
Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
Setiap kali musim buah-buah kayu seperti durian, rambutan, manggis dan langsat sudah pasti kawasan dusun dan semak-samun di kawasan kampung ditebas sehingga bersih.
Namun sebaiknya sebelum kawasan dusun terbabit dibersihkan, langkah keselamatan diambil dengan penuh berhati-hati bagi memastikan kawasan yang terdapat sarang binatang berbisa tidak ditebas sewenang-wenangnya.

Begitu juga dengan kawasan yang dipercayai tempat makhluk halus seperti jin dan bunian perlu diambil langkah berjaga-jaga dari dinodai secara tidak sengaja.
Kisah menyeramkan ini berlaku di sebuah desa yang terletak di satu daerah di sebuah negeri di utara semasa musim buah-buahan 30 tahun lepas.

Menurut seorang pesara sektor swasta, Ramlan Rahman, 62, dari Kuala Selangor, kisah tersebut berlaku semasa dia membawa isteri dan dua anak perempuannya yang berusia 8 dan 6 tahun balik kampung untuk makan buah-buahan di tanah pusaka keluarga.
“Perjalanan dari rumah saya di Kuala Selangor hingga ke kampung saya di sebuah negeri di utara memakan masa tiga jam. Saya bertolak selepas solat Subuh dan sampai kira-kira pukul 10 pagi.

Oleh kerana tidak sabar untuk menikmati durian yang baru luruh pagi itu saya dan keluarga terus ke dusun kira-kira 500 meter dari rumah pusaka,” katanya ketika ditemui di Kuala Selangor baru-baru ini.
Ramlan berkata, ibu bapanya begitu gembira menyambut kepulangan anak, menantu dan cucu pada pagi yang terang-benderang itu.

Katanya lagi, anak-anaknya pergi bermain di bawah pokok rambutan budak sekolah di belakang dangau di dusun durian sambil beliau dan isteri berbual dengan ibu bapanya.
“Saya membiarkan anak-anak bermain di situ kerana kawasan bawah pokok rambutan tersebut amat bersih dan saya pasti tiada binatang berbisa di situ. Anak-anak saya bermain dengan gembira dan kedengaran gelak ketawa mereka.

Saya dan isteri makan durian kampung yang baru luruh dengan penuh selera seperti orang kemaruk, sampai lupa anak yang leka bermain tanpa ditemani orang dewasa,” katanya.
Ramlan memberitahu, kelazatan durian kampung tersebut menyebabkan beliau dan isteri tidak berhenti-henti memberi komen seolah-olah ‘influencer’ membuat ‘review’ produk.

Dalam masa yang sama katanya lagi, ibunya bercerita tentang harga durian yang tidak berapa tinggi kerana durian yang berlambak di pasaran dan terpaksa dibuat dodol atau lempuk mahu pun asam tempoyak.
“Cara arwah ibu bercerita menimbulkan rasa lucu dan kami berempat terus ketawa besar.

Tiba-tiba sedang kami berbual saya baru perasan suara kedua anak saya tidak lagi kedengaran bergelak ketawa. Kali ini kami yang berada di dangau seperti mendengar mereka sedang berbual-bual,” katanya.
Namun jelasnya lagi, beliau bersangka baik anak-anaknya berbual dengan pemilik dusun durian di tanah bersebelahan.

Walaubagaimana pun Ramlan menjelaskan, hanya suara anak-anaknya yang kedengaran menjawab, sedangkan suara yang bertanya langsung tidak berbunyi.
“Saya menunjukkan isyarat senyap kepada isteri dan ibu bapa saya bagi membolehkan kami mendengar suara orang yang bertanya.

Namun masih suara kedua anak perempuan saya yang berlawan cakap dengan kawan ‘khayalan’ mereka.
“Tiba-tiba anak bongsu saya menangis kesedihan. Kali ini kami berempat yang berada di depan pangkin dangau terus meluru ke kawasan belakang dangau tersebut,” ujarnya.

Cerita Ramlan lagi, apa yang mengejutkan kami, hanya kelibat kedua anaknya sahaja berada di lokasi yang hanya 10 meter jaraknya dari kawasan dangau di dusun durian itu.
Apa yang lebih mengejutkan kata Ramlan, anak perempuan sulungnya memberitahu adiknya menangis kerana nenek cantik meninggalkan mereka kerana ingin balik ke rumahnya.

“Nenek cantik itu berambut putih berselendang merah berpakaian baju kurung serba hijau, begitu cerita anak saya.
“Along (anak pertama Ramlan) memberitahu, nenek cantik itu mengajak mereka bermain di bawah pokok ara tidak jauh dari dusun keluarga saya.

“Adiknya hendak mengikut tetapi kak longnya tidak izinkan itu yang menjadi punca dia meragam,” katanya lagi.
Nenek cantik yang dimaksudkan anaknya katanya lagi, langsung tidak kelihatan yang tinggal cuma bau wangi seharum kasturi.

Pengalaman pelik tersebut jelas bapa Ramlan, bukan perkara pelik kerana sebelum ini ada beberapa insiden misteri berlaku selepas kawasan dusun tersebut dibersihkan.
“Kadang-kadang siang-siang bolong terdengar orang berbual-bual entah apa biji butirnya di kawasan pokok ara yang kononnya adalah lokasi rumah nenek cantik yang disebut anak saya.

“Bau orang memasak gulai masak lemak cili api sebelum masuk waktu untuk solat Zuhur juga pernah terjadi, sedangkan kawasan tersebut tiada rumah penduduk kampung,” jelasnya.
Peristiwa yang menyeramkan itu jelas Ramlan tidak diingati anak keduanya, namun anak sulungnya hingga kini masih mengingati rupa nenek cantik yang berambut putih, berhidung mancung, bermata hitam besar dan berbibir merah yang peramah.
Nasihat Ramlan kepada ibu bapa, jangan leka dengan sesuatu perkara, tidak semestinya sewaktu makan durian sahaja, malahan apa yang membimbangkannya orang sekarang 24 jam sibuk dengan telefon pintar hingga tidak sedar risiko akan berlaku kemalangan.
“Harta benda boleh dicari, jangan sampai kerana leka dan lalai anak kita hilang selama-lamanya dari dakapan kita” tegasnya lagi.
