MMToon

DIINTAI PENUNGGU BANGUNAN LAMA DARI TINGKAP

Oleh ISWAN SHAFIQ ISA

MALAM itu, kira-kira 12 tahun yang lalu, Azman (bukan nama sebenar) memilih untuk pulang bekerja lebih awal daripada biasa kerana tidak sihat.

Selepas meminta izin daripada majikannya, pemuda yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan itu terus bergegas untuk pulang ke rumahnya yang terletak kira-kira 7 kilometer (km) dari pekan Bukit Mertajam di Seberang Perai, Pulau Pinang.

Ketika itu, jam di tangannya baru sahaja menunjukkan pukul 10 malam dan rata-rata kedai terutamanya yang menjual makanan masih ‘galak’ beroperasi.

Dalam perjalanan pulang, seperti biasa, Azman akan melayani selekoh semasa menuruni jejambat berhampiran sebuah bangunan lama yang terbiar di Jalan Maju di situ sambil memulas pendikit minyak motosikal Honda EX5 miliknya dengan gaya pelumba kelahiran Itali, Valentino Rossi.

Bagaimanapun, malam itu dirasakan agak berbeza keadaannya apabila motosikal tersebut seperti agak berat untuk bergerak walaupun hanya perlu menuruni jejambat yang agak sunyi.

Secara tiba-tiba juga, enjin motosikalnya mati di tengah jalan sehingga memaksa Azman berhenti secara mengejut di bahu jalan pada waktu itu.

Ah, sudah. Takkan rosak pula motor aku ni. Baru servis enjin semalam,” getus Azman seperti berbisik kepada dirinya sendiri.

Ketika dia turun daripada motosikal untuk melihat keadaan satu-satunya jentera yang dimilikinya ketika itu, entah mengapa pada masa yang sama dia berasakan seolah-olah ada mata yang sedang memandangnya dengan penuh ‘minat’.

Serentak dengan itu juga, bulu romanya tiba-tiba berdiri dan pandangan matanya tertancap ke arah kiri iaitu salah satu tingkap bangunan lama itu iaitu sebuah pasar raya lama yang terbiar di kawasan berkenaan.

Walaupun dalam keadaan samar-samar, Azman dapat melihat ada satu lembaga berpakaian putih di sebalik tingkap bangunan lama itu sedang merenungnya dengan tajam sebelum menghilangkan diri.

Secara kebetulan juga, terdengar bunyi jeritan dan hilaian yang bersilih ganti dan enjin motosikalnya yang mati secara tiba-tiba tadi ‘hidup’ semula.

Tanpa membuang masa, Azman terus meninggalkan lokasi kejadian dan susulan kejadian itu juga, dia dikatakan mengalami demam mengejut sebelum keadaannya kembali pulih seperti biasa beberapa hari kemudian.

Kisah Azman diceritakan oleh seorang penduduk setempat yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Tam yang mendakwa pernah juga mengalami nasib yang hampir sama seperti pemuda itu.

Menurut Pak Tam, pasar raya setinggi enam tingkat yang pernah dikenali dengan beberapa nama itu beroperasi sekitar tahun 1980-an sebelum ditutup pada awal tahun 2000.

Katanya, ada yang mendakwa bangunan itu terpaksa ditutup kerana tidak lagi selamat untuk dihuni akibat kejadian tanah mendap dan ada juga yang mendakwa pemiliknya telah muflis sehingga terpaksa menukar nama pasar raya itu beberapa kali sehingga operasinya ditamatkan.

“Apapun dakwaan, pasar raya ini pernah menjadi lokasi tumpuan penduduk di sini walaupun ia tidak sehebat atau segah beberapa pasar raya lain di Bukit Mertajam pada masa itu,” katanya.

Ujar beliau, populariti pasar raya berkenaan sebagai salah satu daripada lokasi mistik sejak ia dikosongkan juga telah menarik minat pengkaji paranormal untuk bereksperimen di situ.

Katanya, selain dakwaan terdapat suara mengilai atau jeritan kesakitan yang kedengaran dari bangunan lama itu, ada juga yang mendakwa terdapat kejadian bunuh diri serta rogol dan bunuh, namun, mangsa didakwa tidak dijumpai hingga ke hari ini.

Dakwaan lain katanya, kawasan itu juga dikatakan pernah menjadi lokasi ‘mat pit’ melepaskan gian masing-masing, namun, ia tidak lama apabila mereka telah dihalau oleh penduduk setempat yang terserempak kejadian itu sebelum ini.

Selaku orang tempatan, saya tahu ada cerita-cerita ini yang sengaja ditokok-tambah untuk menarik perhatian orang ramai.

“Bagaimanapun, ada juga cerita yang jika difikirkan secara logik, memang tidak mustahil pernah berlaku di situ,” katanya yang bagaimanapun menolak untuk bercerita dengan lebih lanjut.

Jelas Pak Tam, dia juga ada berbual dengan beberapa orang pemburu paranormal itu dan mereka mengakui bahawa hasil tinjauan di situ mendapati tempat itu sememangnya agak keras.

Dalam hal ini, saya sebenarnya seorang yang agak rasional dan tidak begitu mudah untuk mempercayai perkara yang karut-marut.

“Bagaimanapun, saya tidak akan menafikan jika benar terdapat makhluk lain yang menjadi penunggu di situ. Yang penting, kita tidak boleh sekali-kali menyekutukan Allah dan wajib percaya bahawa tidak ada kuasa lain yang boleh mengatasi kekuasaan Allah,” ujarnya.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Mingguan Malaysia. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2025, MMTOON
Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)

error: Content is protected !!