PADA pagi tadi ayah dan emak saya berpesan supaya jangan mandi sungai. Tetapi saya ingkar. Kerana nak cepat, saya tidak patuh cakap emak dan ayah saya. Saya pergi juga ke sungai untuk mandi. Mula-mula saya berasa amat takut kerana saya rasa ada sesuatu yang akan terjadi apabila mandi nanti. Tiba-tiba gelisah itu hilang dan saya terus turun menggunakan tangga yang disediakan.
Apabila sampai di bawah, kaki kanan terasa seperti dihalang sesuatu. Dalam beberapa minit kemudian barulah kaki saya melangkah dan saya terus melangkah untuk naik ke atas jambatan. Tiba-tiba saya terasa ada sesuatu menolak saya. Selepas itu saya nampak seekor burung bermain-main dan tiba-tiba ia melintas di hadapan saya. Selepas itu saya turun ke sungai pukul 8.23 dan saya mandi pada pukul 9.25. Suriawati Amirozlan No. SB F154992 T. Lahir 30.11.1982 T. Lahir Tanjung Batu, Temerloh Tandatangan (Angah) Saya rasa bulan sembilan ni umur saya tak berapa panjang!!!
Demikian isi sepucuk surat yang ditulis oleh Suriawati Amirozlan, 14, sejurus sebelum mati lemas di Sungai Pahang pada 26 September 1996. Sungai itu terletak tidak jauh dari rumahnya di Kampung Tenggoh Seberang, Temerloh, Pahang.
Kematian Suriawati menimbulkan banyak misteri. Antaranya, apa yang menggerakkan hatinya untuk pergi ke sungai dengan membawa sebatang pen dan sehelai kertas?
Adakah dia sudah dapat merasakan sesuatu yang tidak baik akan menimpanya, seperti yang dicatatkan di dalam surat tersebut? Untuk makluman anda, selepas membuat coretan itu, Suriawati meletakkan kertas itu di atas lantai pelantar, kemudian menindih dengan jam tangannya.
Suriawati turun semula ke sungai dan sejurus itulah dia lemas dan gagal dijumpai. Mayat Suriawati hanya timbul selepas kilat dan guruh tiba-tiba berdentum sejurus azan dilaungkan oleh penduduk kampung yang menjalankan usaha mencari.
Aneh, ia timbul berhampiran pelantar dalam keadaan berdiri, sedangkan sebelum itu penduduk kampung telah berulang kali menyelam mencarinya di situ! Terdapat kesan lebam pada dahi dan rusuk kanan Suriawati. Mungkin akibat terjatuh dan terkena buluh di pelantar itu. Kejadian misteri belum berakhir.
Selepas jenazah Suriawati dikebumikan, ahli keluarga Amirozlan Ariffin yang sedang mengemas barang-barang milik arwah, terjumpa sekeping nota kecil di dalam bekas simpanan wang. Nota itu berbunyi, “Angah harap abah dan emak halalkan makan minum saya.” Angah adalah nama panggilan Suriawati.
Di celah-celah bukunya pula ditemui dua pucuk surat. Kepada kawan-kawannya, Suriawati memohon maaf kerana tidak datang ke sekolah pada hari itu “kerana saya rasa saya tidak akan lama di sana walaupun saya pergi ke sekolah.” Surat kedua ditujukan kepada seluruh ahli keluarganya. Suriawati memohon maaf dan meminta agar adik-adiknya tidak mengikuti sifatnya yang kurang baik. Selain itu dia turut meninggalkan buku hutang yang ditulis dua minggu sebelum kematiannya.
Untuk pengetahuan anda juga, tragedi yang menimpa Suriawati itu berlaku kira-kira seminggu selepas dua orang remaja lelaki yang hampir sebaya dengannya mati lemas di Sungai Pahang. Seperti Suriawati, dua remaja berkenaan yang tinggal di seberang sungai, turut meninggalkan nota menyatakan umur mereka tidak panjang.
Mungkin berakhir pada September. Mereka juga meminta maaf kepada keluarga masing-masing. Gambar keranda turut dilakar di atas nota itu. Ada sesiapa yang melihat Suriawati sejurus sebelum lemas? Seorang jiran melihat Suriawati pergi ke sungai seorang diri.
Namun seorang jiran lain bernama Sofiah, melihat anak saudaranya itu pergi ke sungai ditemani seorang wanita tua berambut panjang. Dia tidak kenal wanita tua itu. Manakala, seorang jiran lain mendakwa menyaksikan Suriawati mandi bersama seorang kanak-kanak! Kisah itu diceritakan sendiri oleh Amirozlan dan isterinya, Rosni kepada saya tiga tahun selepas kejadian tersebut.
Kejadian orang yang ‘tahu’ tarikh kematian mereka sememangnya satu fenomena yangs angat pelik. Barangkali juga, dua kes di bawah ini adalah yang paling misteri. Pada malam 6 Jun 1999, Abu Seman Yaakub, dikunjungi oleh sahabatnya,
Abu Zahar Ahmad, yang sama-sama menetap di Felda Chini 5, Pekan, Pahang. Zahar mahu menempah nisan daripada Abu Seman. Nisan untuk siapa dan apa tarikhnya, tidak pula Zahar maklumkan. Seman pula tidak tergerak hati untuk bertanya.
Lalu Seman terangkan rekabentuk yang akan dibuatnya nanti, dan Zahar setuju. Sebelum pulang, Zahar berulang kali berpesan, “Siapkan cepat batu nisan tu, aku nak pakai esok.” Memang Zahar perlukan nisan itu keesokannya. Tetapi nisan itu adalah untuk dirinya sendiri! Dia meninggal dunia tengahari itu akibat serangan jantung.
Apabila menerima berita kematian Zahar, Seman terkejut kerana malam tadi sahabatnya itu sihat walafiat. Ketika itu barulah dia tersedar mengapa Zahar beria-ia menyuruhnya menyiapkan nisan tersebut seberapa segera. Kisah-kisah yang dipaparkan di atas memang aneh. Bagaimanakah si mati boleh tahu ajal mereka semakin dekat, malah ada yang tahu tarikhnya. Kebetulan?
Atau ada ‘seseorang’ memberitahu di dalam mimpi, cuma mereka tidak mampu untuk meluahkannya? Para saintis dan pengkaji paranormal Barat gagal menjawabnya. Jawapan paling hampir mungkin prophecy atau ramalan orang yang mempunyai kebolehan psikik seperti Nostradamus. Namun, Nostradamus sendiri tidak tahu tarikh kematiannya!
Barangkali jawapan kepada persoalan ini ada dalam pendapat alim ulama terdahulu. Kata alim ulama ini, setiap kita akan didatangi tanda-tanda kematian, bermula 100 hari, 40 hari, seminggu dan sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Tanda-tanda itu datang dalam pelbagai bentuk. Sebahagian kita malah dapat merasainya, namun lidah kelu untuk memberitahu kepada orang yang tersayang…

