MMToon

KELIBAT LEMBAGA HITAM MELINTAS DI HOTEL

Oleh FADILA AWALUDIN

PERCUTIAN yang sepatutnya menjadi momen menenangkan bertukar menjadi pengalaman menyeramkan bagi wanita berusia 35 tahun dan mahu dikenali sebagai Sofia.

Kejadian yang dikatakan berlaku di sebuah hotel popular dan terkemuka di Singapura 10 tahun lalu masih segar dalam ingatan.

 

Atas urusan kerja, Sofia menghabiskan masa selama tiga hari dua malam di hotel tersebut yang awalnya disangkakan akan menjadi detik bermakna kerana berpeluang mengembara ke negara orang.

Menginap di bilik hotel tingkat 20, pada awalnya Sofia tidak menemukan hal janggal kerana keadaan bilik sangat kemas dan teratur.

 

“Sebaik saja masuk ke dalam bilik saya terus mengemas barang dan masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Dari dalam bilik, saya mendengar seperti ada suara orang sedang bercakap di luar.

“Saya agak gementar dan perlahan-lahan membuka pintu dan melihat televisyen sedang menyala. Jadi saya fikir mungkin suara itu dari televisyen, namun apabila difikir semula sebelum masuk ke dalam tandas, saya tidak membuka televisyen atau menyentuh apa sahaja barangan elektrik kecuali penyaman udara,” katanya membuka bicara kepada CitaRasa.

 

Sofia tidak terlalu memikirkan hal itu lagi kerana beranggan televisyen di bilik hotel tersebut akan menyala secara automatik sebaiknya sahaja ada penghuni.

 

Kemudian Sofia membuat keputusan untuk keluar makan tengah hari dan memilih untuk menutup langsir di bilik kerana yakin bahawa akan pulang lewat malam.

Saya yakin langgir bilik telah ditutup sebelum saya keluar, tetapi apabila pulang saya dapati langsir tersebut buka dan berada pada kedudukan asal.

 

“Perkara itu memang mengganggu fikiran, tetapi saya tidak terlalu memikirkannya kerana berasa penat dan terus saja membersihkan diri dan bersiap untuk tidur.

 

“Tetapi saya sekali lagi terganggu dengan bunyi pancuran dalam bilik air yang saya fikir ada paip bocor. Kemudian apabila diperiksa, tiada apa-apa berlaku dan semuanya baik-baik saja,” ujarnya.

Tanpa memikirkan sebarang hal aneh, Sofia menyambung semula tidur dan sekali lagi terkejut pada keesokkan hari, apabila ada surat aduan dimasukkan di bawah pintu biliknya oleh pihak hotel.

 

“Dalam surat itu mengatakan bilik saya terlalu bising seperti sedang mengadakan pesta sehingga mengganggu penghuni bilik berhampiran.

“Disebabkan tersinggung dengan tuduhan itu saya bertanya kepada pihak hotel dan mereka mengadakan ada aduan daripada penghuni tingkat bawah yang mengadu bunyi hentakan dan jeritan kuat sehingga mereka tidak dapat tidur.

 

“Saya menafikan perkara itu kerana mustahil perkara tersebut berlaku kepada saya sendiri pulang agak lewat malam dan sendirian di bilik,” ujarnya.

Kakitangan hotel kemudian memohon maaf atas kesalahan yang berlaku, manakala Sofia meneruskan aktivitinya dan pulah semula ke bilik pada lewat malam.

 

Disebabkan itu adalah malam terakhir dia menginap di hotel mewah tersebut, Sofia mengambil keputusan untuk berehat seketika di katil sambil menonton filem kegemarannya iaitu The Devil Wears Prada yang sedang ditayangkan di televisyen.

Sedang asyik menonton, tiba-tiba Sofia terdengar seperti ada suara derap kaki seperti orang sedang berlari pantas di koridor hotel.

 

Kemudian dia terkejut apabila mendapati ada lembaga hitam yang menyerupai fizikal lelaki tinggi berlari dari arah pintu bilik terus ke tingkap, melintas di hadapan televisyen.

“Pintu bilik dan tingkap berada pada kedudukan selari, jadi ketika kejadian itu berlaku dengan jelas saya melihat lembaga hitam itu berlari dari pintu terus menembusi tingkap tingkat 20.

 

“Memang saya rasa gementar dan terus bersembunyi di dalam selimut sehingga tertidur. Keesokannya saya terus mengemaskan barangan untuk pulang semula ke tanah air,” katanya.

Walaupun berdepan dengan pengalaman seram, namun Sofia tetap kembali ke negara tersebut untuk bercuti, namun enggan menginap di hotel yang sama lagi.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!