BENARKAH orang yang telah mati boleh muncul kembali untuk membalas dendam? Sekarang saya mahu anda memikirkannya sebab topik yang hendak dibincangkan kali ini ialah entiti yang wujud kerana enggan meninggalkan seseorang.
Dalam keluaran lepas saya ada menceritakan kisah tragedi pembunuhan seorang gadis remaja di Melaka pada pertengahan 2001. Untuk pengetahuan anda, suatu senja seminggu selepas kejadian, seorang pemuda bernama Mohd. Razin Abu Hassan telah mengalami suatu kejadian yang meremangkan bulu roma.
Kata Razin, senja itu ketika menunggang motosikal, dia terdengar jeritan meminta tolong dari arah belukar tempat pelajar berkenaan diperkosa dan dibunuh.
Dia segera memberhentikan motosikalnya dan memasang telinga. Benar, jelas di telinganya suara seorang gadis menjerit dan merayu supaya dia tidak diapa-apakan. Bukan itu saja, si gadis kemudian memanggil Razin dan meminta dia menolongnya.
Razin segera meninggalkan belukar tersebut! Pukul 12.30 malam beberapa hari kemudian, seorang pemuda bernama Khairul Ibrahim pula melalui pengalaman menakutkan.
Sewaktu menunggang motosikalnya, Khairul yang baru pulang dari Teluk Mas melihat ada seorang gadis berdiri di tepi belukar berkenaan. Gadis tersebut memakai seragam sekolah dan di lehernya terlilit tali berwarna hitam, sama dengan warna tali beg yang digunakan oleh si penjenayah untuk membunuhnya!
Suara dan jelmaan siapakah yang didengar serta dilihat oleh dua pemuda itu? Sekarang mari kita bincangkannya.
Bagi para pengkaji paranormal, itu bukannya hantu atau roh. la sebaliknya jelmaan tenaga emosi mangsa, atau ulang tayang insiden pembunuhan yang telah terakam pada objek-objek di sekelilingnya (seperti yang dijelaskan sebelum ini).

Entiti boleh muncul kerana dua sebab. Pertama, si mati terlalu sayangkan seseorang, misalnya kekasih, sahabat dan keluarga. Contoh, jelmaan isteri yang sering pulang ke rumah untuk menjenguk suami dan anak-anak.”
Kedua, akibat benci dan dendam yang amat sangat. Inilah yang sering berlaku dalam kes-kes pembunuhan, dan sedang kita bincangkan sekarang Kalau entiti pertama hadir dengan cara yang baik, entiti kedua pula dalam keadaan menggerunkan. Ini kerana si mati terlalu marah, berdendam serta menuntut agar kematiannya mendapat pembelaan.
Sekarang saya ingin memberikan anda satu contoh yang lebih jelas. Pada pertengahan 1991, penduduk Kampung Berangan Enam, Melaka, gempar dengan jelmaan mayat seorang gadis bernama Maisarah.
Diceritakan kepada saya. Maisarah sering menjelma di sekitar kampung itu, khususnya di tempat menunggu bas dan di kilang tempatnya bekerja.
Siapa Maisarah? Dia gadis yang baik dan mencintai teman lelakinya, hingga sanggup menyerahkan segala-galanya. Malangnya, habis madu sepah dibuang. Lelaki itu bukan sekadar mempermainkannya, malah hendak menghadiahkan Maisarah kepada sahabatnya pula.
Maisarah kecewa, lantas membunuh diri dengan meminum racun. Dikatakan dia meninggal dalam keadaan berbadan dua.
Lebih malang, keluarga Maisarah enggan menuntut mayatnya. Jenazah gadis itu kemudian dikebumikan oleh keluarga angkatnya, dan berlangsung dalam hujan lebat serta ribut petir. Sejak itulah jelmaan Maisarah sering muncul di kampung tersebut.
Bagaimana dengan lelaki yang mempermainkannya? Saya diberitahu, kini otak lelaki itu telah pun mereng kerana tidak tahan diganggu oleh jelmaan Maisarah yang datang untuk membalas dendam.

Bagaimanapun, dua kisah itu tidak seaneh misteri yang melingkari pembunuhan seorang gadis bernama Rafezah Razalie, 14, di Kampung Lebu, Bentong, Pahang, pada senja 25 Februari 2001. Cerita ini agak panjang, tetapi saya akan ringkaskannya supaya mudah difahami.”
Untuk pengetahuan anda. malam itu adik-beradik Rafezah mencarinya di sekitar belukar tempat menunggu bas berhampiran kampungnya. Ini kerana Rafezah yang menaiki bas ekspres dari Kuala Lumpur bersama guru dan kawan-kawannya. sudah berjanji akan turun di situ.
Tetapi semasa kakaknya, Razita, 16, datang menjemput, Rafezah tidak kelihatan. Malam itu, ketika mereka sedang mencari Rafezah, Razita tiba-tiba dirasuk.
Dalam keadaan tidak sedarkan diri, Razita memberitahu bahawa dirinya kesejukan dan meminta maaf kepada seluruh ahli keluarga kerana sebentar lagi dia akan pergi jauh. Razita juga menceritakan bahawa dia telah dipukul, dipijak dan lehernya dipulas oleh seorang lelaki yang ditemui di warung berhampiran tempat menunggu bas berkenaan.
Gadis tersebut kemudian menyuruh adik-beradik mencarinya di sebuah bukit berhampiran. Selepas itu, Razita sedar kembali dan tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya.
Cukup pelik, operasi mencari yang dilakukan pagi esoknya menemui mayat Rafezah betul-betul di tempat yang dikatakan oleh Razita semasa dirasuk. Dia ditemui tertiarap, dan lebih aneh kecederaan parah yang dialaminya sama seperti yang diceritakan oleh Razita.
Bagaimana ini terjadi? Menurut Razita, malam itu sebelum tidak sedarkan diri, dia terasa bahunya ditepuk seseorang dari arah belakang, dikuti dengan suara Rafezah memberi salam. Apabila Razita menoleh, dia melihat kelibat adiknya itu.
Sejurus selepas itulah dia tidak sedarkan diri dan suara yang keluar daripada mulutnya sama dengan suara arwah Rafezah. Malah dia membahasakan dirinya Ebar, iaitu nama gelaran adiknya itu.
Nah, misteri apakah yang berlaku ini? Bagaimana Rafezah boleh muncul dalam diri kakaknya? Adakah ini crisis appiration seperti yang diceritakan pada minggu lepas? Kebetulan? Atau halusinasi?

