Oleh RIZAM ZAKARIYA
TUGAS sebagai seorang pengurus jualan di sebuah syarikat rantaian barangan sukan terkemuka di negara ini bukanlah tugas yang mudah.
Sebagai seorang pengurus, Danial (bukan nama sebenar) sudah semestinya perlu memastikan
operasi di setiap rangkaian kedai milik syarikatnya berjalan dengan lancar.
Justeru itu, dia perlu kerap mengadakan kunjungan ke kedai-kedai milik syarikatnya itu yang terletak di hampir semua negeri untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan dan kakitangan kedai, selain menyelesaikan isu-isu berbangkit yang mungkin ada.
“Biasanya, saya akan ‘outstation’ selama tiga hingga empat hari di satu-satu negeri untuk berkunjung ke semua kedai milik syarikat yang ada.

Selain bertemu dengan kakitangan yang bertugas di kedai-kedai, saya juga akan melakukan tinjauan pasaran bagi tujuan penambahbaikan jualan di kedai kami.”
“Setiap kali ‘outstation’, sudah tentulah bilik hotel menjadi pilihan paling mudah untuk dijadikan
tempat berehat memandangkan saya kerap berseorangan,” katanya.
Menurut Danial lagi, sejak melakukan rutin tugasnya itu sepanjang lima tahun lalu, dia pernah
mengalami pengalaman yang menyeramkan ketika menginap di sebuah hotel di sebuah daerah di negeri Johor.
Kejadian itu berlaku ketika dia pulang ke bilik hotel selepas selesai menjalankan urusan kerjanya pada hari pertama berada di daerah itu.
“Pada malam pertama, saya pulang agak lewat iaitu kira-kira pukul 12.30 tengah malam selepas selesai menjamu selera.
“Selepas mandi untuk menyegarkan diri, saya berehat di atas katil sambil menonton televisyen sementara menunggu untuk tidur.
“Kira-kira setengah jam kemudian, saya terdengar suara wanita menjerit seolah-olah meminta tolong dari bilik sebelah.
“Disebabkan ingin mengetahui apa yang sedang berlaku, saya memberanikan diri untuk menjengok ke arah bilik berkenaan dari kawasan balkoni bilik saya.
“Apa yang menghairankan, bilik berkenaan kelihatan gelap dan tiada pula tanda-tanda ada penghuni di dalamnya,” katanya.
Mengesyaki suara jerikan tersebut mungkin hanyalah khayalannya yang ketika itu sudah terlalu mengantuk akibat keletihan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk terus tidur bagi merehatkan badannya.
Bagaimanapun kata Danial, pada malam kedua dia menginap di bilik hotel tersebut, sekali lagi dia terdengar suara jerikan yang sama seperti malam sebelumnya.
Akibat rasa tidak sedap hati, dia sekali lagi cuba untuk ke kawasan balkoni untuk mengjenguk ke dalam bilik sebelah.
Dalam keadaan cahaya yang samar-samar dan ditutup langsir yang tipis, dia melihat seolah-olah ada seorang wanita berdiri di atas pagar balkoni di sebuah bilik berhampiran dan terjun ke bawah.
“Terkejut dengan apa yang berlaku, saya cuba untuk menghubungi petugas di bahagian penyambut tetamu untuk memaklumkan kejadian tersebut.
Disebabkan panggilan tidak dijawab, saya bergegas turun ke lobi hotel untuk melaporkan apa yang saya saksikan sebelum itu.
“Apa yang menghairankan, petugas hotel di lobi berkenaan langsung tidak menunjukkan rasa cemas, sebaliknya membawa saya masuk ke ruang pejabat di tepi kaunter dengan serta-merta,” katanya.
Ketika di ruang pejabat itu katanya, dia telah diberitahu bahawa apa yang dilihatnya itu adalah perkara biasa yang pernah dilalui sebahagian pengunjung hotel berkenaan sebelum ini.
Cerita Danial, petugas hotel tersebut memberitahu, sebuah bilik yang terletak selang beberapa pintu dari bilik yang dihuninya itu dipercayai merupakan lokasi kejadian di mana seorang wanita telah membunuh diri selepas menjadi mangsa rogol pekerja binaan ketika hotel berkenaan masih dalam proses pembinaan dalam satu kejadian yang berlaku kira-kira 15 tahun lalu.
Katanya lagi, dia diberitahu, sejak kejadian tersebut, beberapa penghuni yang menyewa bilik berkenaan pernah diganggu dan akibat daripada itu, pihak pengurusan hotel mengambil keputusan untuk tidak lagi menyewakan bilik berkenaan dan beberapa bilik di sekitarnya turut terus dibiarkan kosong dan tidak disewakan.
“Kata petugas hotel berkenaan, kejadian yang seperti saya alami itu jarang berlaku dan ia hanya akan terjadi sekali sekala sahaja dalam setahun.
“Malah, pihak hotel turut memulangkan semula wang sewaan kepada penghuni yang mengalami kejadian tersebut, selain turut menawarkan bilik lain sebagai ganti.
“Sejak daripada kejadian itu, saya tidak lagi menjadikan hotel tersebut sebagai penginapan setiap kali ‘outstation’ ke daerah berkenaan bagi mengelak terpaksa berhadapan dengan kejadian sama sekali lagi,” jelasnya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 5 November 2023. Imej janaan AI.
