
Oleh FADILA AWALUDIN
BERPELUANG pulang ke kampung menyambut lebaran pastinya saat paling dinantikan terutama buat mereka yang berada di perantauan.
Begitu juga dengan Sufian Halim, 42, yang bekerja di Kuala Lumpur sebagai akauntan di sebuah syarikat insurans terkemuka.

Mengenang kenangan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada dua tahun lalu, Sufian berkata, itu merupakan pengalaman pertama melihat sendiri lembaga hitam yang menyeramkan di depan mata.
Cerita bermula apabila dia ingin pulang menyambut Syawal di kediaman orang tuanya di Skudai, Johor. Disebabkan bebanan kerja, Sufian terpaksa memandu pulang pada malam raya sendirian.

“Jalan agak sesak sehinggakan perjalanan yang biasanya sekitar empat jam berubah menjadi dua kali ganda. Biarpun balik pada lewat malam tidak jadi masalah kerana saya sudah biasa, cuma tidak pada waktu 3 pagi.
“Begitu juga ketika dalam perjalanan pulang ke kampung, tiada apa yang berbeza atau aneh sehinggalah ingin berhenti di hentian rehat dan rawat (R&R)

“Waktu itu lebih kurang pukul 3 pagi, saya memang berasa tidak tahan untuk melepaskan ‘hajat’ jadi terpaksa juga berhenti di R&R kerana masih berbaki dua jam perjalanan,” katanya kepada CitaRasa.
Ujar Sufian, tandas di kawasan hentian itu berada sedikit jauh daripada premis kedai makan, selain banyak premis juga tidak menjalankan operasi pada waktu sebegitu.

“Awalnya saya agak takut, tetapi disebabkan tidak tahan ke tandas saya beranikan diri juga. Bukan kerana bimbang bertemu makhluk halus, tetapi ketika itu saya risau tentang keselamatan dan binatang seperti ular atau monyet.
“Waktu itu tidak ramai orang yang berhenti dan hanya ada beberapa biji kereta saja diletakkan berhampiran kawasan tandas. Awalnya saya ada kelihatan beberapa orang keluar masuk tandas sehingga tiba-tiba rasa hening.

“Kemudian saya terdengar suara seperti orang berbual, jadi saya tidak rasa terlalu sunyi ketika berada di dalam tandas. Sebaik saja keluar dari tandas, saya ada melihat dua lelaki sedang berdiri kaku berhampiran dengan singki. Mereka hanya berdiri dan tidak berbual antara satu sama lain,” katanya.
Sebelum Sufian meninggalkan dua lelaki itu, matanya sempat menjeling ke arah mereka untuk mengetahui apa yang ditenungkan, tetapi Sufian pula yang terkejut kerana dua lelaki itu secara serentak merenung ke arahnya tanpa berkata apa-apa.

“Waktu itu saya melihat mereka merenung ke arah cermin singki, tetapi bila saya ingin keluar daripada tandas mereka berdua menggerakkan kepada perlahan-lahan dan merenung saya. Agak menyeramkan kerana siapa saja yang akan buat begitu.
“Disebabkan berasa takut, saya mempercepatkan langkah untuk ke kereta. Tetapi alangkah terkejutnya apabila saya mendapati kunci kereta tiada dalam poket seluar. Saya memang gelabah masa itu dan mula teringat kunci kereta itu saya tertinggal bersama dompet di dalam tandas.

“Saya bergegas ke tandas yang digunakan tadi, tetapi tidak jumpa dompet dan kunci sebelum saya cuba mencari pekerja pembersihan yang mungkin ada melihat. Kemudian alangkah terkejutnya saya apabila mendapati dompet dan kunci kereta berada di singki tempat saya melihat dua lelaki tadi berdiri,” katanya.
Sufian terus mencapai barang peribadinya dan bergegas keluar sebelum tiba-tiba dia mendengar ada yang memanggil namanya.

“Saya toleh ke belakang kerana mendengar seperti ada yang memanggil. Tetapi alangkah terkejut apabila melihat ada lembaga hitam dengan rambut yang panjang bertenggek di atas pintu tandas yang saya gunakan tadi.
“Dengan sekilas pandang saya masih ingat wajah lembaga itu sangat bengis, mata kemerahan dan mempunyai dua taring. Saya takut dan terus berlari ke arah kereta dan cepat-cepat tinggalkan hentian itu.

“Sejujurnya itulah pertama kali saya berdepan dengan peristiwa mistik dan melihat makhluk menakutkan itu. Dalam kereta saya pasang bacaan al-Quran sehingga sampai rumah. Raya saya pada tahun itu juga tidak menyeronokkan kerana hampir seminggu saya demam disebabkan terkejut,” katanya.
Sebaik saja pulang ke Kuala Lumpur, Sufian cuba mencari beberapa kisah misteri yang berlaku di hentian rehat itu di internet dan terkejut apabila mendapati terdapat insiden menakutkan turut dikongsikan oleh beberapa mangsa di media sosial.
