MMToon

KERETA USANG DI PARKIR HOSPITAL


Oleh ROSHIHAN ANNUAR YUB

Sudah tiga malam berturut-turut Azim menemani ibunya di hospital. Ikutkan hati boleh sahaja dia pulang dan bermalam di hostel, tetapi timbul pula rasa kasihan di hatinya apabila melihatkan ibunya terlantar seorang diri di situ.

“Tak payahlah kau susah-susah temankan emak di sini, kau balik sajalah ke hostel, esok kan ada kelas,” kata ibunya Wan Idah sambil membetulkan bantal di kepalanya.

Azim hanya tersengih. Dia tahu ibunya cukup risau kalau dia ponteng kelas, tapi jauh di lubuk hatinya dia lebih pentingkan kesihatan ibunya berbanding pengajiannya ketika itu.

“Alah, emak tak payah risaulah. Esok saya cuma ada satu kelas, itu pun pukul 4 petang,” sambung Azim tersengih.

Wan Idah hanya mampu menggelengkan kepala. Faham benar dia dengan kelakuan anak sulungnya itu. Walaupun dikurniakan tiga anak, tetapi memang Azimlah yang paling rapat dengannya, manakala dua lagi anaknya yang lain masing-masing menuntut di IPTA di Kuala Lumpur dan Johor Baharu.

Suaminya pula ketika ini sedang berkursus di Pulau Pinang, jadi dia hanya berkesempatan datang melawat ketika hujung minggu sahaja. Wan Idah tidak kisah pun, dia tahu suaminya memang seorang yang sibuk, tambah pula sejak dinaikkan pangkat sebagai penyelia kanan di syarikatnya.

“Mak, saya mahu keluar sekejap nak beli minuman. Mak nak kirim apa-apa tak?, tanya Azim kepada ibunya.

Wan Idah sekadar tersenyum sambil menggelengkan kepala.

“Sudah lewat ini, emak ingat hendak tidur dululah. Kamu pergilah balik hostel, tak payah temankan emak malam ini. Kalau kamu hendak datang esok lepas habis kelas kamu singgahlah,” kata ibunya sambil memandang ke arah Azim yang sudah siap bangun dari kerusi.

“Okeylah mak, kalau macam itu saya balik dululah, esok lepas habis kelas saya datang semula,” kata Azim sambil mencium tangan ibunya sebelum berlalu pergi.

Azim menggosok kedua tapak tangannya sebaik keluar dari pintu utama hospital. Sejuk sangat rasanya malam itu. Dia toleh jam di tangan, sudah hampir pukul 12 tengah malam.

Hatinya tidaklah begitu risau sangat kerana ibunya sudah pun selesai buat pembedahan, malah doktor yang merawatnya juga beritahu ibunya dalam keadaan yang baik.

Perlahan-lahan dia melangkah menuju ke kawasan parkir motosikal di belakang bangunan. Matanya melilau liar melihat sekeliling, nampak sunyi tanpa ada kelibat manusia cuma sesekali kedengaran salakan anjing dari arah lorong berdekatan. Sedang matanya melilau memandang sekeliling, tiba-tiba matanya terpandang ke arah sebuah kereta yang berada di hujung parkir tidak jauh dari situ.

Lampu kereta tersebut terpasang malap seperti mahu kehabisan bateri. Pelik juga dia fikir kenapa pemandunya meletakkan kereta di situ. Sudahlah jauh dari hospital, terpencil pula malah kawasan tersebut juga agak bersemak samun seakan tidak terjaga.

“Eh, apa pula masalah kereta itu, entah-entah tak boleh start agaknya,” bisik Azim perlahan.

Azim mengecilkan mata untuk melihat dengan lebih jelas. Nampaknya di situ hanya terdapat tiga buah kenderaan sahaja. Dia lantas mengatur langkah laju menghampiri kereta tersebut kalau-kalau ada yang perlukan pertolongan.

Tidak sampai beberapa meter dia melangkah, tiba-tiba lampu kenderaan tersebut padam serta-merta. Azim tergamam. Hatinya mula berdetik.

“Eh, kenapa pula bila dia nampak aku lampunya terus dimatikan. Entah-entah ada orang nak buat benda tak baik agaknya,” katanya dalam hati.

Azim teruskan langkah. Hatinya tetap ingin tahu apa yang berlaku sebenarnya. Ketika otaknya ligat berfikir mencari jawapan, tiba-tiba lampu kereta tersebut terpasang sekali lagi.

Dia kembali percepatkan langkah. Dari jarak beberapa meter di hadapan dia dapat melihat kereta tersebut dengan jelas. Seluruh kenderaan itu nampak usang, catnya juga sudah luntur serta menampakkan kesan karat manakala cerminnya juga sudah tidak jelas kerana dipenuhi debu dan kotoran.

Dan sebaik sahaja dia berada di hadapan kenderaan tersebut, tiba-tiba hidungnya tercium bau yang amat busuk. Serta merta tekaknya terasa mual seperti hendak muntah. Matanya liar pandang di semak samun berdekatan kalau-kalau ada bangkai haiwan di situ.

Sudah beberapa kali Azim meludah ke tanah. Tidak pernah lagi dia mencium bau sebusuk itu. Tangannya terus ditekup ke hidung sambil matanya liar mengintai di sekeliling kereta tersebut.

ZRASSSS… ZRASSSS… ZRASSSS…

Azim tersentak. Telinganya menangkap satu bunyi aneh dari dalam kenderaan. Bunyi seakan orang sedang mencakar sesuatu.

Dia mengerutkan dahi.

Terus Azim buka lampu di telefon bimbitnya sambil mukanya dirapatkan ke cermin. Dia mengecilkan mata sambil tapak tangannya laju menyapu debu di cermin kenderaan tersebut.

Namun tiba-tiba dia tergamam. Jantungnya seperti disentap keluar dari tubuh. Walaupun pandangannya sedikit kabur tetapi matanya dapat melihat apa yang ada dalam kenderaan tersebut ketika itu.

Jelas kelihatan satu makhluk yang menyeramkan sedang duduk di kerusi pemandu sambil membongkokkan tubuhnya ke arah kerusi penumpang di sebelahnya.

Mukanya hitam menggelupas rentung terbakar, matanya merah menyala seperti bola api dan rambutnya mengerbang panjang sehingga menutupi separuh tubuh. Lidahnya pula terjelir panjang seakan sedang menjilat sesuatu di tempat duduk bersebelahan.

Tubuh Azim menggeletar. Rasanya ingin sahaja dia cabut lari sekuat hati, tetapi kakinya seakan terpasak ke bumi, tidak mampu bergerak lagi.

“Allahhuakbar… !! Allahhuakbar… !! Laungnya sekuat hati.

Dengan berbekalkan sisa semangat dan kekuatan yang ada, dia sedaya upaya berlari menuju ke pekarangan hospital.
Dia sudah tidak mampu menoleh ke belakang lagi. Tidak sanggup rasanya untuk berdepan dengan makhluk menyeramkan itu.

Dengan nafas tercungap dia masuk ke lobi hospital dan terus tersandar di kerusi. Jantungnya berdebar kencang dan fikirannya kosong.

“Eh, kenapa ini tuan? Ada apa hal?, tanya seorang pengawal keselamatan yang kebetulan berada di situ.

Beberapa kali Azim menghela nafas dan beristighfar. Setelah tenang barulah dia memulakan cerita.

Pengawal keselamatan tersebut mendengar ceritanya dengan wajah bersahaja. Langsung tidak nampak riak terkejut.

Azim menyambut sebotol minuman yang diberikan oleh pengawal tersebut. Dia meneguknya sehingga habis.

“Sebenarnya bukan tuan seorang sahaja yang ‘terkena’, sebelum ini ramai lagi yang sudah jumpa,” katanya perlahan.

“Kenderaan itu sebenarnya sudah lama ada di situ, tapi sampai sekarang tak tahu siapa pemiliknya. Pelik juga kerana tiada sesiapa yang menuntutnya. Kalaulah pemiliknya sudah meninggal dunia pastilah ada waris yang akan datang ambil. Rasanya hampir enam bulan terbiar di situ,” sambungnya lagi.

Azim terdiam. Nafasnya masih lagi tercungap.

“Seram sungguh rupa makhluk itu bang. Seumur hidup saya inilah kali pertama saya jumpa hantu. Memang saya tidak duga langsung,” kata Azim sambil matanya liar memandang sekeliling.

Pengawal keselamatan tersebut terdiam. Dia sendiri tidak tahu bagaimana ingin menenangkan Azim ketika itu.

Tapi ada seperkara aneh yang saya lihat tadi. Kenapa makhluk itu jilat sesuatu di kerusi sebelahnya? tanya azim lagi.

“Saya pernah periksa kenderaan itu sebelum ini. Kalau tidak silap saya di kerusi hadapan penumpang ada banyak tompokan berwarna merah. Tapi saya tidak pastilah sama ada itu darah ataupun bukan.

“Sebelum ini ada seorang wanita juga yang ‘terkena’ macam tuan ini. Kalau tak silap saya di parking kenderaan dekat dengan kereta tinggal itu. Malam itu dia keluar lewat dari hospital, saya pula kebetulan ada di luar. Tiba-tiba dengan tidak semena-mena saya terdengar suara orang menjerit…

“Bergegas saya pergi ke situ, sampai saja di sana saya nampak wanita tadi sedang menggigil sambil menangis. Saya tanya apa yang berlaku, dia tidak boleh jawab, hanya tangannya sahaja yang tunjuk ke arah kereta itu,” ceritanya panjang lebar.

Menurut pengawal keselamatan itu lagi dia cuba menenangkan wanita tersebut sebelum membawanya masuk semula ke bangunan hospital. Setelah diberi air dan bertenang barulah dia memulakan cerita.

Permulaan ceritanya agak sama seperti Azim. Katanya, sebaik dia melalui kawasan parkir berkenaan dia terlihat sebuah kenderaan yang lampunya terpasang. Tetapi yang peliknya lampu tersebut sekejap dipasang dan sekejap ditutup, seperti ada seseorang yang sedang memainkannya dari dalam.

Dan sebaik sahaja dia menghampiri dan mengintai ke dalam, dia terkejut. Katanya, dia nampak satu makhluk yang menyeramkan berada di kerusi kenderaan.

Apa lagi terus dia menjerit sekuat hati, sudahnya malam itu dia terpaksa masuk ke hospital kerana demam terkejut, kata pengawal itu lagi.

Seterusnya dia bercerita tentang beberapa kejadian yang berlaku sebelum ini. Ada juga kakitangan hospital yang kerap ternampak lembaga berambut panjang menyeramkan berkeliaran di kawasan tersebut pada waktu tengah malam.

Azim terdiam. Fikirannya masih ligat melayang terbayangkan apa yang baru disaksikannya sebentar tadi. Dia masih lagi terbayangkan makhluk seram yang menakutkan itu.

Yang menjadi persoalan dalam benaknya ketika itu apakah kaitannya makhluk tersebut dengan kereta itu? Dan siapa tuan empunya kereta serta kenapa kereta itu masih berada di situ?

Nampaknya malam itu dia terpaksa ambil keputusan tidur di hospital.

Tidak sanggup pula rasanya dia ingin menunggang motosikal melintasi lokasi tersebut buat kali kedua. Risau pula kalau-kalau makhluk menakutkan itu muncul di hadapannya atau membonceng motosikalnya nanti.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbarMingguan Malaysia pada 24 Ogos 2025. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!