MMToon

WANITA DIIMAM JIN DI SURAU PEJABAT


Oleh SITI SARAH NURUL LIYANA

PETANG itu, hujan lebat menyebabkan Rokiah (bukan nama sebenar) tidak dapat pulang ke rumah selepas habis kerja.

Dia mengambil keputusan untuk duduk di pejabat sehingga hujan reda sebelum menapak ke stesen MRT berdekatan pejabatnya.

Hujan lebat menyebabkannya terkandas bersama seorang lagi temannya berbangsa Cina, Mei Ling sehingga azan maghrib berkumandang.

Enggan melengahkan solat, wanita berusia 40 tahun itu mahu segera menyelesaikan solatnya dahulu sebelum pulang.

Ketika melangkah masuk ke dalam surau pejabat di tingkat 3 pejabatnya, suasana sunyi tanpa sebarang suara menyelubunginya.

Rokiah menyangka perasaan itu hanyalah bisikan syaitan yang tidak mahu dia menunaikan solat fardu tersebut.

Saya memang tak nak kalah dengan godaan syaitan yang mahu saya batalkan niat saya solat.

“Jadi, saya buka lampu di ruang wanita, kemudian terus ke ruang solat untuk membuat persediaan menunaikan rukun fardhu itu,” katanya kepada Panorama.

Sewaktu Rokiah mengenakan telekungnya, dia terdengar bunyi air di ruang lelaki menandakan ada orang sedang mengambil wuduk.

Hati wanita berpangkat eksekutif itu lega kerana dia tidak berkeseorangan di ruang solat pejabatnya itu.

Rokiah nampak pergerakan orang menerusi bayang-bayang yang terpancar pada tirai yang memisahkan saf lelaki dan perempuan.

Kaum lelaki di ruang solat hadapannya itu melaungkan azan, iqamat dan seterusnya menunaikan solat secara berjemaah.

Rokiah juga turut serta sembahyang berjemaah biarpun dia keseorangan di ruang solat wanita.

Namun di setiap pergerakan solat, dia terasa seperti ada orang turut berjemaah di belakangnya.

“Saya mula rasa seram sejuk kerana tiba-tiba saya teringat filem Makmum. Hati saya kesal kerana saya gagal kusyuk.

“Tapi saya teruskan juga solat. Buat apa saya takut, di hadapan juga ada beberapa orang lelaki sedang solat,” ujarnya,

Bermacam-macam bunyi dia dengar, orang berkumat-kamit baca doa, bunyi geseran kain telekung dan sebagainya.

Namun satu perkara membuatkannya tersentak dan degup jantungnya hampir terhenti seketika.

Sebaik sahaja dia selesai mengikut imam mengucapkan salam akhir, dia kembali terasa suasana sunyi menyelubung.

Perkara yang lebih mengejutkan adalah keadaan surau lelaki di hadapannya gelap dan kosong bagaikan tidak ada orang langsung.

Detik hati Rokiah, bagaimana lelaki-lelaki tadi dengan segera keluar dari surau sebaik sahaja memberi salam akhir.

Kali ini, wanita itu tidak lagi boleh bersangka baik, dia bergegas mengambil barangan yang sempat dicapai lalu berlari ke ruang pejabat.

“Waktu Mei Ling nampak saya, dia terkejut melihat saya kelihatan pucat dan tidak menyarung tudung dengan betul.

“Saya kelu tidak bercakap apa-apa. Saya cuma kata, saya mahu pulang sebab dah lambat,” jelasnya.

Sehingga kini, Rokiah tidak tahu kenapa dia tidak mampu berkongsi cerita dengan Mei Ling tentang apa dialaminya pada malam itu.

Tetapi dia mahu berfikiran positif, mungkin itu makmum jin Islam yang solat bersamanya, bukan gangguan syaitan.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Kosmo! Ahad. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!