
Oleh Roshihan Annuar Yub
Aku bukannya tidak suka pulang ke kampung melawat datuk dan nenek tetapi adakalanya hati berasa tidak tenteram. Aku tahu mereka cukup suka kalau aku dan adik-adik datang bermalam, malah pastinya nenek akan memasak pelbagai makanan kegemaran kami sepanjang berada di sana.
Namun yang jadi masalah utamanya adalah tandas dan bilik mandi yang terletak jauh di luar rumah. Kalau waktu malam memang gelap gelita, jika hendak buang air terpaksalah bawa lampu minyak tanah. Itulah yang buatkan aku sering berfikir dua kali untuk pulang ke kampung.

Namun pada cuti penggal kali ini nampaknya aku tidak boleh mengelak lagi. Terpaksa juga pulang ke kampung membawa dua adikku kerana ayah dan ibu ke tanah suci untuk menunaikan umrah.
Kali ini ayah benarkan aku bawa keretanya. Katanya, senang untuk aku bawa datuk dan nenek ke pekan jika ingin membeli barang harian nanti. Tak perlulah datuk bersusah payah menunggang motosikal pula.

Sehari selepas ibu dan ayah bertolak ke tanah suci, aku dan adik-adik terus pulang ke kampung.
Setibanya di sana kami disambut mesra oleh datuk dan nenek. Maklumlah, sudah hampir beberapa bulan juga kami tidak bersua muka.

Langkah kanan kamu balik ini Amar. Maklumlah sekarang ini musim durian. Malam nanti bolehlah kita cari durian dekat kebun belakang rumah,” kata datuk sambil membantu mengeluarkan barang-barang dari bonet kereta.
Aku tersengih. Bijak datuk mengumpanku. Mentang-mentanglah dia tahu aku ini hantu durian. Terus buatkan aku tak sabar untuk mengutip durian di kebunnya nanti.

Selesai makan malam, hujan pula mencurah-curah sambil diselangi ribut petir.
Datuk tersenyum memandangku. Katanya, bila ribut begitu pasti banyak durian yang gugur.
“Nanti bila hujan dah reda, bolehlah kamu kutip durian di belakang. Mesti banyak yang gugur tu,” kata datuk sambil menghirup kopi di cawan.

Aku hanya tersengih sambil mengangguk. Sesekali aku intai ke luar tingkap berharap agar hujan cepat berhenti.
“Cuba kau dengar tu, rasanya jenuh kau nak kutip nanti,” kata datuk sambil tertawa kecil.

Betul kata datuk. Walaupun hujan kuat menimpa atap rumah, namun telingaku masih mampu menangkap bunyi buah-buah durian yang gugur di belakang rumah. Tak sabar rasanya untuk menunggu hujan reda.
Hampir 15 minit kemudian barulah hujan berhenti. Aku dan datuk meninjau di pangkin belakang rumah. Terasa sejuk apabila angin malam menampar ke seluruh tubuh.
Datuk memberiku lampu suluh dan beritahu lokasi beberapa pokok yang perlu aku cari nanti.

Kau pergi dekat pokok tepi parit tu, biasanya pokok itulah yang paling banyak gugur,” kata datuk sambil mengelap tempias yang terkena di mukanya.
Aku angguk kepala sambil berlalu pergi. Perlahan-lahan aku redah semak setinggi betis sambil menyuluh sekeliling. Beberapa minit mencari akhirnya aku berjaya dapat beberapa biji durian yang gugur.

Baunya kuat menusuk hidung, tak sabar aku nak minta datuk kopekkan nanti, maklumlah buah yang baru gugur ini rasanya lebih sedap.
Beberapa kali juga aku berulang alik ke pangkin rumah mengumpul buah-buah yang berjaya dikutip.

Datuk yang menunggu di situ tertawa kecil melihatku. Nampak dia gembira apabila aku berjaya mencari buah-buah durian tersebut di dalam gelap.
“Kalau dah tak ada lagi tu tak payahlah cari Mar. Sambung esok saja, lagipun dah malam ini, takkan larat kamu nak makan semua malam ini,” kata datuk tertawa.

Aku tersengih dengar kata-kata datuk. Memang betul apa yang dikatakannya. Silap haribulan sebiji pun tak habis makan nanti, tambah pula adik-adik ku tidak berapa suka, paling banyak seulas dua sahaja mereka makan.
“Alang-alang dah cari ni biar cari betuk-betul tok. Rugi kalau ada yang tertinggal nanti,” jawabku sambil beredar ke belakang rumah.

Datuk tersenyum sambil menggelengkan kepala. Lantas dia mengumpul durian-durian yang telah ku bawa ke sudut dapur.
Aku menyuluh ke arah semak samun di sepanjang parit kecil belakang rumah. Sesekali aku kuak rimbunan lalang, kalau-kalau ada buah yang gugur di situ.

Dalam suasana pekat malam seperti itu mata haruslah tajam kerana bukan mudah untuk mencari di dalam gelap.
Sedang leka menyuluh, tiba-tiba telingaku menangkap satu bunyi aneh di atas kepalaku.
KROHHHH KROHHHH KROHHHH KROHHHH KROHHHH KROHHHH

Sepantas kilat aku halakan lampu suluh yang ku pegang sambil meninjau ke arah dahan-dahan yang berselirat di atas. Dan tiba-tiba aku tergamam.
Melalui cahaya lampu suluh yang ku pegang jelas kelihatan satu sosok berambut panjang sedang duduk berjuntai kaki di salah satu dahan yang ada di situ.

Matanya merah menyala seperti bola api sambil memandang tepat ke arahku. Aku kaget. Terasa kaki seakan terpasak di bumi. Serta merta tubuhku menggigil.
KROHHHH KROHHHH KROHHHH

Bunyinya cukup menyeramkan sehinggakan tanpa sengaja aku sudah terkencing dalam seluar. Dan tidak semena-mena sosok yang menakutkan itu tiba-tiba bingkas berdiri dan
HIIIIII HIIIIIIII
HIIIIIIIII…HIIIIII HIIIIIIII

Serta merta dia mengilai panjang dan terbang ke arah pohon berdekatan.
Dengan sedikit kekuatan yang ada aku terus menjerit dan berlari pulang.
Waktu itu aku sudah tidak hiraukan apa yang ada di depan mata malah beberapa kali juga aku nyaris tersungkur kerana tersadung akar pokok di situ.

Aku sampai ke rumah dengan tercungap. Datuk yang berada di pangkin memandangku dengan penuh tanda tanya.
“Kenapa kau termengah-mengah ni. Kena kejar dengan harimau ke? Tanya datuk kehairanan.

Perlahan-lahan aku hela nafas sebelum menceritakan apa yang berlaku. Terlopong mulut datuk dan nenek mendengarnya.
Adik-adikku yang tadinya sedang leka menonton televisyen serta merta bingkas bangun dan memaut lengan nenek.

Mungkin yang kau nampak pontianak agaknya, sebelum ini ada juga orang kampung pernah terjumpa di baroh tu, tapi tak sangka pula kau yang jumpa malam ini.”
“Dah, pergi basuh kaki lepas tu tidur, esok kita sambung cari lagi,” kata datuk cuba menenangkan keadaan.

Keesokannya datuk mengajak aku ke kebun belakang rumah untuk mencari saki baki durian yang gugur malam tadi.
“Siang-siang macam ini mana ada hantu Mar. Eh! Jadi anak lelaki kenalah kuat dan berani,” kata datuk sambil tertawa.
Aku tersenyum sambil mengekorinya. Betul! Aku kena kuat dan berani.
Kejadian tersebut hanyalah dugaan kecil. Bak kata datuk, mana ada orang mati kena cekik hantu!
