MMToon

DIGANGGU PENUNGGU KETIKA MANDI SUNGAI

Sungai merupakan destinasi rekreasi dan terapi diri yang menjadi pilihan ramai terutama para pencinta alam. Begitu juga buat Amir yang gemar melakukan aktiviti di sungai bersama rakan-rakannya.

Meskipun aktiviti itu menjadi kegemarannya, namun Amir pernah berhadapan dengan satu kejadian menyeramkan ketika dia dan dua rakannya berkelah di sebatang sungai di Johor.

Pada suatu petang, Amir dan dua rakannya memutuskan untuk mandi di sungai yang terkenal dengan air jernih dan sejuk. Kongsi Amir, sungai itu terletak di hujung kampung dan dikelilingi hutan tebal, sekali gus membuatkan suasananya agak sunyi.

Kami tidak menghiraukan amaran orang tua-tua di kampung yang sering memberitahu bahawa sungai itu mempunyai penghuni. Awalnya, suasana sungai tampak tenang dan nyaman.

Bunyi air yang mengalir perlahan dan nyanyian burung membuatkan saya berasa lega kerana tempat itu cukup tenang, katanya. Namun, selepas mereka menyeberangi batu-batu besar dan naik 50 meter ke hulu sungai, Amir mula merasakan sesuatu yang ganjil.

Udara tiba-tiba menjadi dingin, walaupun matahari masih tegak di atas kepala. Semasa sedang menyikat rambut di tepi sungai, Amir terdengar bunyi seperti orang berjalan di belakangnya. Amir berpaling, tetapi tiada siapa pun di belakangnya.

Namun, bunyi derap kaki itu kedengaran semakin dekat dan jelas. Saya cuba menjerit untuk memberitahu rakan-rakan yang sedang mandi di tengah sungai.

Dalam ketakutan itu, saya ternampak lembaga putih meluncur di permukaan air sungai.

Rupanya seperti wanita bertudung dengan wajah samar-samar, tetapi matanya kelihatan hitam dan kosong.

Lembaga itu menatap saya beberapa saat, sebelum hilang di balik aliran sungai, ujar Amir. Amir tidak menghiraukan kejadian itu kerana beranggapan mungkin mainan perasaannya saja.

Jadi, dia meneruskan aktiviti mandi-manda bersama rakan-rakannya di sungai berkenaan.

Sewaktu sedang leka bermain air, mereka merasakan seolah-olah ada tangan yang menyentuh dan menarik kaki ke dalam air.

Mereka cuba berenang ke tepi sungai, tetapi badan terasa berat, seolah-olah di peluk sesuatu. Disebabkan itu, mereka mula menjerit sekuat hati.

Dalam kekalutan itu, bayangan putih tadi muncul semula, kali ini di atas batu berdekatan sungai sambil menatap mereka dengan senyuman dingin, sebelum menghilang.

Tiba-tiba, seorang pak cik tua yang sering memancing di sungai itu muncul dari tepi hutan untuk membantu mereka. Selepas diselamatkan, pak cik tersebut terus memarahi Amir dan rakan-rakannya.

Pak cik itu memberitahu, sungai berkenaan bukan tempat untuk bermain-main terutama pada waktu senja. Tanpa membuang masa, Amir dan rakan-rakannya terus pulang ke rumah dengan hati berdebar dan tangan menggigil.

Sejak kejadian itu, saya tidak berani lagi pergi mandi di sungai berkenaan. Cerita tentang penunggu di sungai berkenaan terus diceritakan oleh masyarakat di sekitar Johor.

Kisah seram itu juga sering digunakan sebagai amaran kepada mereka yang ingin bermain air sendirian pada waktu senja. Sungai yang dulunya dianggap sebagai tempat rekreasi, kini diselimuti dengan kisah misteri.

Malah sehingga kini, setiap kali terdengar bunyi air sungai mengalir, ia mencetuskan rasa trauma pada diri saya, kata Amir.

 

Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Ilustrasi janaan AI

 

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!