Kisah seram itu berlaku kira-kira tiga tahun lalu sewaktu Awa (bukan nama sebenar) bercuti bersama keluarganya di Bali, Indonesia. Jelas Awa, dia bersama ibu dan adik perempuannya, Tia serta sepupu mereka, Mai memutuskan untuk menganjurkan girls trip kerana sudah lama tidak menghabiskan masa bersama.
Mereka memilih negara seberang kerana mahukan sebuah percutian yang singkat dan menenangkan. Begitu pun, mereka sama sekali tidak menyangka percutian itu meninggalkan kesan mendalam selepas mengalami beberapa kejadian aneh.

Membuka bicara, Awa berkata, mereka memilih menginap di sebuah vila yang cukup cantik dengan latar belakang hijau yang menenangkan.
Selepas melihat gambar serta harga penginapan itu, kami terus jatuh cinta dan membuat tempahan.

Setibanya di vila itu, memang suasananya cantik, sama seperti dalam gambar-gambar yang dipaparkan di internet, tutur Awa.
Namun sebaik sahaja masuk ke dalam premis itu, ibu Awa terus memerhatikan keadaan di sekeliling dengan wajah penuh bimbang.

Kata ibu, sebaik sahaja masuk ke dalam vila itu, dia terus rasa tidak sedap hati. Namun, saya yakinkan ibu bahawa tiada apa yang perlu diirisaukan.
Lagi pula, ibu sememangnya seorang yang sukar atau lambat selesa apabila menginap di tempat baharu. Jadi saya fikir, itu mungkin perasaannya sahaja, kata Awa.

Selepas mendaftar masuk, keempat-empat mereka terus mandi, sebelum keluar semula untuk makan dan mencari port bergambar. Bagi memudahkan perjalanan, mereka mengambil servis pemandu sepanjang bercuti di sana.
Pada hari pertama, tiada apa-apa perkara pelik berlaku. Namun pada pagi hari kedua, Awa memaklumkan, dia ternampak kelibat lembaga hitam sedang duduk mencangkung di ruang tamu vila ketika bangun untuk menunaikan solat subuh.

Saya amat terkejut, lalu memanggil Tia yang ketika itu sedang mengambil wuduk di dalam tandas.
Sebaik sahaja Tia keluar, lembaga itu terus hilang. Saya mulai tidak sedap hati dan terus terfikir untuk mencari penginapan lain, kata Awa.

Pada hari kedua, mereka menghabiskan masa dengan makan dan membeli-belah.
Apabila jarum jam di tangan menunjukkan pukul 6.45 petang, mereka segera memutuskan untuk pulang ke vila.
Namun, satu lagi peristiwa pelik berlaku apabila pemandu mereka tidak jumpa jalan masuk ke vila itu.

Pemandu tiba-tiba memberitahu kami bahawa dia tidak nampak jalan masuk untuk menuju ke vila, biarpun selepas beberapa kali memandu di hadapan lorong kecil itu.
Bukan cuma dia (pemandu), kami berempat juga tidak nampak jalan masuk, sekali gus menyebabkan kami jadi kebingungan.
Selepas hampir dua jam berpusing di kawasan sama, akhirnya kami nampak jalan masuk ke vila. Waktu itu, jantung saya sudah berdegup kencang kerana tidak tahu apa yang sedang berlaku, ujar Awa.

Setibanya di vila, masing-masing muram dan ingin segera menukar penginapan atau terus pulang ke tanah air. Namun, semua penginapan di kawasan sekitar sudah penuh. Jika ada pun, harganya terlalu mahal kerana tempah last minute, katanya.

Malam itu, mereka diganggu lagi dengan bunyi air pula. Kali ini, mereka terdengar bunyi air seperti orang sedang mandi dari salah sebuah bilik air di vila itu.
Hakikatnya, tiada sesiapa pun di dalam bilik air tersebut. Disebabkan terlalu takut, kami terus memasang surah-surah al-Quran dengan kuat sepanjang malam.

Mujur, gangguan tersebut berhenti. Keesokan harinya, kami meminta pemandu mengambil kami lebih awal dari jadual asal. Ini kerana kami tidak mahu tinggal terlalu lama di vila berhantu itu.
Kebetulan, pemandu kami juga beritahu bahawa itu bukan kali pertama kejadian aneh berlaku di vila cantik itu.Ceritanya, ramai penduduk tempatan percaya vila itu sebenarnya ada penghuni lain, kata Awa.

Disebabkan kejadian seram yang dilalui itu, Awa berasa serik untuk ke Bali lagi, biarpun amat menyukai keindahan pulau peranginan tersebut.
Kisah ini telah disiar di akhbar Kosmo! Ahad . Imej janaan AI
