MMToon

SENDU TANGISAN DI LARUT MALAM

AZMI baru sahaja bertugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah kondominium di pinggir kota. Walaupun usianya baru mencecah awal 30-an namun dia berasa seronok kerana tugas tersebut tidak membosankan. Setiap hari ada sahaja penghuni baharu yang dikenalinya, sehinggakan rakan-rakan sekerjanya pelik dengan sikap ramah tamahnya.

“Fuh, kau ini ramah lain macam! Habis semua orang di kondo ini kau tegur, sampaikan auntie-auntie yang sudah pencen ini pun tanya, cari kau tadi,” kata Jasmi rakan sekerjanya sambil tertawa kecil.

Azmi hanya tersengih. Dia tahu ramai penghuni di situ yang seronok dan selesa berbual dengannya kerana dia bukanlah seorang yang terlalu tegas dan cerewet. Jika ada mana-mana penghuni yang melakukan kesalahan kecil seperti tidak membawa pas masuk atau meletakkan kenderaan di tempat salah, dia tutup mata sahaja, sebab itulah ramai yang cukup suka kalau berurusan dengannya.


Dia pula suka memilih untuk bekerja pada syif malam berbanding siang. Baginya waktu malam lebih tenang dan damai tanpa hiruk pikuk kenderaan lalu lalang, selain itu kebanyakan penghuni juga berada di rumah setelah pulang dari bekerja.

Perkara tersebut merupakan berita gembira buat rakan setugas lain kerana jika Azmi memilih untuk bertugas pada syif malam, makanya mereka boleh bergilir-gilir bertukar syif dengannya, sekali gus memberi kelegaan kepada yang sudah berkeluarga.

Malam itu seperti biasa Azmi akan berjalan meronda di persekitaran kondominium tersebut. Dengan berbekalkan sebuah lampu suluh dia mengatur langkah meninjau blok-blok bangunan yang berada di situ. Sesekali dia menyanyi kecil untuk menghilangkan rasa bosan sambil meninjau keadaan sekeliling.

Memang sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan keadaan sekeliling berada dalam keadaan baik, malah dia juga bernasib baik kerana sejak dia bertugas di situ tidak pernah lagi berlaku sebarang kejadian tidak diingini di kawasan kondominium tersebut.


Suasana malam itu cukup dingin, Bunyi ungas dan salakan anjing di sekitar bukit berdekatan sesekali memecah kesunyian malam.

Azmi suluh jam di tangan, sudah hampir pukul 2pagi. Memang begitulah rutinnya setiap malam kerana setiap dua jam dia dan rakan setugas akan bergilir-gilir meronda untuk meninjau kawasan persekitaran.

Sesekali Azmi menggosok kedua tapak tangannya kerana kesejukan. Kondominium di kawasan tersebut memang terkenal dengan persekitaran yang sejuk dan nyaman kerana dikelilingi bukit dan hutan simpan, kawasannya juga cukup damai dan privasi sekali gus menjadi pilihan untuk warga kota yang inginkan ketenangan.

Sedang matanya liar melihat sekeliling, tiba-tiba telinganya menangkap satu bunyi. Azmi tahan nafas dan mematikan langkah seketika. Dia cuba amati bunyi itu dengan lebih jelas.

HUUUUUU…. HUUUUUU…. HUUUUU…
HUUUUUU…. HUUUUUU…. HUUUUU…

Jelas kedengaran bunyi tangisan mendayu dari arah blok di hadapannya. Azmi kaget seketika. Siapa pula yang menangis malam-malam ini, bisiknya dalam hati.

Tanpa berfikir panjang dia lantas atur langkah menuju ke arah bunyi tersebut. Semakin dia menghampiri blok berkenaan, semakin jelas kedengaran tangisan tersebut.

Matanya melilau sekeliling sambil tangannya menghalakan lampu suluh yang dipegang serata tempat.
Suara tangisan mendayu masih jelas kedengaran, namun dia masih belum dapat memastikan dari manakah datangnya bunyi tersebut.

Bunyi tangisan yang mendayu itu turut diselangi dengan sendu sendan. Azmi semakin gundah. Dia mula berfikir bukan-bukan. Dalam hatinya berharap agar tangisan itu bukanlah datangnya daripada mangsa kes kecurian, ragut atau sebagainya, nanti tidak pasal-pasal pula dia kena bersoal jawab dengan pihak polis.


Suasana di tingkat bawah blok berkenaan cukup suram dan sunyi. Kelihatan deretan kereta dan motosikal yang tersusun kemas di ruang parkir. Azmi menyuluh ke arah beberapa lampu yang tidak berfungsi. Dia hela nafas perlahan. Dalam hati dia merungut sendirian kerana lampu yang sepatutnya diperbaiki masih belum berfungsi sehingga kini.

Sebelum ini sudah beberapa kali dia mengadu kepada pihak pengurusan berkenaan lampu yang rosak di beberapa blok di situ, tetapi seperti biasa, selagi tiada apa-apa kes serius yang melibatkan penghuni, selagi itulah mereka bertangguh.

 

Azmi kembali menyuluh di sekeliling. Bunyi esak tangis sudah tidak kedengaran lagi, tetapi digantikan dengan bunyi sendu sendan yang berlarutan. Dia mengintai di tangga berhampiran kolam renang, juga tidak nampak sesiapa di situ.

 

Namun sebaik sahaja dia menoleh ke arah tangga bersebelahan lif Azmi terlihat satu sosok wanita berselendang hitam sedang duduk di salah satu anak tangga di situ. Wajahnya nampak sugul dan muram seakan ditimpa masalah. Sesekali dia mengangkat lengan menyeka air mata yang meleleh di pipinya.

“Assalamualaikum, kenapa ini puan? Menangis di sini, ada masalah ke? Tanya Azmi inginkan kepastian.

Wanita pertengahan usia itu nampak terkejut dengan kehadiran Azmi. Terus dia membetulkan duduknya sambil merenung ke arah lantai simen di bawah.

Azmi garu kepala yang tidak gatal. Wanita tersebut seakan tidak mengendahkan pertanyaannya, malah langsung tidak memberi sebarang jawapan bila ditanya. Azmi lantas mencari jalan untuk mengetahui apa yang terjadi kepada wanita tersebut.

Begini puan, kalau puan ada masalah boleh beritahu dengan saya, manalah tahu kalau-kalau saya boleh membantu, lagipun memang tugas saya untuk jaga keselamatan penghuni di sini,” terang Azmi panjang lebar dengan niat untuk mengetahui perkara sebenar.

Wanita tersebut perlahan-lahan mengangkat muka memandang ke arah Azmi. Dan ketika itulah Azmi tergamam apabila nampak beberapa kesan lebam di wajah wanita tersebut.


“Tak apa encik, ini masalah rumah tangga, rasanya tidak perlu saya kongsikan dengan tuan, dan rasanya tuan pun tidak dapat membantu,” jawab wanita tersebut perlahan.

Azmi terdiam seketika. Betul juga apa yang diperkatakan wanita tersebut.

 

Azmi terdiam seketika. Betul juga apa yang diperkatakan wanita tersebut. Bagaimana pula dia ingin mencampuri urusan rumah tangga orang lain sedangkan dia hanya pengawal keselamatan sahaja, lainlah jika berkaitan kecurian, kerosakan harta benda atau kemalangan, barulah dia boleh masuk campur.

“Baiklah puan, saya faham. Saya bukan hendak busy body, tapi saya harap puan selesaikanlah secara baik. Saya bertanya ini pun sebab nampak puan menangis di luar sini, takut pula kalau jiran-jiran lain nampak, nanti apa pula yang mereka fikir,” kata Azmi menambah.


Wanita tersebut menganggukkan kepala sambil bangun dan menaiki anak tangga menuju ke atas, Azmi hanya memandang dengan seribu persoalan. Dia faham, mungkin wanita tersebut berasa kusut dan runsing.

Tanpa berlengah Azmi terus melangkah menuju ke blok bersebelahan. Lampu suluhnya dipegang erat sambil matanya memandang ke arah langit yang gelap. Fikirnya pasti hujan sebentar lagi memandangkan sudah beberapa kali tubuhnya ditampar angin kencang ketika itu.

Tekaannya tepat. Tidak sampai beberapa minit selepas itu hujan mula mencurah. Azmi berlari-lari anak mencari tempat berteduh di blok berdekatan. Dia hela nafas kelegaan, kalaulah dia terlambat tadi pasti tubuhnya sudah basah lenjun.

Azmi pandang ke arah luar bangunan sambil jeling jam di tangan. Kalaulah hujan lambat berhenti bermakna dia akan terus terperangkap di situ, tetapi kalau dia ambil keputusan untuk redah sahaja, silap haribulan dia terpaksa menahan kesejukan sehingga ke pagi dengan pakaian yang basah lenjun.


Hampir 10 minit menunggu barulah hujan reda. Azmi terus berlari keluar dari bangunan. Sesekali kilat memancar menerangi suasana persekitaran. Dan ketika dia melangkah melewati blok bersebelahan, tiba-tiba telinganya sekali lagi menangkap bunyi tangisan tadi. Kali ini bunyinya agak kuat dan lebih mendayu. Azmi kaget, langkahnya serta merta terhenti.

Azmi amati bunyi tangisan tersebut, sah datangnya dari blok di sebelahnya. Tangisan siapa pula itu? Bisiknya dalam hati. Perasaannya mula bercampur baur. Baru sebentar tadi dia memujuk seorang wanita yang ada masalah rumah tangga, kini timbul pula kes baharu.

Azmi melangkah ke arah blok tersebut. Sambil memasang telinga matanya turut liar meninjau ke kiri dan kanan untuk mencari dari mana arahnya bunyi tangisan tersebut. Dia menyuluh kawasan sekeliling, namun tidak kelihatan sesiapa di situ.


Suara tangisan dan sendu sendan yang begitu galak tadi sudah tidak kedengaran lagi, Azmi pelik! Seakan pemiliknya tahu dia berada di situ.

Sedang dia mundar mandir di kawasan parkir blok tersebut, Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi tangisan tersebut sekali lagi. Kali ini bunyinya cukup jelas seakan berada tidak jauh dari lokasinya ketika itu.

Tanpa berfikir panjang Azmi berlari menaiki anak tangga ke tingkat atas. Dia yakin suara tersebut datangnya dari arah itu. Dia periksa di tingkat satu, dua dan tiga namun tiada sesiapa di situ. Lantas dengan termengah-mengah dia menuju ke tingkat empat.

Dan sebaik sahaja dia meninjau di koridor, dia tergamam.


Dia nampak seorang wanita berpakaian serba putih dan berselendang hitam sedang duduk berjuntai kaki di tembok koridor berkenaan.

Jantung Azmi berdegup kencang. Tubuhnya tiba-tiba menggigil. Entah kenapa dia rasa seperti ingin terkencing, masakan tidak wanita yang dilihatnya ketika itu adalah sosok yang sama ditemuinya sebentar tadi. Wanita tersebut langsung tidak menoleh ke arahnya, namun nampak dia menghayunkan kaki berulang kali seperti sedia untuk terjun ke bawah.


Dan tiba-tiba wanita tersebut berhenti menangis sebelum mengilai panjang. Bunyinya cukup menyeramkan sehingga Azmi tidak mampu mengawal diri dan jatuh pengsan.

Berita Azmi di temui pengsan di blok kondominium tersebut menjadi bualan penduduk di situ. Namun Azmi tidak menceritakan apa yang terjadi, sebaliknya dia hanya beritahu yang dia pitam dan keletihan.


Namun rakannya Jasmi dapat meneka apa yang berlaku.

Aku tahu beb! Kau pengsan bukan sebab pitam atau letih, tapi mesti kau ada ternampak sesuatu kan? Tanya Jasmi ketika mereka keluar makan keesokkannya.

Azmi diam, matanya tepat memandang ke arah rakannya itu. Dia sendiri tidak sangka bagaimana Jasmi mampu meneka apa yang berlaku.


“Mesti kau ternampak lembaga wanita di blok itu kan? Tanya Jasmi lagi inginkan kepastian.
“Errr, macam mana kau tahu beb? Tanya Azmi kembali.

Jasmi terus buka cerita. Katanya, sudah ramai yang ‘terkena’. Wanita tersebut merupakan penghuni di blok tersebut dan merupakan mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya sendiri.

Dia meninggal dunia setelah ditolak oleh suaminya dari tingkat empat blok tersebut. Mayatnya ditemui oleh pengawal keselamatan sebelum ini yang meronda malam itu.


“Dengarnya suami wanita itu telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup,” kata Jasmi sambil meneguk minuman yang dipegangnya.

Azmi kelu seketika. Entah kenapa tiba-tiba bulu romanya meremang naik. Peristiwa tersebut benar-benar menghantui dirinya. Bagaimana dia ingin teruskan kerja sekarang ini, tambah pula dia perlu buat rondaan pada setiap malam. Adakah dia perlu tukar syif siang selepas ini?

Kisah ini telah disiarkan diakhbar Mingguan Malaysia pada 16 November 2025. Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!