
Oleh RIZAM ZAKARIYA
BAGI sesetengah orang, kisah mistik atau seram yang didengari mereka mungkin dianggap tidak lebih dari sekadar sebuah cerita.
Malah, mereka yang langsung tidak mempercayai akan kisah-kisah tersebut pula akan menganggap ia sebagai cerita rekaan yang tiada kebenarannya.

Bagi Razak (bukan nama sebenar), dia juga kerap kali mendengar beberapa kisah mistik yang diceritakan rakan-rakannya yang dikatakan sering berlaku di beberapa lokasi di sekitar kawasan penempatan Felda di Pahang.
Walaupun begitu, seperti kebanyakan orang, kesemua kisah tersebut sering dianggap sebagai tidak lebih dari sekadar sebuah cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut.

Namun katanya, dia akhirnya mengakui kisah yang didengarinya itu adalah benar apabila dia sendiri berhadapan dengan situasi cemas tersebut.
Membuka cerita, Razak berkata, kejadian itu berlaku kira-kira 20 tahun lalu ketika dia yang ketika itu bekerja sebagai pemandu bas kilang baru selesai menghantar sekumpulan pekerja yang tamat syif malam.

“Terdapat beberapa orang pemandu yang bekerja di syarikat bas berkenaan dan kami dibahagikan tugas untuk mengambil dan menghantar pekerja dari laluan penempatan Felda yang berbeza.
“Kebiasaannya, saya akan mengambil dan menghantar pekerja dari dua kawasan penempatan Felda setiap hari.

“Nak dijadikan cerita, seorang daripada rakan saya telah berhenti kerja dan disebabkan saya merupakan pemandu yang paling lama bertugas, maka saya ditugaskan untuk menggantikannya.
“Manakala tempat saya diganti oleh seorang pemandu yang baru diterima bekerja di syarikat tersebut,” katanya.

Jelas Razak lagi, disebabkan dia sudah lama menetap di situ, maka laluan ke penempatan Felda di sekitar kawasan tersebut tidaklah begitu asing baginya.
Justeru, dia tidak berhadapan dengan kesukaran untuk memandu bas bagi mengambil dan menghantar pekerja seperti yang diarahkan oleh majikannya.

“Pada hari pertama bertugas di laluan baru, rakan saya sudah berhenti kerja itu ada memberitahu agar berhati-hati, selain menasihati agar membawa teman sekiranya memandu ketika menghantar pekerja pada waktu malam.
“Pada awalnya, saya tidak mengendahkan saranan rakan saya itu, sebaliknya memandu seorang diri seperti biasa kerana merasakan tiada apa-apa yang akan berlaku.

Sehinggalah pada minggu kedua, satu kejadian mistik mula menghantui saya apabila diganggu oleh satu lembaga seakan seorang wanita yang cuba menahan bas saya di tepi jalan berhampiran persimpangan jalan,” katanya.
Cerita Razak lagi, dia yang tidak mengesyaki apa-apa kemudiannya cuba memberhentikan bas bagi memberi pertolongan, dengan menganggap wanita tersebut mungkin ingin menumpang.

Sebaik pintu bas dibuka, alangkah terkejutnya apabila mendapati wanita berkenaan yang sudah berdiri di hadapan pintu tidak memiliki kepala, selain memakai pakaian yang berlumuran seakan darah.
Terkejut dengan apa yang disaksikannya itu, dia menutup semula pintu bas dan terus memandu kenderaan itu meninggalkan lokasi berkenaan.

“Keesokan harinya, saya menghubungi rakan sekerja saya yang sudah berhenti itu dan berceritakan tentang kejadian seram yang menimpa saya itu.
“Menurut rakan saya itu, dia juga pernah mengalami kejadian yang sama beberapa kali sepanjang dia memandu bas di laluan terbabit khususnya pada waktu malam.

“Patutlah dia beriya-iya menasihati saya agar membawa teman sekiranya memandu bas di tengah malam, rupanya dia sudah dapat merasai mungkin saya akan berhadapan dengan situasi tersebut,” ujarnya.
Kata Razak, berdasarkan cerita orang-orang Felda di situ, persimpangan tersebut merupakan lokasi di mana sebuah kemalangan maut berlaku melibatkan sebuah motosikal ditunggangi seorang wanita.

Dalam kemalangan itu, mangsa cedera parah termasuk putus di bahagian kepala akibat digilis lori.
“Menurut cerita orang kampung, sejak daripada itu, sering berlaku kejadian di mana lembaga seakan wanita akan berdiri di situ dan akan menahan kenderaan yang melaluinya.

Mungkin untuk meminta tolong bagi mencarikan bahagian kepalanya yang hilang akibat digilis lori dalam kemalangan tersebut,” katanya.
Tambah Razak, sejak daripada kejadian yang menimpanya itu, dia pasti akan membawa seorang rakannya sebagai teman sekiranya perlu menghantar pekerja kilang pada waktu malam.

“Sekurang-kurangnya, sekiranya terpaksa berhadapan dengan gangguan yang sama, saya mempunyai rakan untuk menemani saya dan tidaklah berasa terlalu takut,” ujarnya.
