MMToon

KELIBAT HANTU ASKAR JEPUN BERKAWAL TANPA KEPALA

BERTUGAS sebagai pengawal keselamatan di beberapa buah tempat sejak lebih sedekad yang lalu membuatkan Zarul (bukan nama sebenar) sudah lali dengan kisah-kisah seram dan menakutkan. Lelaki berusia 40 tahun itu telah melihat pelbagai penampakan makhluk ghaib dengan wajah menyeramkan terutama ketika bertugas pada waktu malam.

Namun, dia menguatkan semangat menghadapi pelbagai dugaan itu demi mencari rezeki untuk keluarga. Menurutnya, pengalaman yang tidak dapat dia lupakan ialah ketika bertugas di sebuah institusi pendidikan di ibu negara.

Hampir setiap malam saya dan seorang rakan setugas diganggu oleh hantu askar Jepun serta mendengar jeritan orang meminta tolong yang mana seolah-olah sedang diseksa dengan sangat teruk.”

Bayangkan pukul 4 pagi saya melihat kelibat askar Jepun sedang berkawad dan tidak kurang juga yang datang dalam keadaan tanpa kepala,” cerita bapa kepada lima orang cahaya mata itu.

Tambahnya, bukan dia seorang sahaja diganggu tetapi perkara itu turut menghantui pelajar sehingga ada yang mengalami histeria. Setelah diselidiki, rupa-rupanya tempat itu pernah menjadi kem tentera Jepun pada era Perang Dunia Kedua dahulu.

Ramai tentera British dan penduduk tempatan yang telah diseksa dengan kejam hingga mati di situ sehingga menjadikan tempat itu ‘keras’.

“Pada awalnya saya berasa tidak tahan kerana sering diganggu dan berniat untuk berhenti kerja tetapi cuba bertahan demi menyara keluarga. Saya bersyukur makhluk halus itu tidak mengganggu keluarga dan ia hanya berlaku di tempat kerja sahaja,” tutur lelaki kelahiran Pantai Timur itu.

Zarul memberitahu, dia pernah mendengar jeritan wanita meminta tolong pada pukul 2 pagi dan cuba menjejaki suara tersebut sehingga membawanya ke sebuah pokok besar yang sangat menyeramkan. Setelah sampai di lokasi tersebut, Zarul menyedari bahawa suara itu adalah daripada makhluk ghaib yang berkeliaran di situ dan bergegas pulang ke pondok pengawal.

“Syaitan suka melihat kita ketakutan dan dengan cara itu ia mudah mengawal perasaan manusia sehingga berlakunya histeria. Oleh itu, sangat penting untuk kita mengawal rasa takut dan sentiasa mengingati Allah SWT yang maha berkuasa ke atas semua makhluk,” ulasnya anak sulung daripada tujuh beradik itu.

Sementara itu, seorang pelajar yang pernah mengalami histeria menceritakan bahawa fikirannya menjadi kosong dan dia tidak dapat mengawal tubuhnya sendiri.

Saya berasa pening dan mendengar bisikan suara-suara aneh yang terus bermain di dalam kepala.”

“Selepas itu saya tidak sedar apa yang berlaku dan terbangun melihat sudah berada di atas katil dengan kawan-kawan berada di sisi,” katanya sambil memberitahu kejadian itu berlaku ketika dia cuba menegur seorang wanita yang tiba-tiba bertukar wajah menjadi sangat hodoh.

Rakannya memberitahu, suara pelajar tersebut berubah menjadi garau dan menyeramkan ketika cuba menenangkannya.

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad • Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!