MMToon

PEMBANTU RUMAH PELIK, AMAL ILMU HITAM

PENGALAMAN berdepan dengan sikap pembantu rumah yang pelik menjadikan Anis (bukan nama sebenar) serik untuk mendapatkan khidmat golongan tersebut.

Biarpun mengakui penat menguruskan rumah sebagai seorang wanita bekerjaya, namun dia agak gusar mahu membenarkan orang luar menghuni rumahnya lagi.

Ia selepas dia berdepan pengalaman menakutkan bersama bekas pembantu rumahnya.

Anis dan suaminya, Bahar merupakan pegawai atasan di dua buah syarikat swasta berbeza di ibu kota.

Sebelum ini, mereka mampu menguruskan rumah tangga tanpa bantuan pembantu rumah, namun selepas dinaikkan pangkat dan beban kerja bertambah, Anis mula menggunakan khidmat pembantu rumah.

“Selepas melahirkan anak ketiga, saya memberitahu suami bahawa saya memerlukan pembantu rumah untuk menguruskan rumah, sekali gus menjaga anak-anak semasa saya bekerja.

“Suami pun terus menguruskan pengambilan pembantu rumah yang kami panggil Suria (bukan nama sebenar),” katanya.

Suria merupakan seorang wanita berusia pertengahan 30-an yang berasal dari negara jiran.

Tutur katanya yang lembut dengan kebolehannya menjaga anak kedua mereka yang agak buas membuatkan Anis amat menyukai Suria.

Malah, Anis senang mengambil wanita bertubuh kurus itu bekerja dengannya.

Tidak lama kemudian, kejadian-kejadian aneh mula berlaku di kondominium mewah milik Anis, menyebabkan wanita itu mulai curiga dengan Suria.

“Sebelum ini, kami tidak pernah mengalami kejadian-kejadian aneh di rumah seperti bunyi orang bercakap pada tengah malam atau pun bunyi tapak kaki di rumah ini.

Namun, beberapa bulan selepas Suria mula bekerja dengan saya, kami sekeluarga sering mendengar bunyi-bunyi sedemikian, menyebabkan saya tidak sedap hati.”

“Saya tidak mahu menuduh Suria memandangkana tiada bukti dan dia bersikap baik sahaja dengan saya,” kata Anis.

Bagaimanapun , bunyi-bunyi itu semakin kerap kedengaran sehingga menyebabkan Anis tidak boleh tidur.

Malah, anak bongsu Anis juga pernah tiba-tiba menangis dengan kuat pada tengah malam, seolah-olah ternampak sesuatu yang menakutkan.

“Apabila ditanya tentang perkara itu kepada Suria, dia hanya tersenyum sinis dan berkata, itu cuma perasaan saya sahaja.

Saya semakin tidak sedap hati dan mengajak suami mengaji selepas solat maghrib bagi menghilangkan rasa takut,” kata Anis.

Pada satu hari, kegiatan pelik Suria akhirnya terbongkar selepas Anis terlihat dia duduk berseorangan dalam gelap sambil membaca mantera aneh.

“Ketika itu, kami sekeluarga mahu ke rumah bapa saya untuk sambutan ulang tahun kelahirannya.

“Namun, selepas sampai ke tempat parkir kereta, saya menyadari tertinggal hadiah yang sepatutnya diberi kepada bapa. Lalu, saya berpatah semula ke rumah untuk mengambilnya.

“Saya terkejut apabila mendapati rumah berada dalam keadaan gelap kerana Suria telah menutup semua langsir rumah, sekali gus menjadikan rumah dalam keadaan tidak selesa.

“Saya terus masuk ke biliknya kerana mahu memarahi Suria. Saya terkejut apabila melihat dia sedang duduk bersila dalam gelap sambil mulutnya membaca mantera tidak fahami,” kata Anis.

Anis terus menghalau Suria dari rumahnya dan menceritakan perkara itu kepada keluarganya.

Salah seorang kenalan bapanya yang juga merupakan seorang ustaz kemudian memberitahu, Suria mengamalkan ilmu hitam.

Ujar ustaz itu, kejadian aneh yang berlaku di rumah Anis ada kena mengena dengan perbuatan Suria.

Anis berasa lega kerana mendapat tahu tentang perkara itu, sebelum banyak lagi perkara buruk berlaku dalam rumahnya.

Buat masa ini, Anis masih trauma dan enggan mengambil pembantu rumah baharu sehingga dia kembali bersedia.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!