
Oleh FADILA AWALUDIN
PENGALAMAN diganggu makhluk halus bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat kita, namun bagi Anisah Ali, ia menjadi detik paling menyeramkan dalam hidupnya.
Segalanya bermula apabila dia berumah tangga dan berpindah di kediaman baharu di Utara tanah air.

Pada awalnya suasana kelihatan normal, namun lama kelamaan muncul tanda-tanda aneh sehingga mengubah kediaman yang sepatutnya menjadi tempat selamat berubah menjadi medan ketakutan.
Kata wanita berusia 39 tahun itu, gangguan bermula selepas dua minggu menghuni kediaman tersebut apabila muncul lembaga hitam yang menyerupai fizikal manusia dewasa apabila tinggal seorang diri.
“Sesekali lembaga itu kelihatan seperti bayangan besar dengan mata merah menyala, tetapi ada juga dia menampakkan diri dalam fizikal manusia.

“Lebih parah apabila ia muncul menyerupai suami apabila saya lihat dia tidak bergerak dan hanya berdiri melihat ke arah luar tingkap.
“Saya memanggil namanya, tetapi tidak berjawab kemudian saya abaikan dan terus ke ruang tamu. Kemudian saya terkejut apabila melihat suami saya masuk ke dalam rumah dari pintu depan dan apabila melihat semula ke dapur bayangan itu hilang,” katanya kepada CitaRasa.

Lembaga hitam itu dikatakan sering muncul ketika Anisah duduk bersendirian di rumah atau di dalam bilik tidur.
Gangguan itu tidak terhenti di situ apabila dia juga sering mendengar bunyi aneh seolah-olah guli atau batu bergolek di atas bumbung terutama pada waktu malam.

Kadangkala bunyi itu mengganggu sehingga membuatkan Anisah terjaga dan kerap terbangun hampir setiap malam. Lebih mengerikan, dia sering terbangun sekitar pukul 3 pagi dan mendengar suara bising di dapur seperti ada orang sedang memasak atau mengalihkan pinggan mangkuk.
Namun, setiap kali diperiksa dapur kelihatan seperti biasa tanpa sebarang tanda ada kehadiran sesiapa.

“Di rumah teres satu tingkat itu hanya ada saya dan suami sahaja manakala kami tiada pembantu rumah. Apabila kejadian itu berlaku, saya selalu kejutkan suami untuk memeriksa.
“Setelah diperiksa tiada perubahan atau perkara melihat perkara aneh dan selalunya selepas itu kami akan sambung tidur.
“Tetapi disebabkan kejadian itu kerap berlaku dan berlanjutan jadi kami seperti sudah terbiasa dan menganggap itu perkara biasa,” ujarnya.

Biarpun masih mampu bersabar dengan gangguan itu, kesabaran Anisah akhirnya memuncak apabila kucing peliharaannya bernama Deny mati secara tiba-tiba.
Kata Anisah kucing malang itu kelihatan sihat tanpa sebarang tanda sakit ditemui terbaring kaku dengan keadaan mulut berdarah.
“Setelah kematian Deny saya tak anggap gangguan ini perkara biasa. Keluarga juga mendesak agar saya dan suami ikhtiar mendapat rawatan tradisional Islam.

“Selepas hampir empat bulan berubat, syukur tiada lagi gangguan bunyi apatah lagi kemunculan lembaga hitam atau apa-apa sahaja gangguan mistik berlaku,” katanya.
Selepas hampir beberapa bulan berdepan kejadian sukar, Anisah bersyukur keadaan rumahnya berjaya dipulihkan. Dalam keadaan bersyukur itu, Anisah bagaimanapun berasa terkilan kerana kejadian mistik itu berlaku dipercayai disebabkan perbuatan sihir.

Enggan mengambil pusing tentang identiti pihak yang tidak berhati perut itu, Anisah dan suami hanya meneruskan aktiviti harian seperti biasa meskipun hatinya masih berasa pilu setelah kehilangan kucing kesayangan.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Imej janaan AI.
