MMToon

DIGANGGU SUARA PELIK KETIKA STAYCATION

BULU roma Ana (bukan nama sebenar) pasti meremang setiap kali teringat kan peristiwa menginap seorang diri di sebuah hotel terkemuka di ibu kota itu biarpun perkara tersebut sudah dua tahun berlalu.

Pengalaman diganggu dengan jelmaan seorang wanita cantik di dalam bilik hotelnya itu benar-benar membuatkan dia terkejut sehinggakan Ana nekad tidak akan sesekali menginap sendirian di mana-mana hotel lagi.

Membuka cerita, Ana berkata dia membuat keputusan untuk staycation di dalam ibu kota sahaja secara solo atas alasan mahu ‘lari’ seketika daripada kesibukan kerja.

Saya mahu menginap di hotel berdekatan sahaja kerana mahu suasana yang sedikit berbeza, tanpa perlu berbelanja besar untuk menaiki pesawat dan sebagainya.

“Justeru, saya memilih untuk menginap di sebuah hotel terkemuka, yang kebetulan pula sedang mengadakan harga promosi pada ketika itu,” ujarnya.

Selesai mengemas semua barang-barangnya, Ana memandu sekitar 15 minit ke hotel tersebut dan mendaftar masuk.

Suasana bilik yang cozy dan menenangkan itu cukup sesuai untuk Ana yang datang ke situ hanya untuk merehatkan diri.
Namun, ketika dia mahu mandi air panas di hotel tersebut, Ana terkejut apabila lampu bilik air itu mulai berkelip selama kira-kira hampir lima minit, menyebabkan dia mulai terasa tidak sedap hati.

“Saya mulai rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena dan terus menghubungi bahagian lobi hotel untuk bertanyakan tentang hal itu.

“Selepas diperiksa oleh salah seorang petugas hotel, tiada apa-apa yang mencurigakan dan sejurus selepas itu, lampu tersebut kembali beroperasi seperti biasa, menyebabkan saya berasa lega,” ujar Ana.

Mengakui dirinya merupakan seorang yang agak penakut, Ana berkata masalah lampu berkelip yang tiba-tiba berlaku itu menyebabkan dia tidak sedap hati.

Malah, ini juga merupakan pengalaman pertamanya menginap seorang diri di sebuah bilik hotel, menyebabkan fikiran gadis itu cepat berasa terganggu.

Ana mulai memasang televisyen bagi memecah kesunyian bilik dan sambil-sambil itu, dia membuat panggilan video kepada keluarganya di kampung.

Ketika rancak berbual dan bergelak ketawa bersama adik perempuannya menerusi panggilan video itu, Ana terdengar suara seorang wanita yang turut sama tertawa bersamanya.

“Saya bertanya kepada adik, suara siapakah itu dan adik berkata dia langsung tidak mendengar suara lain selain suara kami berdua.

“Ketika itu, jantung saya sudah berdegup kencang kerana saya yakin ada mendengar suara perempuan lain,” ujarnya.
Ana segera menamatkan panggilan dan cuba untuk tidur.

Namun, memandangkan perutnya sudah mulai terasa lapar, dia kemudian membuat pesanan makanan ke bilik.
Ketika menunggu makanannya tiba, Ana sekali lagi terdengar suara perempuan, namun kali ini suara itu seolah-olah sedang berbisik.

Dia bagaimanapun tidak dapat menangkap kata-kata perempuan itu kerana pertuturannya yang kurang jelas.

“Pada ketika itu juga, suasana bilik entah mengapa berasa semakin seram, menyebabkan saya semakin gelisah dan hanya terfikir untuk pulang,” ujar Ana.

Ana kemudian sekali lagi menghubungi bahagian reception hotel dan memberitahu tentang perkara tersebut.

Pihak hotel bersetuju untuk menukarkan bilik hotel Ana namun gadis itu nekad untuk terus pulang dan membatalkan sahaja niatnya untuk terus menginap di situ.

“Saya terlalu takut memandangkan ini kali pertama saya menginap seorang diri di dalam sebuah hotel yang cukup besar.

“Namun, memandangkan hotel itu merupakan sebuah hotel lama, maka ia mungkin sebenarnya memang berhantu, menyebabkan saya diganggu,” ujarnya.

Peristiwa tersebut cukup terkesan di mindanya, menyebabkan Ana tidak lagi mahu tinggal di hotel bersendirian.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad bertarikh 4 Jun 2023. Imej janaan AI.

 

 

 

 

 

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!