MMToon

ANGKARA IRI HATI DERAMAN DISANTAU

Oleh Roshihan Annuar Yub

Sudah hampir dua minggu Deraman batuk tak berhenti hingga ada kalanya sampai mengeluarkan darah. Tubuhnya yang sedikit tegap itu juga sudah beransur susut gara-gara hilang selera makan.

“Kau dah pergi hospital? Buatlah check doktor, mana tahu ada jangkitan kuman,” kata Azli sambil merenung wajah rakannya itu.

Deraman sekadar mengangguk sambil sesekali mengurut dada. Tidak tahu bagaimana dia ingin menjelaskan kepada rakan baiknya itu. Rasanya sudah puas dia panjat tangga klinik dan hospital sebelum ini untuk periksa kesihatannya tetapi doktor sendiri tidak tahu puncanya.

Deraman terus menceritakan segala ikhtiar yang dibuatnya sebelum ini. Katanya, bukan sekadar hospital dan klinik, malah dia juga sudah berjumpa beberapa bomoh untuk merawat penyakitnya, namun sia-sia.

Kau pergi jumpa bomoh mana? Bomoh betul atau bomoh temberang? Tanya Azli lagi sambil tertawa kecil.

Deraman mencebik bibir sambil menjeling sinis ke arah Deraman. Malas dia hendak berlawan hujah, baginya yang penting adalah mencari jalan bagaimana untuk mengubati penyakit misterinya itu.

“KOHHH KOHHHH KOHHHHH!”
“KOHHH KOHHHH KOHHHHH!”

Deraman mengurut dada. Nampak raut wajahnya yang lesu dan keletihan.

Aku rasa kau ni bukan sakit biasa-biasa Man. Macam ada sesuatu tak kena, kata Azli lagi sambil memandang rakannya dengan rasa simpati.

Deraman meluruskan kaki sambil merenung sekawan burung yang melintas di kepalanya. Dia hela nafas perlahan-lahan. Dia tidak menyangkal apa yang diperkatakan Azli kerana dia juga merasakan ada yang tidak kena dengan dirinya kebelakangan ini. Namun dia tidak dapat jawapan sebenar.

Malam itu, Deraman terjaga daripada tidur kerana batuk yang tak berhenti. Bergegas dia ke dapur sambil menekup mulut.

“UWEKKKKK UWEKKKKK UWEKKKKK”

Bersembur kahak pekat beserta sisa makanan keluar dari mulutnya. Tiba-tiba dia terpaku. Dikuisnya muntah tersebut sambil merenung dengan teliti. Alangkah terkejutnya apabila melihat segumpal kecil rambut dan ketulan kecil darah beku berada di sinki. Deraman terpaku.

Dia beristighfar panjang. Serta merta fikirannya melayang teringatkan perbualannya siang tadi. Mungkin benar apa yang dikatakan Azli. Rasanya batuk dihidapnya ini bukanlah biasa tetapi sesuatu yang luar biasa.

Malam itu Deraman tidak dapat lelapkan mata. Selain diganggu batuk yang tak berhenti, dia juga perasan ada sesuatu yang tidak kena di rumahnya ketika itu.

Sesekali dia terperasan kelibat aneh berkeliaran di sekitar rumahnya, bila dia keluar menjenguk, kelibat tersebut terus hilang dari pandangan. Bukan itu sahaja kadang kala terdengar juga suara mengilai halus, merengus dan ketawa.

Keesokkannya Deraman ke rumah Azli, terus dia ceritakan apa yang berlaku kepadanya malam tadi. Terlopong Azli mendengarnya.

Aku dah cakap semalam penyakit kau ni lain daripada yang lain. Jom aku bawa kau ke rumah Lebai Abas, mungkin dia boleh tolong tengok-tengokkan,” sambung Azli.

Deraman angguk perlahan. Dia juga ingin tahu apa yang terjadi kepadanya ketika itu, kalau nak katakan batuk biasa pasti sudah pulih apatah lagi dia sudah makan macam-macam ubat sebelum ini.

Sampai sahaja di rumah Lebai Abas, Azli terus memberi salam. Kedengaran suara Lebai Abas menjawab dari dalam.

Hah, ada hajat apa ini Azli? Macam ada perkara penting,” Tanya Lebai Abas di muka pintu sambil menjemput mereka masuk.

Lantas Azli menceritakan apa yang berlaku kepada Deraman. Lebai Abas mendengar khusyuk. Dia merenung wajah Deraman dalam-dalam.

Mari aku periksa kau kejap,” kata Lebai Abas sambil mengarahkan Deraman duduk membelakanginya.

Lebai Abas memicit bahu sambil mengurut tengkuk Deraman. Sesekali wajah Lebai Abas berkerut seakan ada sesuatu di fikirannya.

Dah berapa lama kau batuk ini?” Tanya Lebai Abas perlahan.

“Hampir dua minggu juga,” jawab Deraman sambil terbatuk kecil.

“Selain batuk, apa lagi yang jadi pada kau?” Tanya Lebai Abas lagi.

Deraman menceritakan tentang suara-suara dan kelibat aneh yang sering dilihatnya pada setiap malam sehinggakan dia tidak boleh lelapkan mata.

Baiklah, malam esok kau datang bawa kain pelikat dengan lima butir telur ayam kampung. Aku tolong ikhtiar mana yang boleh,” sambung Lebai Abas.

Keesokan malamnya Azli sekali lagi menemankan Deraman ke rumah Lebai Abas. Setelah masuk ke bilik, Haji Abas terus memulakan rawatannya. Diambilnya sebutir demi sebutir telur ayam itu lalu digolekkan ke segenap anggota tubuh Deraman.

Setiap kali Haji Abas memicit anggota tubuhnya setiap kali jugalah Deraman mengaduh sakit yang teramat. Rasa seperti tubuhnya dicucuk dengan jarum.

“Mari aku tunjukkan pada kau sesuatu,” kata Haji Abas kepada mereka berdua.

Haji Abas kemudiannya memecahkan kelima-lima telur tersebut ke dalam mangkuk. Terbeliak mata Deraman dan Azli melihatnya. Jelas kelihatan beberapa gumpalan rambut, ketulan darah, beberapa batang jarum kecil dan dawai halus.

Apa benda ini Haji?” Tanya Deraman kehairanan.

Haji Abas tersenyum sambil membetulkan silanya. Terus dia jelaskan apa yang berlaku kepada Deraman sebelum ini.

“Kamu disantau. Ada yang hantar benda ini pada kamu. Dia nak kasi kamu sengsara sebelum mat,” kata Haji Abas.

Terdiam Deraman dan Azli mendengarnya. Tak sangka itu sebenarnya yang terjadi selama ini. Patutlah sekian lama dia menanggung azab sakit begini, rupa-rupanya ada insan yang berniat jahat kepadanya.

Aku tak tahulah apa yang berlaku sebenarnya pasal kamu di luar sana. Cuma aku harap lepas ini kamu hati-hatilah. Ada orang kadang-kadang tak senang tengok kita berjaya, ada yang sakit hati, sambung Haji Abas lagi.

Deraman terdiam. Serta merta fikirannya melayang mengimbau kejadian sebelum ini. Benar, kebelakangan ini rezekinya agak murah kerana berjaya mendapat beberapa tender dari kerajaan untuk membuat pembangunan di daerahnya.

Namun sebagai seorang kontraktor dia tahu ada pesaing lain yang tidak berpuas hati dengannya. Dia tidak menolak apa yang terjadi kepadanya berpunca daripada sikap iri hati dan cemburu pihak lain.

Bila difikirkan semula, Deraman yakin dan tahu siapa individu yang melakukan perkara terkutuk tersebut.

Kau jangan berlagak sangat Man! Esok lusa boleh je kalau aku nak lingkupkan kau.

Kata-kata itu serta merta terngiang-ngiang di telinganya. Dia yakin sudah mendapat jawapan.

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 4 Februari 2024 . Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!