, warna, hinggalah cara kasut disarung.

Namun tiba-tiba, sesuatu pelik berlaku. Di atas pentas muncul seorang model kelima yang langsung tidak tersenarai.

Gaunnya berinspirasikan gaya Barat kolonial tahun 1940-an, lengkap dengan topi lebar dan kasut kulit klasik.

Penampilannya nyata jauh berbeza daripada rekaan moden Aina. Seketika itu, jantungnya berdegup laju, fikiran penuh tanda tanya.

“Saya ingatkan itu gurauan atau sabotaj daripada pelajar lain. Memang saya nak tegur selepas peragaan habis. Tapi sebelum sempat bergerak, lampu utama padam.

Gelap terus menelan dewan. Sunyi sepi… tiada jeritan, tiada bisikan,” ceritanya sambil menahan rasa seram.

Aina segera keluar dari tirai belakang. Model misteri itu kini berdiri di hujung laluan peragaan, tenang dan seakan menunggu sesuatu.

Secara tiba-tiba, kedengaran muzik “Terang Bulan” versi klasik, namun bunyinya pelik, seolah-olah datang dari jauh dan dari ruang yang asing.

Lampu suluh kru menyorot ke arah pentas, dan model itu bergerak semakin dekat. Degupan jantung Aina bertambah kencang, tangannya menggigil, bulu roma meremang, dan rasa sejuk menyelubungi seluruh tubuh.

Rupa model itu semakin lama semakin rapat, dan senyumannya makin lebar sehingga hampir terkoyak mulutnya.

“Saya tutup mata… rasa takut sampai macam lumpuh. Saya cuba baca doa, tapi tetap terasa ada sesuatu yang tidak aman dalam dewan itu,” kata Aina.

Tiba-tiba Aina terasa tubuhnya digoncang. Dia membuka mata lalu mendapati rakan-rakannya mengelilinginya.

Aina menceritakan pengalaman itu kepada mereka, namun kebanyakan hanya menganggap dia terlalu penat dan mungkin berhalusinasi.

Namun Aina yakin dengan apa yang dilihat. “Saya tahu benda ini memang berlaku. Saya mungkin antara orang terpilih untuk ‘diusik’ dia,” ujarnya dengan nada serius.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!