MMToon

‘DITEGUR’ NENEK KEBAYAN KETIKA LEKA MEMANCING

Oleh RIZAM ZAKARIYA

AKTIVITI meredah hutan dan menyusuri sungai bukanlah satu perkara yang asing bagi sebahagian besar kaki pancing.

Bagi mereka yang gemar memburu spesies ikan sungai terutama di kawasan jeram, aktiviti menyusuri anak sungai merupakan satu perkara biasa.

Malah, ada antara mereka yang sanggup meredah dan bermalam dalam hutan semata-mata untuk mendapatkan hasil tangkapan lumayan.

Namun seperti diketahui, kawasan hutan bukan tempat tinggal haiwan semata-mata, sebaliknya ia turut didiami pelbagai makhluk ciptaan Allah SWT yang lain.

Perkara itu diakui oleh seorang kaki pancing tegar yang ingin dikenali sebagai Amran, 35, apabila dia pernah berhadapan dengan detik cemas bertemu dengan ‘nenek kebayan’.

Memulakan cerita, Amran yang berasal dari Pahang dan kini tinggal Ampang, Selangor berkata, kejadian kira-kira 10 tahun lalu itu berlaku ketika dia memancing bersama seorang rakan di kawasan jeram dalam hutan di Jerantut, Pahang.

Ketika itu, saya masih bekerja di Jerantut. Disebabkan terlalu gemar memancing, saya akan menggunakan masa hujung minggu untuk memburu ikan sungai.

“Kebiasaannya, saya akan pergi bersama beberapa orang rakan untuk mencari pelbagai spesies ikan sungai seperti kelah, tengas dan sebarau di kawasan berjeram,” katanya.

Cerita Amran lagi, ketika kejadian menyeramkan itu berlaku, dia sepatutnya masuk ke kawasan hutan berkenaan bersama empat rakannya.

Disebabkan dua rakannya menarik diri pada saat-saat akhir, maka dia mengambil keputusan untuk meneruskan perancangan yang telah dibuat bersama dua lagi kawan pemancing.

Setelah segala persiapan dilakukan, mereka menunggang motosikal secara berasing menuju ke ‘port’ memancing berkenaan.

“Sebelum ini, kami memang pernah memancing di kawasan tersebut dan pernah mendapat hasil tangkapan yang banyak.

“Disebabkan itu, pada trip berkenaan, kami membawa khemah dan makanan yang mencukupi kerana sudah merancang untuk bermalam di tebing sungai.

“Sebaik tiba di ‘port’ tersebut kira-kira pukul 11 pagi setelah meredah hutan selama dua jam, kami terus ke tebing sungai untuk memburu ikan tanpa sempat memasang khemah terlebih dahulu.

Seperti yang dijangka, dua jam pertama memancing di situ amat menyeronokkan apabila pelbagai spesies ikan sungai berjaya dinaikkan,” ujar Amran.

Jelasnya, disebabkan terlalu leka, dia tidak sedar telah menyusuri sungai sejauh kira-kira dua kilometer dari lokasi tapak perkhemahan mereka.

Ketika terpisah agak jauh dari dua rakannya, dia tiba di satu kawasan lubuk yang kelihatan seperti menjadi tempat persembunyian ikan bersaiz besar.

Sangkaannya benar, apabila dalam tempoh kurang dari lima seminit selepas melempar umpan ke permukaan sungai, dia berjaya menaikkan dua ekor ikan kelah bersaiz sederhana besar.

“Dalam keghairahan itu, saya terus meredah jeram di kawasan lubuk tersebut tanpa menghiraukan kedudukan rakan saya yang lain.

“Sebaik menghampiri kawasan berbatu besar, ketika itulah saya ternampak seakan seorang wanita berbaju putih dan bertongkat berada di tebing sungai bersebelahan sebatang pokok besar.

Ketika itu, ‘lembaga’ berkenaan yang berbadan bongkok dan berambut putih panjang dan mengurai merenung tajam ke arah saya dengan mata kemerahan.

“Lebih menakutkan, dia yang seakan-akan ‘nenek kebayan’ seperti mengarahkan saya agar beredar dari situ,” katanya.

Jelas Amran, tanpa berfikir panjang, dia terus melangkah laju meredah sungai untuk mendapatkan dua rakannya yang ketika itu masih leka memburu ikan.

Malah, dia mengarahkan dua rakannya menghentikan aktiviti memancing dan segera menuju ke lokasi tapak perkemahan sebelum mengambil semua barangan dan beredar dari lokasi tersebut.

Sebaik keluar dari kawasan hutan, dia menceritakan kepada dua rakannya mengenai kejadian menyeramkan yang menimpa dirinya.

Katanya, biarpun tiada kejadian aneh menimpa dirinya sebaik keluar dari kawasan sungai tersebut, namun dia sudah serik untuk ke kawasan ‘port’ memancing itu lagi.

Bagi melunaskan hobi memancingnya itu, Amran akan mencari kawasan sungai lain yang lebih ‘selamat’ untuk memburu ikan sungai.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!