
Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA
SEJAK pindah ke kawasan kampung di daerah Jerantut, Pahang, Ayu (bukan nama sebenar) risau dengan perkembangan sosial anaknya.
Setelah lapan tahun membesar di kawasan apartmen di Kuala Lumpur (KL), kini anak tunggalnya itu perlu menyesuaikan diri dengan ragam anak kampung.

Mereka terpaksa pindah ke kampung itu sesuai dengan tuntutan kerja suaminya yang merupakan seorang kakitangan kerajaan.
Menurut Ayu, anak lelakinya yang bernama Adam (bukan nama sebenar) menjadi pendiam kerana dia rindu dengan rakan-rakan di Kuala Lumpur.

Di bandar, Adam banyak menghabiskan masa dengan rakan-rakan sekolah yang datang ke rumah untuk bermain permainan elektronik.
“Sementara di kampung pula, dia terpaksa menyesuaikan diri dengan karenah anak kampung yang bebas bermain apa sahaja di luar rumah,” katanya.

Namun pada satu hari, Adam menunjukkan perubahan tingkah laku apabila dia tiba-tiba kelihatan ceria dan bersemangat untuk keluar bermain.
Bagi Ayu, perubahan itu merupakan pertanda positif bahawa anaknya itu sudah mampu menerima hakikat bahawa mereka kini tinggal di kawasan kampung.

Tidak mengesyaki apa-apa, Ayu menganggap rakan baharu Adam adalah salah seorang anak jiran di kampung kerana mereka sering bermain dalam kumpulan.
“Kat kampung, semua orang saling mengenali. Jadi, saya tak hairan dengan siapa dia berkawan dan tidak pula saya nak selidik.

Tapi saya memang perasan dia rapat dengan seorang budak ni. Selalu berdua walaupun mereka bergerak dalam kumpulan,” katanya.
Ayu mula mengesyaki ada sesuatu yang pelik apabila Adam sering bercakap seorang diri apabila berada di dalam biliknya.

Perbualan rancak anaknya itu kadangkala berlaku sehingga pada tengah malam sehingga Ayu mula rasa tidak sedap hati.
Setelah disoal, Adam berkongsi bahawa rakannya, Arjuna mengikutinya pulang ke rumah sejak beberapa hari lalu kerana rumahnya terbakar.

Mengetahui hal tersebut, Ayu sangat terkejut dan segera berjumpa dengan orang kampung untuk bertanyakan soal anak kecil bernama Arjuna.
“Saya tak mahu takutkan Adam atau bahayakan dia kalau saya buat tindakan melulu. Jadi, saya ambil inisiatif bertanya dengan orang kampung terlebih dahulu.

Tapi apabila saya sebut nama Arjuna, orang kampung saling memandang satu sama lain dan mula berbisik-bisik,” jelasnya.
Sekiranya mengikut cerita orang lama di kampung, Arjuna merupakan salah seorang daripada enam keluarga yang meninggal pada kebakaran pada sekitar tahun 1950-an.

Sememangnya cerita tentang kematian keluarga Arjuna itu menjadi cerita turun temurun, tetapi tidak ada sesiapa pernah diganggu roh kanak-kanak tersebut.
Rupanya anak-anak kampung juga perasan Adam sering bercakap seorang diri, tetapi mereka menganggap perangai pelik itu berkemungkinan perangai anak bandar.

Tidak mahu melengah masa, Ayu mendedahkan bahawa dia segera meminta tolong ustaz untuk membantu memulihkan kembali anaknya itu.
“Saya panggil ustaz untuk ubati anak saya. Ustaz kata, Arjuna berdamping dengan Adam kerana dia melihat Adam kesunyian sama sepertinya.

Tetapi ustaz kata saya tak perlu khuartir kerana mereka telah ‘dipisahkan’ dengan bacaan ayat Al-Quran,” jelasnya.
Kini, Adam sudah pulih dan Ayu juga menjadi lebih terlibat dalam mengenali rakan-rakan anaknya bagi memastikan perkara sama tidak berulang.
