MMToon

LEMBAGA WANITA PENUNGGU KUBUR LAMA

Oleh RIZAM ZAKARIYA

 

APABILA bercerita tentang kisah mistik dan seram, ramai antara kita yang mempunyai pengalaman tersendiri berhadapan dengan situasi tersebut.

 

Antara kisah yang paling popular adalah ketika berada di asrama, sama ada ketika di sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi.

 

Bagi Azura (bukan nama sebenar), dia turut mempunyai pengalaman menakutkan ketika dia menuntut di sebuah universiti awam di utara tanah air.

Dia yang kini berusia 39 tahun dan menetap di Kuala Lumpur berkata, kejadian itu berlaku ketika dia baru mendaftar masuk ke universiti itu sebagai pelajar baru kira-kira 20 tahun yang lalu.

 

“Saya melanjutkan pengajian di universiti tersebut ketika berusia 19 tahun selepas menamatkan persekolahan di tingkatan enam.

 

“Selepas mendaftar masuk, saya ditempatkan di asrama wanita yang terletak di komplek asrama yang paling hampir dengan dewan kuliah.

“Walaupun begitu, apa yang tidak menyeronokkan ialah blok asrama wanita tersebut terletak paling belakang di antara empat blok asrama di kompleks tersebut dan bersebelahan dengan kawasan belukar,” katanya.

 

Cerita Azura lagi, pada minggu pertama berada di universiti tersebut, dia agak sibuk dengan aktiviti minggu orientasi pelajar baru menyebabkan dia dan rakan-rakan kerap pulang pada waktu malam.

Malah jelasnya, dia juga tidak mempunyai rehat yang cukup kerana terpaksa bangun awal pagi untuk sebelum bersiap untuk ke pusat pengajian bagi menghadiri pelbagai taklimat.

 

“Nak dijadikan cerita, ada satu hari di mana saya dan rakan-rakan pelajar baru dikehendaki menyertai aktiviti larian mengelilingi kampus pada waktu petang.

“Akibat terlalu penat, saya terus tertido selepas mandi dan solat maghrib, dan hanya terjaga kira-kira pukul 12 tengah malam.

 

“Ketika itu, saya baru teringat bahawa kain yang dijemur di ampaian yang terletak di belakang blok asrama belum diangkat.

 

“Disebabkan pakaian bersih yang dijemur perlu dipakai untuk keesokan harinya, saya terus bergegas turun ke bawah dari bilik asrama yang terletak di tingkat tiga untuk mengampil pakaian,” katanya.

Kata Azura, ketika dia sedang mengangkat pakaian miliknya, tiba-tiba dia terlihat kelibat seseorang seakan-akan wanita sedang berdiri di kawasan tebing yang terletak berhampiran belukar.

 

Dia yang ketika itu sedang menGangkat pakaian tidak memikirkan apa-apa, sebaliknya membiarkan ‘wanita’ tersebut di situ, sambil beranggapan ia mungkin pelajar senior yang sedang menggunakan telefon bimbit.

 

Bagaimanapun, sebaik dia melangkah untuk meninggalkan kawasan ampaian, dia terlihat seolah-olah wanita berkenaan berlari laju menuruni tebing bukit dan masuk ke kawasan belukar berkenaan.

Disebabkan terkejut dengan apa apa yang dilihatnya, Azura kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada sekumpulan pelajar senior yang ketika itu sedang menonton televisyen di ruangan rehat di blok asrama terbabit.

 

“Sebaik mendengar apa yang saya ceritakan, kumpulan pelajar senior terbabit terus menutup televisyen dan segera beredar dari ruang rehat berkenaan.

“Malah, mereka turut menasihati saya agar terus masuk ke bilik dan tidur, serta tidak keluar dari bilik sehingga hari siang,” katanya.

 

Dia yang masih kebingungan dengan apa yang berlaku kemudiannya hanya menuruti nasihat pelajar senior terbabit, sambil beranggapan pasti ada sesuatu yang tidak kena berlaku.

Keesokannya, ketika waktu makan tengahari di café berhampiran asrama, dia mendekati salah seorang pelajar senior terbabit untuk bertanyakan kejadian yang berlaku pada malam sebelumnya.

 

Jelas Azura, menurut pelajar senior tersebut, dia bukanlah orang pertama yang menempuh pengalaman bertemu dengan lembaga ‘wanita’ berkenaan.

Malah dia diberitahu, sudah ramai pelajar wanita yang berdepan detik menyeramkan itu terutama pelajar baru.

 

“Kata senior terbabit, lembaga wanita terbabit dikatakan merupakan penunggu sebuah kubur lama yang terletak di kawasan belukar berkenaan.

 

“Walaupun tidak pernah mengakibatkan sebarang kejadian buruk, namun kelibat lembaga ‘wanita’ terbabit sudah cukup untuk membuatkan mereka yang melihatnya ‘kecut perut’.

“Malah, ada juga antara mereka ketakutan sehingga mengalami demam beberapa hari.

 

“Sebab itulah ada pengawal keselamatan yang akan membuat rondaan di kawasan asrama bagi memastikan tiada pelajar berada di luar blok asrama pada waktu lewat malam,” katanya.

 

Tambah Azura, walaupun hanya sekali menempuh pengalaman bertemu dengan lembaga ‘wanita penunggu kubur’ tersebut, namun ia cukup untuk membuatkan kejadian tersebut terpahat di dalam ingatannya sehingga ke hari ini.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!