MMToon

MERAUNG DAN MERAYAU SELEPAS BUNUH DIRI

KALAU anda ke Seremban, Negeri Sembilan, apa kata cuba luangkan sedikit masa untuk mengunjungi Lembaga Muzium Negeri. Di situ, cubalah anda lawati sebuah rumah tradisional Minangkabau yang dibuat daripada papan berwarna coklat. Seelok-eloknya datang pada waktu senja.

Diceritakan kepada saya bahawa kalau bernasib baik, anda akan dapat melihat seorang gadis cantik berpakaian putih sedang duduk termenung di tepi tingkap rumah berkenaan.


Wajah gadis itu kelihatan sugul. Dia tunduk memandang tanah, manakala rambut yang panjang akan menutupi sebahagian mukanya yang putih melepak.

Ada waktunya, jika bernasib baik, anda akan dapat melihat gadis itu mundar-mandir di dapur dan loteng rumah berkenaan. Tahukah anda siapa gadis itu?

Diceritakan bahawa ia adalah jelmaan seorang gadis Cina yang pernah membunuh diri dengan menggantung dirinya pada sebatang palang besi dalam rumah tradisional berkenaan. Palang besi itu dilekatkan pada tiang seri dan digunakan untuk menggantung baju.

Seorang kakitangan Lembaga Muzium Negeri memberitahu saya, gadis berkenaan bukan muncul setiap hari, tetapi sekali-sekala sahaja. Terpulang pada nasib anda.


Untuk pengetahuan anda, asalnya rumah tradisional Minangkabau itu terletak di Taman Bunga Seremban sebagai daya tarikan untuk pengunjung.

Bagaimanapun, ramai yang menyalahgunakan rumah tersebut untuk melakukan perbuatan yang ditegah, termasuklah gadis berkenaan yang menjadikannya tempat untuk membunuh diri akibat putus cinta. Mulai hari itulah jelmaannya muncul di dalam rumah tersebut.

Demi menjaga imej dan keistimewaannya, pada 1980-an rumah itu telah dipindahkan ke tempatnya sekarang. Masih muncul lagikah gadis Cina itu? Cubalah anda pastikannya sendiri.

Saya ceritakan kisah ini kerana ruangan kali ini akan membincangkan tentang entiti yang muncul akibat bunuh diri serta pandangan pengkaji paranormal mengenainya. Namun sebelum dilanjutkan penjelasan itu, saya ingin menyambung tulisan ini dengan kisah lain pula, agar anda lebih memahaminya.

Jika anda ke Genting Highlands, cubalah tinjau sebuah hotel di sana yang dianggap misteri. Dikatakan bahawa terdapat sebuah bilik di hotel berkenaan yang ditutup kerana sering diganggu jelmaan mayat seorang lelaki.

Khabarnya, lelaki Cina itu telah mengelar badan dan kemudian menggantung dirinya di dalam bilik tersebut. Setelah kematiannya, penghuni bilik tersebut sering melihat jelmaannya dalam keadaan berlumuran darah. Ini menyebabkan pihak pengurusan menutup bilik berkenaan, sampailah sekarang.

Di sebuah apartmen pula, ada waktunya para pengunjung akan melihat seorang wanita membunuh diri dengan terjun dari bangunan tersebut. Bagaimanapun, tubuhnya ghaib sebaik-baik mencecah tanah.

Satu lagi, pernahkah anda dengar cerita jelmaan orang membunuh diri di Stesen Kereta Api Tanah Melayu Berhad, Kuala Lumpur? Diceritakan bahawa dahulu pernah seorang wanita membunuh diri dengan terjun di atas landasan ketika kereta api sedang meluncur laju. Tubuhnya hancur dan dia mati di situ juga.

Kini, jelmaan wanita itu akan kembali pada waktu-waktu tertentu. Namun tubuhnya ghaib sebaik-baik dirempuh oleh kereta api. Selain tiga tempat di atas itu, saya percaya anda juga tahu terdapat banyak lagi tempat yang seumpama itu. Mengapa ini berlaku?

Untuk pengetahuan anda, selain teori rakaman visual, memori air, medan elektromagnet dan kebolehan psikik yang dimiliki oleh seseorang (yang telah dihuraikan dalam keluaran lalu), sebahagian pengkaji paranormal melihat kewujudan entiti ini dari sudut kerohanian.

Bukan Kristian, tetapi kehidupan selepas mati, yang dipercayai oleh semua agama di dunia ini. Entiti orang yang membunuh diri ini, kata mereka, muncul kerana perasaan bersalah yang amat sangat.

Maksudnya, si mati sedar tindakan membunuh diri sangat ditegah dari segi moral dan agamanya. Perasaan bersalah inilah yang menyebabkan si mati itu tidak tenteram. Jasad boleh dikebumikan, tetapi tidak tenaga emosi kerana ia tidak berjisim.

Tenaga emosi terus mendiami tempat dia membunuh diri dan mengulangi lagi perbuatan tersebut berulang-ulang kali.

Para pengkaji ini juga mengatakan, roh si mati sedar bahawa ia akan dibawa ke muka pengadilan. Sudah pasti balasan yang teruk sedang menantinya.

Perasaan takut itulah yang menyebabkan roh berkenaan enggan meninggalkan alam nyata ini, lantas merayau-rayau, menangis dan menjerit ketakutan.

Tidak logik? Terpulang kepada anda sama ada hendak percaya atau tidak. Tetapi anda perlu ingat, itu adalah pandangan pengkaji Barat yang tidak mahu kita takut kepada hantu. Itulah konteks perbincangan ruangan ini.

Lagi pun, kupasan fenomena misteri ini masih lagi di peringkat awal. Masih terlalu banyak misteri dan teori yang akan dirungkai pada keluaran-keluaran yang akan datang.

Oh ya, sebelum artikel ini ditutup, ingin saya ceritakan kepada anda sebuah kisah yang berlaku di kediaman saya, di Johor. Mungkin melalui kisah itu anda akan lebih memahami apa yang saya cuba huraikan.

Kisahnya begini. Suatu pagi beberapa tahun lalu, akibat tekanan hidup yang tidak dapat ditangani, seorang ibu muda telah membunuh diri dengan menggantung diri pada alang bumbung di dalam biliknya.

Kematian ibu muda itu hanya disedari jiran-jiran selepas mendengar tangisan anaknya yang baru pulang dari sekolah.

Mulai hari itu, jelmaan ibu muda itu sering dilihat di sekitar kampung kami. la merayau-rayau di sekitar rumahnya dan rumah jiran-jiran dengan mengendong seorang bayi. Dikatakan bahawa ibu muda itu hamil beberapa bulan ketika dia membunuh diri.


Jiran-jiran juga sering terdengar suaranya menjerit dan menangis. Jelmaan dan suara menakutkan itu hanya berakhir selepas mayat ibu muda tersebut dipindahkan ke tempat lain, kira-kira 20 kilometer dari kawasan kediaman kami.

 

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!