MMToon

DIGANGGU WANITA MISTERI LEPAS LANGGAR PANTANG SONGKRAN

Niat sekadar berseronok, namun tanpa sedar mereka terpaksa melalui peristiwa yang menyeramkan.

Itulah yang dialami oleh sekumpulan remaja dari Malaysia ketika menyertai Pesta Songkran di Chiang Mai, Thailand pada tahun lalu.

Baru pertama kali menyertai acara air tahunan terbesar itu, Elina (bukan nama sebenar) dan tiga rakannya tidak peka tentang peraturan sambutan itu.

Ketika kejadian itu, jam sudah menghampiri pukul 7 malam dan suasana yang tadi meriah kini bertukar sunyi secara perlahan-lahan.

Ramai orang sudah meninggalkan lorong-lorong basah yang tidak lagi terasa seperti kawasan perayaan Songkran.

Namun menurut Elina, dia dan rakan-rakannya tetap meneruskan aktiviti tersebut sesama mereka sehingga memasuki lorong-lorong sunyi.

Waktu itu memang seronok. Kami tak kisah melihat keadaan semakin sunyi. Ini kerana kami berempat masih boleh main sesama sendiri.

“Kami main air tanpa henti sampai tak sedar kami sudah jauh dari kawasan utama sambutan berkenaan.

Kami mula menyedari sesuatu yang pelik kerana setiap kali cuba mencari jalan keluar, ia tetap gagal.

“Seolah-olah kami berpusing di tempat yang sama tanpa henti.

Kami sudah panik memandangkan isyarat telefon tiada untuk menghubungi sesiapa untuk mendapatkan bantuan ketika itu,” katanya.

Pada awalnya, mereka masih menganggap ia sekadar kekeliruan biasa kerana terlalu leka bermain air hingga tidak fokus terhadap jalan dilalui.


Namun, keadaan mula berubah apabila mereka menyedari sesuatu yang lebih mengganggu.

Setelah berkali-kali berpusing, mereka ternampak seorang perempuan memakai sabai dan sinh iaitu pakaian tradisional wanita Thailand sedang berdiri sambil merenung ke arah mereka dari jauh.

Pakaiannya basah lencun seolah-olah baru disimbah dengan air Songkran, manakala rambutnya disanggul kemas mengikut gaya tradisional Thai.

Elina berkata, rakannya, Mony tidak percaya kepada perkara tahyul, lalu terus pergi menyapa wanita tersebut.

Mony sememangnya berani. Dia terus pergi ke arah wanita itu untuk bertanyakan laluan ke jalan utama.

“Kami hanya mengikut dari belakang Mony kerana tidak mahu perkara buruk berlaku kepadanya jika dia pergi seorang diri.

Tapi belum sempat kami menyapa, kami terkejut apabila wanita yang pada awalnya kaku itu mula berjalan perlahan-lahan ke arah kami,” katanya.

Langkah wanita itu tidak laju tetapi setiap kali dia bergerak, jarak di antara mereka semakin dekat.

Lebih menakutkan, air di lantai lorong itu mula bergerak sendiri, seakan-akan mengalir ke arah mereka, walaupun tiada hujan atau sumber air di situ.

Sebab terlalu takut, kami terus berlari tanpa menoleh ke belakang. Kami meredah lorong-lorong sempit kerana wanita itu semakin menghampiri kedudukan kami,” ujarnya.

Dalam keadaan cemas, mereka akhirnya berjaya keluar dari salah satu lorong sunyi itu.

Apabila sedar, mereka sudah berada di jalan utama Chiang Mai yang masih dipenuhi pengunjung Songkran.

Suasana kembali bising, cahaya lampu dan bunyi muzik kembali kedengaran.

Bagaimanapun, apabila mereka berpaling semula ke arah lorong yang baru keluar tadi, sudah tiada kelibat wanita menyeramkan itu.

Segalanya kembali normal. Elina berkata, seolah-olah semuanya tidak pernah berlaku, dan mereka saling berpandangan antara satu sama lain.

Kami diam lama. Semua tidak bercakap. Tapi masing-masing tahu apa yang kami nampak tadi bukan perkara biasa.

Selepas kejadian itu, mereka mengakui pengalaman tersebut sukar dilupakan dan menjadi pengajaran supaya tidak terlalu leka ketika berada di negara orang.

“Sekarang bila ingat balik, kami cuma bersyukur dapat keluar dari lorong itu. Tapi sampai hari ini, kalau lalu tempat sunyi waktu malam, memang teringat balik kisah seram itu,” katanya.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!