Oleh KHAIRIYAH HANAFI
“KETIKA kecil, keluarga terutamanya nenek melarang saya untuk bermain atau berada di luar rumah menjelang waktu senja.
“Kata nenek, kanak-kanak yang keluar pada waktu itu dikhuatiri akan hilang ‘disembunyikan’ oleh hantu yang banyak berkeliaran pada waktu tersebut,” jelas wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Amiza, 38 kepada kru Panorama.
Menurut anak jati Pahang ini lagi, biarpun ada sedikit perasaan tidak percaya menjentik diri, namun pesanan neneknya itu sedikit sebanyak membuatkan dia patuh dan mengelakkan diri daripada keluar rumah pada waktu-waktu tersebut.
Katanya, hantu itu dikenali sebagai Hantu Kopek.
Menurut kepercayaan masyarakat terdahulu, jelasnya, hantu tersebut kononnya wujud daripada kematian seorang wanita yang berdendam atas kehilangan anaknya.
Disebabkan dendam itu juga, wanita itu membunuh diri sebelum bertukar menjadi hantu dan berkeliaran pada waktu Maghrib bagi mencari kanak-kanak untuk disorok.

Biarpun begitu, apabila menginjak usia remaja, barulah saya tahu itu hanyalah mitos rekaan nenek moyang terdahulu semata-mata.
“Bagaimanapun, saya tahu pasti ada sebab tertentu mengapa pantang-larang tersebut direka dan sudah tentu ia adalah untuk kebaikan masyarakat,” jelasnya.
Ujarnya lagi, secara logik, senja adalah waktu penggantian siang dan malam. Justeru ia sepatutnya dimanfaatkan untuk berehat dan beribadah, selain mengulangkaji pelajaran untuk sesi persekolahan keesokannya.
“Percaya atau tidak, biarpun menjadi ibu di zaman serba moden, namun saya masih ‘menakutkan’ anak-anak dengan mitos itu.
“Bagi saya, itu merupakan salah satu cara untuk mendisiplinkan mereka supaya tidak keluar rumah pada waktu mahgrib,” ceritanya.
Biarpun ia hanyalah mitos semata-mata, namun siapa sangka, pantang-larang tersebut bukan sekadar menjadi momokan para ibu kepada anak-anak di Malaysia, bahkan turut berlaku di negara jiran iaitu Indonesia.
Bagaimanapun, ia mempunyai versi berbeza.
Bagi masyarakat Indonesia pula, hantu tersebut dikenali dengan gelaran Wewe Gombel. Ia dipercayai mempunyai perwatakan seperti seorang wanita dan mempunyai payudara besar yang tergantung pada tubuhnya.
Kanak-kanak yang diculik akan disorokkan di sebalik payudara hantu itu.
Menerusi seorang individu yang hanya dikenali sebagai Vyette, Wewe Gombel kononnya seorang wanita yang membunuh diri selepas membunuh suaminya sendiri.
Tindakan tersebut dilakukan oleh Wewe Gombel selepas mendapati suaminya itu curang bersama wanita lain. Puncanya, Wewe Gombel gagal memberikan zuriat kepada suami tercinta.
“Selepas membunuh diri, wanita itu kemudian bertukar menjadi hantu dan dikenali sebagai Wewe Gombel sehingga ke hari ini.
“Sasaran utamanya sudah tentu kanak-kanak disebabkan kematiannya juga berpunca daripada perasaan kecewa kerana mandul.
“Disebabkan peristiwa itu juga, apabila ada sahaja kes kanak-kanak hilang dilaporkan, orang-orang di sini percaya ia adalah angkara Wewe Gombel,” jelasnya.
Bercerita lanjut menurutnya, bagi segelintir masyarakat di Indonesia, kisah Wewe Gombel ini bukaan mitos rekaan semata-mata. Sebaliknya, sebahagian daripada mereka mempercayai ia benar-benar terjadi.
Pelbagai versi
Buktinya sekitar tahun 2007, seorang kanak-kanak di Medan, Indonesia pernah dilaporkan hilang tanpa jejak selepas bermain di tengah hutan pada malam hari.
“Keesokan harinya, keluarga dan jiran tetangga keluar beramai-ramai mencari kanak-kanak tersebut. Malangnya, kanak-kanak itu gagal ditemui sehingga seorang ustaz dipanggil melaungkan azan di sekitar hutan tersebut.
“Tidak lama selepas azan berkumandang, kanak-kanak itu dilaporkan keluar daripada semak-samun dalam keadaan kebingungan. Penduduk kemudian bersepakat kehilangan itu berkait rapat dengan Wewe Gombel,” jelasnya.
Bercerita lanjut menurut Vyette lagi, jika bercerita mengenai hantu, pastinya jarang mempunyai satu versi sahaja. Malah, sukar untuk mempercayai satu-satu mitos atau cerita hantu memandangkan ia mempunyai pelbagai versi dan hanya disebarkan dari mulut ke mulut sahaja.
“Ada versi yang mengatakan hantu itu akan memberikan kotoran kepada anak yang diculik.
“Ada juga yang mendakwa Wewe Gombel sebagai wira yang menyelamatkan kanak-kanak malang daripada menjadi mangsa penderaan ibu dan bapa. Pendek kata, bermacam-macam versi boleh didapati,” jelasnya.

Biarpun begitu, menurut seorang pakar kebudayaan di Universiti Indonesia, Risa Permanadeli, Wewe Gombel bukanlah hantu yang mengerikan seperti yang ‘disogokkan’ di media sosial.
“Kisah Wewe Gombel memang sangat rumit. Biarpun ramai yang mengaitkannya sebagai hantu jahat, namun Wewe Gombel sebenarnya merupakan simbol pemberi hidup untuk masyarakat terdahulu.
“Apa-apa pun, kisah-kisah ini bagus kerana mengandungi pesanan dan peringatan untuk semua manusia sejak nenek moyang terdahulu. Ia tidak akan menghilang biarpun untuk tempoh 100 tahun akan datang,” jelasnya.
Ilustrasi janaan AI
