
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KISAH orang disakat oleh makhluk halus mahupun hantu pada waktu awal pagi dan tengahari rembang jarang kita dengari.
Dalam pemikiran masyarakat kita, kisah seram, misteri dan kemunculan hantu yang menakutkan sering dipotretkan berlaku bermula waktu senja hingga menjelang subuh.

Begitu juga kisah manusia kerasukan jin dan syaitan di dalam filem biasanya berlaku di tengah malam.
Namun kisah seram yang berlaku kepada beberapa orang pelajar hampir 40 tahun lalu di sebuah sekolah di negeri yang terletak di utara semenanjung masih menjadi perbualan penduduk setempat.

Wartawan Kosmo! menemui seorang usahawan di Banting yang ingin dikenali sebagai Aziz Shukor, 50, menceritakan pengalaman seram dia dan beberapa orang rakannya berhadapan situasi menyeramkan semasa belajar di sekolah rendah tersebut.
“Kisah ini melibatkan rakan sekelas saya, Suhaida yang datang awal pagi ke sekolah.

“Semasa itu keadaan di dalam kelas masih agak kelam, kira-kira pukul 6.45 pagi. Sedang Suhaida meletakkan beg sekolah seorang lelaki kerdil tiba-tiba muncul dari belakangnya,” katanya ketika ditemui di Pulau Carey baru-baru ini.
Aziz berkata, Suhaida pada awalnya terkejut dengan kehadiran lelaki tersebut dan ingin melarikan diri namun kakinya seperti dirantai.

Katanya lagi, Suhaida bertanya kepada lelaki kerdil itu dia datang dari mana dan apa tujuan dia menegur dirinya.
“Lelaki kerdil itu berkata, dia tinggal di sekolah tersebut dan sudah lama tinggal di situ sejak sebelum sekolah itu dibina.

Suhaida bercerita ‘makhluk’ kenit tersebut mempunyai muka persis orang dewasa biasa cuma tingginya hanya 0.9 meter,” katanya.
Jelasnya lagi, Suhaida kemudiannya meminta izin daripada lelaki kerdil tersebut untuk turun daripada kelas yang terletak di tingkat dua sekolah.

Aziz memberitahu, Suhaida tanpa menoleh ke belakang menuruni tangga dengan pantas dan terus menceritakan pengalamannya kepada rakan-rakan dan guru-guru yang baru sampai ke sekolah.
“Kecoh sekolah saya pagi tersebut disebabkan Suhaida bertemu makhluk halus yang peramah.

“Nasib baik Suhaida tidak demam dan tidak kerasukan. Namun apa yang dilihatnya kemungkinan besar orang bunian bukannya hantu,” katanya.
Menurut Aziz yang lebih 30 tahun tinggal di Banting, kisah makhluk kerdil misteri tersebut bukanlah yang pertama di sekolah itu, kerana dia dan rakan-rakan sekelas pernah disakat oleh bayangan makhluk hitam di siling bilik TV sekolah tersebut.

Peristiwa menyeramkan tersebut berlaku pada pukul 12 tengah hari kata Aziz, menyebabkan sesi menonton TV Pendidikan menjadi sesi murid-murid sekolah berada dalam ketakutan terutama murid perempuan yang berpelukan sesama mereka seolah-olah dirasuk.
“Bayangan hitam tersebut seakan bertawaf dan imejnya muncul dan menghilang di dinding di bahagian bawah siling.

Guru kelas yang sudah lali dengan keadaan tersebut meminta murid-murid supaya tidak menegur dan melihat bayangan tersebut.
“Siang-siang mana ada hantu kata cikgu. Seolah-olah mencabar hantu tersebut untuk menampakkan diri,” ujarnya.

Mengulas lanjut Aziz berkata, guru Sejarah menerangkan kepada murid-murid tentang sekolah tersebut yang pernah menjadi tempat tentera Jepun beroperasi semasa zaman pendudukannya selama tiga tahun lapan bulan antara tahun 1941 hingga 1945.
Guru Sejarah Aziz berkata, ada tahanan yang mati akibat didera dan diseksa di sekolah yang menjadi markas tentera Jepun yang mentadbir secara kuku besi.

Cikgu Sejarah saya kata, berlaku tembak menembak semasa tentera Jepun dan tentera British bertempur di sekolah tersebut.
“Kesan darah kering masih terdapat di sana sini di dinding di dalam sekolah itu dan ini membuktikan kebenaran fakta sejarah tersebut,” ujarnya.

Namun jelas Aziz, dia belum mendengar kisah penduduk sekitar pernah terserempak dengan hantu askar Jepun secara berdepan melainkan kisah makhluk kenit dan bayangan hitam di tengah hari rembang.
Tambah Aziz lagi, kawasan sekolah rendahnya itu mempunyai aura yang pelik seolah-olah ada manusia yang memerhatikan murid-murid sekolah bermain-main daripada tingkat atas kelas yang tidak berpenghuni.

“Ini disebabkan ada rakannya ternampak kelibat askar Jepun di waktu tengah hari di tingkap kelas di tingkat dua. Namun sehingga kini tiada siapa yang percaya cerita kawan saya itu, dia pun sudah meninggal beberapa tahun lalu.
“Sebagai sahabat saya percaya ceritanya itu. Apa yang pasti banyak kisah misteri sekolah tersebut tidak diceritakan oleh guru-guru dibimbangi murid-murid takut hendak ke sekolah tersebut,” jelasnya.

Sekolah tersebut cerita Aziz lagi, sudah pun dinaiktaraf menjadi bangunan untuk pelancongan.
Cuma kata Aziz, dia tidak pasti sama ada lelaki kerdil atau kenit tersebut masih wujud di bangunan tersebut.
“Siang atau malam saya enggan mengambil risiko untuk disakat bayangan hitam mahupun disapa lelaki kenit yang peramah dari dimensi lain,” katanya.
Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 30 April 2023. Ilustrasi janaan AI
